Sunday, August 2, 2015

Badi Mahathir kini sudah terkena Najib

DARI BINGKAI MATA

Najib membelek Quran sambil diperhati Zahid.
Segala tindakan Najib Razak termasuk tindakan secara pejam mata (berani) memecat timbalannya Muhyiddin Yassin, serta tindakan susulan oleh PDRM tentunya atas arahan Zahid Hamdi yang baru menerima ghanimah jawatan TPM dari Najib, menahan beberapa individu tertentu tidak akan menyelesaikan masalah Najib.

Bahkan segala tindakan itu memberi alasan dan hujah baharu kepada penentang Perdana Menteri itu agar berundur. Tindakan itu menimbulkan kemarahan dan kebencian baharu kepadanya. Kalau dahulu orang di luar Umno yang serabut dan benci dengan Najib tetapi tindakan terbaru mengundang kemarahan dari dalam Umno.

Mereka yang bersimpati dengan Muhyiddin kini sudah lantang menyuarakan kemarahan dan kebencian kepada Najib. Senario ini akan kelihatan di sepanjang Umno di semua peringkat mengadakan mesyuarat peringkat bahagian yang sudah pun bermula kini. Keadaan menunjukkan Umno terbelah dua akan terpamer dari sikap dan tindak tanduk ahli ekoran tragedi itu.

Najib dalam menghadapi saat-saat genting gagal mengurangkan musuh tetapi ralik menambahkan musuhnya.

Nasib diterima Dr Mahathir Mohamad tahun 1998 ekoran memecat timbalannya Anwar Ibrahim, dimana Mahathir didesak dan diasak agar melepaskan jawatan kini sudah berjangkit, badi Mahathir sudah terkena kepada Najib. Walaupun tidak ada bangkitan segera daripada Umno tetapi momentum ke arah itu sudah bergerak.

Muhyiddin juga hari ini telah memberi isyarat dia tidak akan membisukan diri daripada terus memperkatakan isu 1MDB. Muhyiddin kata dia tidak akan berada dalam sindrom bisu. Ertinya skandal 1MDB akan dijadikan modal besar untuk Muhyiddin bergerak menggerudi Najib.

Tindakan memecat Muhyiddin itu satu perkiraan mendalam dibuat Najib. Tindakan itu sebenarnya satu pilihan terakhir yang harus dibuat secara pantas. Najib tidak ada pilihan kedua atau ketiga, hanya ada satu pilihan sahaja. Pecat Muhyiddin.

Muhyiddin bukan sahaja setakat menjadi duri dalam daging kepadanya, tetapi tindakan dan ketegasan Muhyiddin dalam isu 1MDB dan akaun peribadi Najib menjadikan, sikap Muhyiddin terhadap isu itu menjadikan ia bagaikan api dihadapan dan duri di belakang bagi Najib. Najib harus menyelamatkan diri dari keadaan itu.

Najib satu masa sukar untuk mengambil tindakan terhadap Muhyiddin tetapi dalam masa lain beliau terpaksa berbuat demikian apabila gagal menjinakkan Muhyiddin. Dipercayai Najib mula tertekan dan hilang akal apabila Muhyiddin menunjukkkan sikapnya tidak sedia berkompromi dengan Najib dengan memberi kata dua; berhenti atau Najib memecat beliau.

Sikap Muhyiddin itu menggambarkan beliau sudah tidak boleh lagi untuk berdiplomasi memikul masalah Najib, berhubung pengaliran wang dana 1MDB ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri itu sebanyak RM2.6 billion. Muhyiddin berbuat begitu kerana dia sendiri berasa malu berketuakan orang seperti Najib. Sebagai seorang yang dididik dengan nilai-nilai Islam sedari kecil Muhyiddin tidak sampai hati mengkhianati saksiah dirinya.

Manakala Najib pula, setelah berada dipersimpangan, yang amat sukar, akhirnya pada Selasa lepas telah mengambil risiko memecat Muhyiddin kemudian menyandarkan kepada Zahid Hamidi sebagai batu besar menghalang gelombang yang bakal meledak ekoran pemecatan itu. Masih menjadi tanda tanya apakah Zahid mampu menyelamatkan bosnya itu itu atau gelombang itu turut sama menenggelamkannya.

Zahid sudah pun mula bertindak. Dipercayai penahaan beberapa individu berautoriti dalam pelbagai agensi seperti Timbalan Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ahmad Sazilee Abdul Khairy dan dua yang lain Rashpal Singh dan Jessica Gurmeet Kaur, adalah atas arahan Zahid selaku TPM dan Menteri Dalam Negeri. Tindakan itu dibuat apabila Zahid sedia mencemarkan dakwat merahnya untuk mempertahankan Najib, menanda tangani memerintah polis menahan dan siasat mereka.

Penahanan individu berkenaan memberi gambaran betapa terdesak dan kritikalnya keadaan Najib sehingga terpaksa menggunakan aparat rakyat untuk membelanya. Tindakan itu terpaska diambil untuk menyelamatkan kedudukan dan kekuasaan Najib, bukan dibuat atas kebaikan rakyat. Hanya dengan kuasa yang tersisa yang ada sahaja yang membebaskan Najib dari penjara? Sampai bila?

Dipercayai lebih ramai lagi akan menjadi mangsa keadaan yang terwujud oleh Najib ini, dan Zahid akan memainkan peranan lebih luas lagi. Zahid yang terheret dalam permainan ini secara tidak langsung telah meletakkan dirinya dalam keadaan serba salah. Nasib politik Zahid juga akan ditentukan oleh nasib politik Najib.

Zahid sendiri tidak ada pilihan lain untuk menyelamatkan nyawa politiknya kerana beliau dikenali bukan kumpilan Muhyiddin. Satu masa Zahid pernah membuat kenyataan akan mencabar kedudukan Muhyiddin dalam Umno. Chemistry itu menyebabkan Zahid tidak betah dan mempunyai lorong cerah dalam Umno kalau Muhyiddin menjadi perdana menteri atau presiden parti.

Kalau satu masa dulu Zahid seakan menyerahkan nasib politiknya kepada Anwar Ibrahim, tetapi dia terselamat apabila cekap (baca munafik) mengambil sikap melarikan diri dan mufarakah atau berpaling tadah diri dari saf Anwar. Zahid yang bersama Anwar tetapi akhirnya meninggalkan Anwar kesepian dalam penjara.

Perubahan jawatan PM daripada Mahathir Mohamad kepada Abdullah Ahmad Badawi memberi peluang kepada Zahid membina semula imej politiknya, apabila Abdullah mengambil Zahid menyertai kabinet.

Hari ini Zahid yang tidak mempunyai kekuatan (karismatik) politik tersendiri sudah terheret jauh dalam percaturan politik kuasa Najib dan menjatuhkan Muhyiddin. Zahid kini walaupun bergelar jawatan timbalan perdana menteri, hakikatnya dia adalah "algojo" kepada Najib untuk menggantung sesiapa sahaja yang cuba mencabar dan menganggu Najib.

Justeru keadaan dan kedudukan Zahid, kelamaan dan kependekan dia memegang jawatan TPM itu bergantung kepada nyawa Najib Razak. Hari ini Najib berundur esok juga Zahid akan berundur. Atau kedua-duanya akan terkorban dalam tragedi serangan daripada rakyat jelata yang akan dimulakan pada bila-bila masa sahaja.

Zahid sebagai kawan dan pembela Najib sedia mengorbankan jari jemarinya dengan kekotoran kuasa yang ada kepadanya. Lihatlah nanti. [wm.kl.1:13 pm 02/08/15]

No comments: