Tuesday, August 25, 2015

Kerajaan Kelantan perlu tiru langkah Adnan Yaacob

SUSUPAN MALAM

Adnan Yaacob
Langkah yang akan diambil oleh Menteri Besar Pahang Adnan Yaacub bersama 10 orang Exconya untuk mengistyharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) satu tindakan yang perlu dipuji dan dituruti oleh kerajaan-kerajaan negeri atau mana-mana agensi dan jabatan kerajaan yang lain.

Seperti mana kata Adnan ketika mengumumkan tindakan itu, langkah mengsityharkan harta itu bagi membuktikan ketelusan kerajaannya berhubung pemilikan harta secara sah. Ia tentulah juga sebagai satu kempen menentang rasuah dan serentak itu menunjukkan kerajaan Pahang mengambil berat soal integriti.

Walaupun mungkin langkah itu dianggap sebagai gimik politik Adnan untuk menarik perhatian umum, tetapi cadangan itu sesuatu yang baik dan praktikal. Ia juga pasti akan disenangi oleh orang ramai. Dengan adanya pengistyharan harta itu menyebabkan prejudis berlaku pemilikan harta yang melampau atau penyelewengan akan terjawab.

Nik Amar dalam satu majlis penerangan isu semasa.
Syabas diucapkan kepada Adnan Yaacob dan para Exconya kerana bersedia mengistyharkan harta milik mereka untuk pengetahuan umum. Dipercaya langkah diambil kerajaan Pahang itu sebagai negeri pertama berbuat demikian bahkan mendahului kerajaan Najib Razak sendiri.

Seperti mana diharapkan oleh beliau agar tindakan itu juga akan dituruti oleh negeri-negeri lain, di sini saya ingin menarik perhatian khusus kepada kerajaan negeri Kelantan yang dibawah pimpinan Pas yang bermegah dengan ketelusan dan kebersihannya.

Pas pernah berjanji dalam manifestonya untuk menubuhkan apa dinamakan Hisbah, sebagai badan pemantau seakan audit dalaman (PAC) di negeri itu sekiranya Pas memerintah Kelantan. Tetapi malangnya cadangan itu tidak dilaksanakan sampai ke hari ini. Kegagalan kerajaan Pas Kelantan menubuhkan Hisbah ini menjadi tanda tanya dan dilihat satu kemungkiran janji yang besar.

Kegagalan itu juga menyebabkan timbul kecurigaan mungkin berlaku pelbagai penyelewengan dan salah laku dalam kerajaan Kelantan yang disembunyikan.

Keperluan penubuhan Hisbah itu ketika ini sangat-sangat diperlukan apabila berlaku ketidak telusan dalam beberapa program dan juga projek anjuran kerajaan. Walaupun sehingga kini tidak ada kes penyelewengan dan salah lakukan membabitkan kakitangan kerajaan dan orang politik Kelantan dibawa ke SPRM, di mana ia dijadikan modal menandakan kerajaan Kelantan sebagai bersih, tetapi ia tidak bermakna tidak berlaku penyelewengan dan salah laku.

Umum tahu sesutau kes atau dakwaan yang hendak dibawa kepada SPRM memerlukan bukti dan dalil-dalil yang konkrit. Adakalanya penyelewengan dan rasuah jelas berlaku tetapi kerana buktinya lemah ia dtidak dapat diambil tindakan. Ada beberapa kes penyelewengan atau tindakan diluar peraturan berlaku di Kelantan tetapi dibiar begitu sahaja. Ada juga kes-kes penyelewengan tidak diambil tindakan apa-apa atas alasan menjaga nama baik kerajaan dan maruah seseorang.

Misalnya terbaharu kes melibatkan penebangan balak di kawasan yang tidak dibenarkan dalam kawasan jajaran pembinaan Lebuh Raya Rakyat Kelantan (LLRK) di Machang. Khabarnya berlaku pencerobohan kawasan balak disitu sehinggakan tindakan penyitaan dilakukan oleh Pejabat Perhutanan. Ada usaha untuk menyembunyikan tindakan itu dengan memberi jawaban-jawaban yang tambah meragukan keadaan.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa kes itu sudah pun sampai ke pengetahuan SPRM dan badan siasatan bebas itu sedang disiasat. Tindakan ini adalah susulan surat yang ditulis oleh bekas Exco Husam Musa yang mahu penjelasan berhubung dengan kejadian penyitaan balak itu. Bertindak atas surat Husam itu SPRM sudah memanggil beberapa pihak untuk menjawabnya.

Sekiranya wujud badan Hisbah, sudah pasti badan itu boleh membuat siasatan dan bertindak sebagai pemantauan dalaman. Dalam erti kata lain sekiranya ada Hisbah pihak kerajaan boleh menyiasat dakwaan itu secara dalaman sebelum ia ditangani oleh SPRM dan badan itu boleh membuat penjelasan bagi merungkaikan keraguan orang ramai.

Selain itu kes,  terbaharu yang juga perlu dipantau oleh kerajaan ialah berhubung pendedahan dalam media massa Internet kononnya Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah yang dikatakan memiliki berapa buah kenderaan mewah.

Mungkin pendedahan itu berniat jahat untuk memburukkan Nik Amar, tetapi kerana ia memberi persepsi buruk kepada kerajaan ia perlu dijawab segera. Sekiranya ada badan Hisbah ia boleh menyiasat dakwaan terhadap Nik Amar itu secara dalaman kemudian didedahkan kepada rakyat .

Beberapa hari lalu menjadi viral di media baru (Facebook) gambar beberapa buah kenderaan mewah dengan nombor plat yang unik dikatakan milik Nik Amar. Sahingga kini Nik Amar tidak menjawab mengenai perkara itu. Sikap mendiamkan diri Nik Amar itu akan diterjemahkan sebagai beliau takut dan bersalah. Kerana biasanya orang bersalah sahaja akan berasa takut.

Dan sekirnya kerajaan Kelantan mengambil langkah mengistyharkan harta seperti dicadangkan oleh kerajaan Pahang itu, sudah pasti isu-isu atau dakwaan seperti yang dilemparkan kepada Mohd Amr itu dapat dijawab dengan segera oleh kerajaan kerana pihak kerajaan sudah memiliki senarai harta kakitangan kerajaan atau para Exconya [wm.kl.8:51 pm 25/08/15]
Post a Comment