Wednesday, August 12, 2015

Najib dan Mahathir lebih terpenjara daripada saudara

SELAMAT HARI JADI

Ybhg Datuk Seri Anwar Ibrahim,
Ketua Umum,
Parti KEADILAN Rakyat Malaysia,
D/A Penjara Sungai Buloh,
Selangor.

Assalamualaikum wbh wbt.

Gambar terakhir Anwar sewaktu masih bebas.
Saudara, pertamanya saya mengucapkan selamat hari ulang tahun kelahiran saudara yang jatuh pada hari semalam, 10 Ogos dengan harapan dan doa semoga saudara diberikan kesejahteraan serta keberkatan oleh Allah S.W.T di dunia dan akhirat.

Usia saudara kini sudah merangkak ke - 68 tahun dimana bagi sesetengah orang dianggap sudah lanjut usia dan tidak "rak" (berdaya) lagi untuk berjuang. Tempoh usia Nabi Muhamad S.A.W. dijadikan sakatan untuk hidup. Itu tanggapan daripada luar, apa lagi oleh mereka yang tidak memahami erti dan falsafah perjuangan.

Perjuangan bukan bermula semalam, tetapi ia baharu bermula esok. Semalam adalah pemasangan niat manakala esok dan hari-hari seterusnya adalah hari pelaksanaan niat.

Sebenarnya bagi saya, saudara baru semalam memijak medan perjuangan. Persumbatan saudara ke penjara Sungai Buloh pada 10 Februari 2015 yang kini sudah 184 hari, merupakan permulaan tahap ketiga perjuangan saudara setelah saudara melalui dengan jaya pada dua tahap sebelum ini.

Tahap pertama ialah pada tahun 1974 - 1976, apabila saudara ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), manakala tahap kedua ialah pada tahun  2000 hingga 2004 menerusi dakwaan liwat. Dimana dalam kedua tahap itu saudara terpelihara dalam penjara selama enam atau tujuh tahun dan telah lulus dengan cemerlang.

Tahap-tahap atau tempoh itu, dan kini adalah ujian penting bagi saudara dan ia calang-calang orang dapat digagahinya. Saya berkata begitu kerana saudara disumbat ke dalam penjara bukan kerana saudara melakukan jenayah seperti dilalui narapidana biasa, atau kerana saudara mencuri sehelai seluar sendor bersais XL, tetapi saudara dibawa ke penjara menerusi projek jahat yang maha hebat - menerusi satu konspirasi licit.

Saudara dipenjara kerana penguasa yang pengecut dibayangi ketakutan dengan pengaruh dan sokongan rakyat kepada saudara yang menggila.

Toh, begitu saudara tegal berada dalam penjara. Utuh bersama prinsip diri. Justeru bagi saya, saudara dibawa masuk ke dalam penjara bukan untuk membekukan saudara, jauh sekali mematikan jihad bangsa saudara. Bukan! Ini kerana api perjuangan saudara tidak pernah terpadam dalam penjara. Sebaliknya penjara adalah bagaikan sebuah makmal buat saudara memproseskan diri dan jiwa menjadi pejuang yang tulen dan hakiki. Saudara berjaya menukar penjara dari suatu keadaan menekankan menjadi sebaliknya.

Saya telah bilang di Malaysia ini selepas penahanan tokoh-tokoh nasional agamis tulen seperti Dr Burhanuddin Helmi, Ahmad Boestman dan lain-lain, maka saudaralah pemimpin pasca merdeka yang mewarisi jejak mereka. Mengungguli keberanian dan kegigihan daya juang para nasionalis dan agamis itu. Yang mempunyai keulitan dan keberanian dalam perjuangan. Yang sanggup mengharungi lautan api dan "merukah" gunung berduri. Yang sanggup dan rela meniarap makan pasir dan menentang makan embun.

Selama beberapa tahun dan setelah tiga kali saudara di penjara, namun ia tidak melemahkan semangat saudara. Hari ini dalam usia yang dianggap senja, tidak ada desah dan ah, daripada saudara bagi menunjukkan rasa jengkil dan cemuh dengan mehnaj perjuangan. Saudara tidak pernah merungut kekesalan atas apa yang berlaku. Bahkan, penjara itu tidak memberi apa-apa kesan langsung kepada saudara kalau tujuannya untuk mematikan langkah saudara di situ agar saudara berputus asa.

