Monday, August 3, 2015

Roadshow GHB Wilayah Persekutuan meriah

PEMERHATIAN

Ahmad Awang berucap menyesali beberapa tindakan Pas.
Roadshow Gerakan Harapan Baru (GHB) Wilayah Persekutuan yang diadakan semalam dan malam tadi merupakan program pertama GHB Wilayah Persekutuan yang dibentuk dua minggu selepas 1 Syawal lepas. Program itu diisi dengan majlis dialog di sebelah pagi dan ceramah umum pada malam tadi.

Program itu bolehlah dianggap majlis permula, letak kerja oleh GHB Wilayah Persekutuan sebagai rentetan daripada beberapa majlis seumpamanya sebelum ini yang diadakan di Temerloh, Kota Bharu, Perlis dan paling baru di Manjoi Perak.

Walaupun majlis serupa juga di adakan di Jertih Terengganu tetapi ia tidak dapat dijadikan ukuran sebab bersifat daerah.

Majlis road show GHB peringkat negeriTerengganu akan diadakan dimasa akan datang, khabarnya pertengahan Ogos ini. Ketika itu nanti barulah dapat dibuat ukuran apakah GHB ditolak atau pun tidak dinegeri yang dianggap kuat menentang GHB. Bagaimana pun pelantikan Raja Kamarul Baharin Shah Raja Ahmad ahli Parlimen Kuala Terengganu sebagai pengerusi GHB, seakan telah merombak kekebalan Pas di Terengganu.

Jamilah, Dr Mariah dan Siti Aishah turut hadir.
Dari kesemua majlis-majlis itu, khabarnya majlis di Manjoi Perak paling berjaya dikira dari segi jumlah kedatangan. Khabarnya lebih 5,000 yang hadir. Begitu juga majlis di Perlis yang diadakan serentak dengan majlis di Kelantan, tidak kurang juga hebatnya.

Pnyerahan borang keahlian GHB oleh Baharum Indra.
Sebagai negeri kecil katanya kedatangan dan sambutan yang diberikan cukup memuaskan. "Negeri kami kecil sahaja, tetapi sambutan masyaAllah..."demikian komen seorang pimpinan asal Perlis penuh tawaduk.

Bagaimana pun di Kelantan, ia bolehlah dianggap sederhana jika diambil kira dari keluasan negeri Kelantan apa lagi jika mengambil kira Kelantan sebagai sebuah sekolah politik. GHB Kelantan dipengerusikan sendiri oleh veteran Pas Wan Abdul Rahim Wan Abdullah yang juga bekas ahli Parlimen Kota Bharu.

Sebahagian yang hadir memenuhi dewan KSS.
Iya boleh disifatkan kurang berjaya kerana jika dilihat kepada gambar pemimpin dimana lebih lima orang wakil rakyat ditepek dan diwar-warkan akan hadir pada majlis himpunan GHB yang diadakan sempena raya ketiga itu, tetapi jumlah kehadirannya separuh daripada yang diharapkan.

Kandatipun kehadiran itu memberi petunjuk boleh meresahkan Pas Kelantan, tetapi ia masih dianggap belum sampai kemuncaknya lagi. Jika dibandingkan dengan majlis anjuran Pas di Kelantan sejak akhir-akhir ini, majlis GHB di Dewan Perniagaan Cina itu jauh lebih berjaya.

Pun begitu jumlah kehadiran dan sambutan kepada program atau road show GHB bukan menjadi ukuran sebenarnya. Misalnya majlis di Kampung Baru malam tadi anjuran GHB peringkat Wilayah Persekutuan ia adalah permulaan. Majlis malam tadi dan dilain-lain juga bersifat dalaman atau kedaerahan sahaja.

Justeru tidak adil kalau hendak dibuat ukuran apakah GHB mendapat sambutan atau tidak. Puncak kepada kebimbangan di kalangan Pas terhadap pencabar baru mereka ialah apabila GHB didaftarkan sebagai parti politik. Ukuran sebenar dapat dibuat pada majlis perlancaran rasminya kelak yang dijadual pada 16 September.

Apabila ia dilancarkan menjadi sebuah parti politik secara rasmi dikala itulah analisa dan ujian sebenar dapat dilakukan. Bagaimana pun setakat ini kepaduan dan kesungguhan bekas pimpinan Pas dan mereka yang mahu mewujudkan sebuah parti Islam progresif masih sepadu dan bersemangat bagi membentuk sebuah parti baharu yang akan menjadi pengganti kepada Pas dalam Pakatan Rakyat.

Mereka nampaknya tidak boleh dihalang lagi, kalau diibaratkan kepada kereta mereka sudah masuk ke gear dua atau ketiga. Sudah nekad.

