Wednesday, August 26, 2015

SK Temalir usaha ternakan Lebah Kelulut tambah pendapatan

CORETAN

Hamidah menunjuk salah satu sarang kelulut.
Semasa ke Kuala Krai dua minggu lepas saya dibawa oleh seorang kawan mengunjungi Sekolah Kebangsaan Temalir, Kuala Krai. Saya tidak tahu apakah tujuannya, kawan itu tiba-tiba sahaja,  mengajak saya ke sekolah berkenaan. Apakah istimewanya sehingga dia beriya-iya mahu saya ke sekolah itu?

Sepanjang perjalanan menuju ke sekolah itu, (itulah pertama kali saya menjejak kaki ke Kampung Temalir yang merupakan kampung tradisi yang dibangunkan secara tersusun), saya tertanya-tanya sendiri apakah yang hendak ditunjukkan oleh kawan ini. Terfikir juga mungkin ada sesuatu yang pelik dan ganjil bakal menarik perhatian saya?

Kerana dia seorang pegawai di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), Kuala Krai sudah pasti apa yang hendak ditunjukkan itu ada kena mengena dengan bidang tugasnya. Atau sesuatu yang "istimewa" itu berkaitan dengan kependidikan dan alam persekolahan. Anehnya sebelum ini tidak pernah terlantas pula ditelinga saya tentang apa-apa keistimewaan sekolah ini.

Sekolah Kebangsaan Temalir (SK Temalir Rpt) itu biasa sahaja. Ia tidak banyak beza dengan sekolah-sekolah kebangsaan luar bandar atau terletak dalam Tanah Rancangan Kerajaan yang lain. Ia mula dibangunkan pada tahun 2009. Namun sesuai dengan sekolah sebagai sebuah taman pendidikan dan asuhan, kelestarian sekolah berkenaan ternyata menarik sekali dan dijaga dengan rapi.

Dari gambaran persekitarannya, susun atur lanskap yang sedarhana yang "disobek" dari bahan tempatan mudah diperolehi dan murah menjelaskan bahawa sekolah itu ditangani dengan baik, dan tentulah ianya hasil kreativiti para gurunya. Penguasa sekolah itu tentulah mereka yang berketrampilan dan berinovasi tinggi.

Saya diberi layanan vip.
Rupanya hari itu sekolah berkenaan mengadakan majlis rumah terbuka hari raya. Jadi kawan saya itu sebagai pegawai PPD diundang khasnya. Kebetulan pula saya di Kuala Krai menghadiri satu majlis lain terjumpa dia di situ. Lantaran lama tidak berjumpa kesempatan diambilnya untuk bersamanya termasuk ke sekolah berkenaan. Mujur.

Majlis rumah terbuka hari raya itu sedarhana sahaja tetapi cukup memberi signifiken. Jarang sekolah luar bandar mengadakan majlis seumpama itu. Sekali lagi saya dapat membaca bahawa sekolah itu mempunyai semangat integrasi yang intim di antara guru, ibubapa dan murid. Majlis rumah terbuka itu juga sebagai satu mekanisme merapat dan memesrakan antara tiga entiti utama itu.

Keramahan yang ditunjukkan oleh guru-guru sekolah itu terutamanya Guru Besar Hamidah Che Hamid, Guru Penolong Kanan dan juga Pengerusi PIBG cukup merujakan saya. Sekali lagi keramahan dan kesantunan mereka melayan tetamu yang tidak diundang menyerlahkan ketinggian budi dan daya diplomasi mereka sebagai pendidik. Wajarlah kalau sekolah itu berjaya mengadakan beberapa aktiviti dan "projek hiliran" untuk kemajuan sekolah.

Demo menyedut madu dari sarang kelulut.
Kenapa saya berkata begitu, kerana walhal saya bukan sesiapa, tetapi mendapat layanan istimewa dan bertaraf VIP. Saya pula seolah-olah menjadi tetamu khas bukannya kawan saya itu. Saya diberi berbagai taklimat mengenai sekolah berkenaan; tentang sejarah penubuhannya, pencapaian murid dan lain-lain termasuk aktiviti perekonomian.

Dan, apa paling merujakan saya ialah mengenai satu usaha (projek ekonomi) sekolah berkenaan yang tidak terfikir sama sekali oleh saya, yang sebuah sekolah kebangsaan mampu melaksanakan sebuah projek yang saya kira pantas dijalan oleh sekolah menengah atau kolej. Projek yang saya maksudkan itu ialah Projek Menternak Lebah Kelulut.