Kandati dalam penjara saudara masih boleh berkokok dan bernyanyi dengan irama memberi harapan dan membina impian murni buat rakyat. Suara dan irama saudara tidak pernah teralat. Kenyataan, seruan dan pandangan menggerakan langkah perjuangan terus dikeluarkan. Kemampuan dan kelangsungan ini sekaligus menunjukkan sudah tidak mudah dimatikan. Sebab itu saya tidak menganggap penjara adalah pusara buat saudara. Ini pun dapat dihayati oleh pejuang yang tulen sahaja.

Dengan pemenjaraan saudara kini yang terseksanya ialah bukan saudara, tetapi konspirator itu sendiri. Merekalah yang resah gelisah kesal dan sebal.  Perhatikan sahaja kepada apa yang berlaku dan menimpa kepada ketua konspirator mahu menghancurkan saudara, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Mohd Najib Razak. Tidakkah hari ini mereka sedang menerima hukum karma dan balasan Allah atas perbuatan mereka? Apakah keadaan kini mereka berdua lebih senang dan aman dari saudara?

Dr Mahathir sangat kecewa dengan Najib, manakala Najib sangat resah dengan serangan rakyat terhadapnya. Keadaan Najib kini bagaikan kera kehujanan berada didahan tinggi yang pokoknya "direnyut" goncang oleh rakyat dan Mahathir. Mahathir yang dulu meletakkan Najib dipanggung kekuasaan dengan mengharap sesuatu balasan kini sangat kecewa dengan tingkah laku dan perangai Najib. Mahathir mungkin merintih nasibnya, menyesal kerana dia tidak sempat menyangak harta negara lebih besar dari Najib.

Ironi melihat Dr Mahathir kini sudah mula menyedari kuasa rakyat perlu digunakan untuk menjatuhkan Najib apabila beliau juga bersetuju perarakan jalan raya perlu dilakukan untuk menyembamkan Najib. Penerimaan Dr Mahathir terhadap mekanisme menjatuhkan diktator ini merupakan satu kekalahan buat egoisme politik Dr Mahathir Mohamad.

Kegagahan dan keutuhan jiwa saudara juga terbukti apabila sebaik sahaja kaki saudara terpijak di bumi terbuka, saudara terus melaungkan semboyan perang melawan kezaliman dan penganiayaan ke atas rakyat. Ini terbukti apabila saudara keluar dari jeriji besi tahun 2004 setelah menjalani empat tahun penjara, perjuangan rakyat terus semarak. Bahkan rakyat makin menjadi berani dan bersemangat.

Ia juga memberi kekuatan dan mematangkan saudara. Sedar atau tidak keberanian itu menyebabkan saudara menjadi ikonik perjuangan bangsa yang tidak tahu erti menyerah dan mengaku kalah kepada paksaan bersalutkan kepalsuan. Kehadiran saudara tidak sia-sia untuk negara ini kerana saudara setanding dengan pejuang bangsa lain seperti Seokarno di Indonesia, Jose Rizal di Filipina atau pun Nelson Mandela di Afrika Selatan dan lain-lain wirabangsa. Saudara tetap akan dikenang begitu.

Mungkin penahanan pertama tahun 1974-1976, sebagai ujian dan disambut dengan rasa megah dan sorak sorai oleh saudara, kerana itulah yang diingini oleh seorang pejuang. Pejuang akan berasa megah dan bangga apabila dia ditahan kerana penahanan adalah sijil pengesahan bagi seseorang pejuang. Boleh dikatakan semua pejuang dunia dipenjara, bahkan ada yang syahid di balik tembok batu.

Bagaimana pun penahanan pertama itu bagi sesetengah orang sudah pun cukup untuk mereka berfikir dan surut ke belakang kemudian rebah kembali menjadi pengampu dan pemakan upah. Tetapi tidak dengan saudara. Semangat membela rakyat dan sedia menentang ketidakadilan, kezaliman terus menyelinap ke dalam pembuluh darah saudara. Malahan penjara tahun 1974 itu memberi kekuatan dan membakar jiwa saudara ia juga adalah bibit untuk saudara betah dalam tahanan.

Namun penjara kali kedua, tahun 2000 sesuatu yang bukan mudah untuk diatasi. Saudara bukan dibawa masuk kerana tertangkap apabila tersadung dijalan, setelah dikejar FRU atau apa, tetapi ia dirancang demkian jahat dan kejam sekali. Ia melibatkan satu konspirasi peringkat tertinggi, yang membabitkan semua aparat kerajaan, dari Perdana Menteri kepada budak pejabat. Konspirasi itu juga memerlukan wang bukan sedikit, kalau pun tidak sampai RM2.6 billion.