Mereka yang hadir pada majlis malam tadi jelas dari kalangan pendokong parti-parti dalam PR sebelum ini PKR dan DAP. Selebihnya adalah kalangan anak muda yang tidak berparti yang hadir untuk sebagai mengikut trend hari ini, dimana anak-anak muda dituntut peka dengan perkembangan semasa.

Anak-anak muda tidak kira sangat soal idealisme ataupun matlamat penubuhan sesebuah parti, bagi mereka sokongan kerana trend politik semasa yang mahu menjatuhkan kerajaan UBN. Pengaruh politik luar dan gerakan-gerakan menentang establishment dan kepengganasan menjadi trend kepada mereka. Jadi kewujudan GHB kepada mereka adalah satu kesempatan yang baik memlempiaskan perasaan mereka.

Sebahagian yang lain, mereka agak mengerti dan memahami politik, hadir bagi mendapat maklumat lanjut untuk memahami maksud penubuhan GHB itu. Mereka mahu melihat apakah perbezaan dinamik antara GHB dengan Pas atau ia merupakan sebuah gerakan sementara hati masih panas sahaja.

Para penyokong DAP juga hadir dimana Teresa Kok salah seorang pemimpin DAP menyampaikan ucapan mengalu-alukan penubuhan GHB. Demikian juga dengan penyokong PKR dan reformasi hadir sama. Nurul Izzah Anwar juga hadir dan memberi ucapan menyatakan komitmen dan pengharapan besar kepada GHB menjadi pengganti Pas dalam Pakatan baru.

Sokongan bolehlah disifatkan menggalakkan, sehingga dewan Kelab Sultan Sulaiman (KSS) yang dapat menampung kira-kira 1,400 itu penuh sesak sehinggakan ada yang terpaksa meninjau atau mendengar ucapan dari luar dewan. Acara agak simbolik pada malam tadi ialah penerimaan borang keahlian beberapa individu menyertai GHB antara ialah Baharum Indra adik kepada Mat Indra.

GHB Wilayah Persekutuan boleh menarik nafas lega dengan jumlah kehadiran malam tadi. "Saya bimbang juga kehadiran malam ini, kerana di siang kita dah ada program dialog, tetapi Alhamdulilah... sambutan meriah juga," tutur Tarmizi Mohd Jam yang bertindak menjadi timbalan pengerusi GHB Wilayah Persekutuan dan tenaga penggerak GHB menerusi media baru.

Hampir semua pimpinan GHB hadir kecuali beberapa yang mungkin ada majlis ditempat lain. Yang tidak kelihatan malam tadi ialah Dr Mujahid Yusuf, Salahuddin Ayub, Asmuni Awi, Raja Kamarul Baharin Shah, Mazlan Aliman dan lain-lain. Manakala Mahfuz Omar yang wajahnya tidak tertera di back drop juga tidak hadir.

Sementara pemimpin utama yang berucap Mohamad Sabu, Ustaz Ahmad Ahmad, Dr Mohd Hatta Ramli, Khalid Abdul Samad, Dr Mariah Mahmud selaku ketua wanita GHB dan lain-lain. Turut sama berucap ialah penyanyi Wan Aishah Wan Ariffin dan wakil NGO Ikram dan Bersih.

Penampilan istimewa malam tadi ialah bekas ketua Dewan Muslimat Pas, Ustazah Jamilah Ibrahim dan A Samad Said serta Shukur Harun yang tampil membaca sebuah puisi. Ucapan Jamilah yang penuh bersemangat mengusik perasaan para hadirin.

Seperti dikatakan tadi ukuran sebenar sejauh mana sambutan kepada GHB ini akan muncul selepas sebuah parti didaftarkan untuk dijadikan medium politik rasmi mereka. Setelah ia didaftarkan secara rasmi, strukturnya dibentuk, ketika itulah kita dapat membuat judgement apakah GHB mampu menyaingi Pas dan sekaligus mengambil tempat Pas dalam Pakatan Rakyat baru atau pun tidak. Atau GHB hanya bergerak seketika nafsu masih meruap sahaja?

Tegasnya gerakan yang dilakukan kini, - road show keseluruh negara menyebabkan pimpinan baru Pas sudah tidak lena tidur dan sudah ada yang mula menyembunyikan semula siku dan lutut yang mahu dikeluarkan sebelum ini bagi berhadapan dengan pencabar mereka.

Kebimbangan pimpinan baharu Pas terhadap GHB jelas apabila mereka sudah mencari ayat-ayat Quran dan hadith serta macam-macam jampi serapah khurafah untuk memagar ahli Pas agar jangan keluar dari parti itu. Mereka tidak bertindak diluar batas kebenaran itu kalau bukan kerana takut. [wm.kl.3:25 pm 03/08/15]
Post a Comment