Monday, August 24, 2015

Berkongsi udara bersama Najib Razak, hehe

DIARI SEMALAM

Keadaan benderha Pas di Jalan Pengkalan Chepa.
Jet 1Malaysia yang membawa perdana menteri Najib Razak, meninggalkan landasan beberapa minit sebelum Malindo Air OD 1256 yang membawa saya bersama puluhan penumpang lain melakukan hal yang sama. Walaupun saya tidak satu pesawat dengan Najib, setidak-tidaknya pada hari kelmarin itu, di antara jam 9:30 pagi hingga 10:30 pagi saya berkongsi ruang udara sama dengannya.


Najib menuju ke Timur Semenanjung, saya bersama isteri dan seorang kawan juga menuju ke arah sama, Timur Semenanjung, Kota Bharu. Destinasi kami nampaknya sama, tetapi mempunyai acara berlainan. Sebelum singgah di Kota Bharu, Najib terlebih dahulu ke Kuala Nerus, Terengganu merasmikan mesyuarat perwakilan kawasan itu.

Di Kuala Nerus, Najib menasihat ahli Umno jangan mengorek kapal. Katanya kapal korek tak apa kerana ia boleh digunakan untuk cari komididi timah dan minyak, tetapi jangan korek kapal. Kalau korek kapal semua orang (Umno dan dia) akan mati lemas. Kenapa Najib terpaksa melemparkan nasihat demikian, apakah Najib sudah mengetahui yang kapal Umno sudah bocor?

Menyental mee Musa, tidak bengah.
Dari Kuala Nerus jetnya melewang ke Kota Bharu. Di Kelantan Najib akan menghadiri dua acara, perasmian Pusat Harian Hemodialisis di Hospital Raja Perempuan Zainab II dan merasmikan mesyuarat perwakikan Umno bahagian Rantau Panjang. Dapat tahu juga sedikit cerita yang ada kekecuhan dalam mesyuarat Umno bahagian itu. Mesyuarat terpaksa diadakan semula kerana masalah teknikal. Ertinya mesyuarat semalam belum berakhir lagi.

Menjamu durian kunyit di rumah Dr Zain.
Pulang ke Kelantan, saya bersama isteri pula hanya ada satu acara tetap sahaja menghadiri kenduri anak saudara di Machang Kelantan, manakala ada beberapa acara susulan lain sebelum berangkat pulang ke Kuala Lumpur, malam tadi; berjumpa kawan-kawan dan acara makan-makan, mengedap kedai-kedai makan lama di era 80an di sekitar Kota Bharu. Mahu menguji citarasa apakah masih kekal atau pun sudah berubah. Itulah kerja saya dizaman pensiun ini.

Salah sebuah kedai ialah kedai mee milik Musa, yang menjadi kedai atau ketika itu gerai kunjungan saya dan kawan-kawan boleh dikatakan setiap hari. