Wednesday, August 5, 2015

Kenapa polis kacau SPRM?

ULASAN

Tindakan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang mengelidah ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan menyiasat beberapa orang pegawai tingginya berjam-jam memunculkan satu senario dan sejarah baharu dalam negara ini.

Tindakan PDRM itu yang dibawah kawalan menterinya Ahmad Zahid Hamidi, yang baharu dilantik menjadi TPM memberi persepsi busuk terhadap negara ini, bahawa badan bebas (SPRM) itu kini seolah-olah bukan bebas lagi atau pun cuba dimonitor mengikut pihak berkuasa.

Dalam hubungan itu juga orang melihat Zahid Hamidi telah memainkan peranan sewajarnya sesuai dengan "ghanimah" yang diperolehinya.  Zahid dianggap menjadi alat yang baik.

Sejarah ini bakal menjadi sebutan dan iktibar dimasa hadapan kerana sejak negara merdeka dan kewujudan badan berkenaan, (SPRM dulu Biro Siasatan Negara kemudian Badan Pencegah Rasuah (BPR) inilah baru ia berhadapan dengan satu keadaan tertekan, memalukan dan menyebabkan integriti badan itu sendiri rosak. Tindakan polis yang membuat serbuan dan siasatan seakan mencorengkan arang ke muka SPRM.

Ia bermula dengan penahanan bekas penasihat SPRM, Rashpal Singh yang kemudian diikuti dengan penahanan dan siasatan ke atas Pegawai Pendakwanya, Ahmad Sazalee Abdul Khairi yang dilakukan beberapa jam.

Penangkapan itu diperluaskan lagi dengan siasatan terhadap Pengarah Operasi Khas Bahrin Mohamed Zin, dimana Bahri bukan sahaja terkejut dengan penahanan beliau itu tetapi disifatkan sebagai satu perbuatan "gila".  Bahri menyalahkan ada pihak lain yang mengarah polis.

Selain Bahri, Pengarah Forensi SPRM, IG Chandra juga menerima nasib sama. Dan terbaharu timbalan pengarah Operasi Khas, Tan Kang Sai juga disiasat sama. Penahanan Kang Sai menjadikan pegawai SPRM ketujuh yang ditahan dan disisat polis.

Memang seperti kata Bahrin tindakan polis menyiasat para pegawai SPRM itu sebagai satu tindakan gila. Tindakan polis itu akan diterjemahkan umum sebagai satu tindakan terdesak oleh pihak tertentu yang menggunakan kuasa polis bagi menyelamatkan dirinya. Tindakan itu juga menyebabkan ia akan dilihat bahawa SPRM seolah-olah menjadi musuh baru kepada Perdana Menteri yang waktu ini menghadapi krisis keyakinan yang teruk.

Dalam pada itu hari ini dibayangkan pula dua orang penting SPRM termasuk Pengerusinya Abu Kassim Mohamed dan timbalannya Mohd Sukri Abdull diminta bercuti. Arahan itu sudah tentu bagi membolehkan polis terus mengelidah dan menyiasat pegawai SPRM tanpa ada had dan batasnya.

SPRM diserang dan dilanggar polis ekoran badan itu menyiasat berhubung salah laku dana 1MDB yang dikaitan dengan Najib Razak.

Adalah satu yang amat aneh, pegawai SPRM dari badan bebas dan telus diberi tanggungjawab membenteras rasuah dan penyelewengan tetapi ditekan oleh polis. Tindakan untuk meminta kedua orang penting itu bercuti, tepat seperti mana disifatkan oleh sebuah portal berita ia sebagai untuk melumpukan siasatan SPRM ke atas syarikat SRC International Sdn Bhd berhubung dengan dana RM4 billion yang dikaitkan dengan Najib.

Sehingga kini sudah tujuh pegawai dan pengarah SPRM disiasat oleh polis.

SPRM sendiri tertekan dengan tindakan polis itu dimana ia boleh menjejaskan reputasi dan maruah badan berkenaan yang dianggap sebagai bebas. Tindakan kakitan badan itu yang mengadakan solat hajat menjelaskan apa yang sedang berlaku kini, bahawa kakitangan SPRM kini benar-benar dalam keadaan tertekan.

Upacara solat hajat itu bolehlah disifatkan sebagai badan itu mencari kekuatan spiritual untuk meneruskan tugas dan amanah yang dibebankan ke atas mereka selepas mereka meragui atau hilang kepercayaan kepada ketelusan kerajaan ke atas mereka. Upacara itu juga memberi gambaran mereka tidak lagi berharap kepada kerajaan membantu mereka, maka mereka terpaksa menyerahkan kebijaksanaan dan perlindungan daripada Yang Maha Esa.

Apakan SPRM selepas akan diam daripada terus melaksnakaan tugas dan tanggungjawabnya? Inilah yang merisaukan rakyat. Sekiranya SPRM mengambil sikap menarik brek dan membiarkan apa yang berlaku mengikut kehendak individu tertentu dalam kerajaan badan itu akan hilang kreadibiliti dan wajar kalau Najib berfikir untuk membubarkannya. Tidak ada guna lagi SPRM wujud kalau ia sekadar untuk dijadikan lambang ketelusan dan keberanian.

Tidak ada guna badan itu wujud sedang tugas dan tanggungjawab yang diserahkan kepada mereka yang dibentuk oleh kuasa rakyat (Parlimen), tidak dapat berfungsi dengan baik dan "diceduk" tengah jalan. Kita percaya kakitangan SPRM juga tertekan dan malu dengan apa yang menimpa agensi berkenaan.

Bagaiman pun sekiranya kakitangan SPRM, bermula dari Pengerusi, timbalan pengerusi dan pengarah serta pegawainya tetap berpegang kepada piagam perkhidmatan mereka, akur kepada sumpah dan janji perkhdimatan, mungkin negara akan dapat menyaksikan atau mencatat sejarah bagaimana SPRM mencatat rekod sebagai sebuah badan yang menyelamatkan Malaysia dari musnah kerana kerakusan kuasa pemerintah.

Dan atas ketegasan dan keberanian itu kelak sudah pasti SPRM akan disanjung sebagai sebuah badan penyelamat nasib negara ia dianggap lebih berjasa daripada polis. 

Justeru adalah wajar dirasakan kalau semua rakyat Malaysia memberi sokongan moral kepada SPRM dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka.  Jika perlu mungkin satu perarakan rakyat diadakan sebagai menyokong atas keberanian dan kebertanggungjawsab SPRM tanpa mengira bulu.

Tepat sekali saranan dan pertegasan MB Selangor Azmin Ali, tindakan polis menahan dan menyiasat pegawai SPRM itu sebagai menganggu tugas SPRM seperti mana disebut dibawah  Sekeyen 48 Akta SPRM. [wm.kl. 5:52 05/08/15]
Post a Comment