Kata Hamidah projek ini dimulakan sejak beberapa bulan lalu. Ia dirasmikan oleh Adun Paloh Nazula Mat Dian pada 3 Mac 2015. Projek ini yang dijalankan dengan kerjasama rapat dengan ibubapa sudah membuahkan hasil. Menurutnya projek yang juga merupakan sebahagian Taman Sains Pertanian sekolah menampung perbelanjaan kegiatan sekolah termasuk majlis rumah terbuka dan acara-acara kebajikan lain yang dilaksanakan oleh sekolah.

Projek yang berciri-cirikan sains pendidikan pertanian dan ternakan itu juga bukan terhad setakat penghasilan madu kelulut sahaja, tetapi ia dikembangkan dengan menambahkan produk lain yakni menghasilkan sabun yang kecantikan penjagaan kulit diasaskan daripada madu kelulut. Alhamdulilah sabun kelulut yang dihasilkan mendapat sambutan hangat, jelas Hamidah.

Sesungguhnya projek teranakan lebah kelulut SK Temalir ini benar-benar mengkagumkan saya. Apa lagi projek ini dibangunkan dengan memanfaatkan bangunan lama sekolah berkenaan yang terbiar. Bilik darjah di bangunan lama itu diubah menjadi ruang penempatan sarang lebah kelulut. Waktu ini terdapat lebih 10 buah sarang lebah kelulut sudah menghasilkan madu dan bilangan itu akan ditambah dari masa ke semasa.

Salah satu program bersama murid.
Mengenai penghasilannya jelas Hamidah lagi ia bergantung kepada musim. Madu katanya akan dihasil apabila musim bunga lantaran itu pihaknya memperbanyakan penanaman pokok bunga-bungaan yang baik untuk dijadikan madu atau bekalan.

Ditanya bagaimana beliau menguruskan projek itu dalam kesibukan menguruskan sekolah, jelas guru yang pernah berkhidmat di pedalaman Sarawak selama lebih tiga tahun ini, ia berkat kerjasama semua pihak. Misal katanya untuk mempelajari cara-cara memproses sabun itu, beliau sendiri sanggup mencuri masa untuk berkurus mempelajari cara-cara membuat sabun.

Manakala projek ternakan lebah kelulut itu sudah menjadi sebutan di kalangan guru-guru sekolah di jajahan Kuala Krai khasnya, sehingga sudah ada sekolah yang bermiant dan meminta diajar kaedah dan cara-cara menternak lebah kelulut. Untuk itu katanya dia bersedia memenuhi permintaan itu tanpa bayaran sebagai salah satu kebajikan sekolah.

SK Temalir bukan sahaja aktif dan berjaya dalam aktiviti ekonomi, tetapi kegiatan-kegiatan lain juga selain Ko-Korikulum. Salah satu ialah mengatasi masalah murid yang tidak dapat mengikut persekolahan dengan sempurna kerana masalah kemiskinan.

"Apabila kita mendapati seseorang murid ada masalah, pihak sekolah akan menjejaki keluarga mereka dan akan mengatasi masalah mereka. Selalunya ialah masalah kewangan," cerita Hamidah.

Menurutnya pernah berlaku seorang murid tidak ke sekolah beberapa hari setelah dijejaki baru diketahui kenapa murid itu tidak ke sekolah kerana terpaksa membantu emaknya yang cacat tangan menoreh getah. "Kita bantu murid itu dengan menghulurkan bantuan sehingga ia dapat ke sekolah seperti biasa," jelasnya.

Kes-kes seperti ini menurut Hamidah banyak berlaku, kerana di sini kawasan luar bandar dimana rata-rata pendudukan berkerja sendiri, tetapi Alhamdulilah setakat ini dapat diatasi dengan baik dan jaya.

Apa yang dapat saya simpulkan di sini atas kejayaan SK Temalir itu adalah atas inisiatif ketiga-tiga entiti yang menjadi kuasa pembangunan sesebuah sekolah; guru, ibubapa dan murid. Tidak syak lagi kejayaan sekolah itu mampu berdikari kerana ada semangat dan jiwa kependidikan yang tinggi dikalangan guru-guru dan ibubapa.

Sewajarnya kalau apa yang ditujukkan oleh SK Temalir ini dijadikan model sebagai sebuah sekolah luar bandar yang berjaya, pantas sekali diikuti oleh sekolah-sekolah lain hatta termasuk sekolah di bandar sekali pun yang sesetengah masih ada yang tidak mencetak identiti dan kejayaan tersendiri.

Apa salahnya kalau pihak PPD atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau Kementerian Pendidikan mengikhtiraf usaha SK Temalir itu dengan memberi apa-apa anugerah atau penghormatan sebagai rangsang.

Syabas dan tahniah kepada karyawan SK Temalir khasnya Guru Besar, guru-guru dan Persatuan Ibubapa dan Guru-Guru. [wm.kl.4:00 pm 26/08/15]
Post a Comment