Projek memenjarakan saudara terlebih dahulu dilakukan penganiayaan dan pemaluan (pengaiban) dengan menyalahgunakan kuasa dan undang-undang. Yang terkena dengan kesadisan itu bukan sahaja diri saudara secara peribadi tetapi ia juga membabitkan semua anggota keluarga saudara, isteri dan anak-anak yang masih kecil. Konspirasi itu satu tindakan paling busuk dalam sejarah negara ini.

Serentak itu juga, saudara bukan diganggu mental, tetapi fizikal saudara juga diusik dan dicederakan. Saudara diterajang dan ditumbuk dalam keadaan mata tertutup oleh orang berjawatan Ketua Polis Negara. Jeritan sakit saudara tidak terlantas ke luar, malahan ia disembunyikan dengan kata-kata "safe and sound", bagaimana pun lebam dimata saudara memberi pemahaman yang memilukan. Lebam itu menjawab sebuah kesakitan dan kekejaman.

Pun begitu segala perlakuan jahat dan laknat itu tidak sedikit juga menggetarkan hati dan jiwa saudara, ia bercahaya sampai ke saat ini. Benar dan tepatlah ayahanda dan bonda saudara memberi nama itu, "Anwar" kepada saudara yang membawa maksud "bercahaya" kerana saudara memang mampu memancarkan cahaya.

Tidak terhitung berapa banyak cahaya atau sinar kesedaran yang dikeluar dan dipancarkan oleh saudara untuk kehidupan rakyat dan negara ini. Lantaran cahaya keberanian dan "lawan tetap lawan", "lawan sampai menang" itu menyebabkan beberapa agenda besar untuk menjahamkan negara menerusi perkosaan kuasa rakyat gagal. Paling ketara sekali ialah apabila jatuhnya diktator demokrasi bernama Dr Mahathir Mohamad.

Tidak dapat siapa nafikan, terburainya regim Mahathir yang kini disisai oleh Najib Razak yang kian mengganas, adalah hasil daripada perjuangan saudara. Atas idea, iltizam dan kebijaksanaan saudara membentuk barisan Pakatan Rakyat, telah berjaya menafikan hegemoni UBN sejak tahun 2008. Bahkan Dr Mahathir yang laksana persis "Hitler demokrasi" terpaksa berundur dan tumbang lebih awal daripada itu sepatutnya.

Demikian juga kejayaan Pakatan Rakyat menafikan kuasa dua pertiga UBN di Parlimen adalah atas inisiatif dan kekuatan pengaruh saudara. Tanpa kebijaksanaan dan ketabahan saudara ia tidak mungkin terjadi. Beberapa kejayaan besar pembangkang itu adalah kerana cahaya prinsip dan kedaulatan diri yang saudara pancarkan.

Di sini saya tidak mahu membicarakan keresahan jiwa saudara dalam melihat nasib Pakatan Rakyat hari ini. Cuma saya hendak menyebutkan bahawa keretakan itu berlaku kerana saudara berada dalam penjara. Rancangan pemerintah untuk meretak dan melemahkan Pakatan Rakyat berjaya. Saya percaya kalau saudara berada diluar nasib Pakatan Rakyat tidak seburuk hari ini. Saudara memiliki daya diplomasi paling tinggi hatta boleh tersenyum kepada orang yang mengherdik dan menghalau saudara saat menjadi tamunya.

Ini menjelaskan orang lain tidak sehebat saudara membangun jiwa dan membangkit semangat untuk menumbangkan UBN. Orang lain walaupun mereka mengaku mempunyai saham, sebenarnya adalah pengikut yang pandir sahaja. Lebih tepat sebagai perasan sedangkan mereka tidak ada buah fikiran dan keazaman langsung untuk menumbangkan kerajaan UBN. Mereka adalah pengutip ikan selepas air kering atau pun membaca doa saat hidangan hendak dijamah.

Saudara cukup setakat ini warkah bicara saya sempena hari jadi saudara. Saya tahu saudara tidak pernah ralat dan tetap tabah. Percaya dan yakinlah rakyat sedang menunggu saudara untuk memimpin negara bangsa ini.

Salam hormat,
MOHD SAYUTI OMAR.
[wm.kl.10:00 am 11/08/15]
Post a Comment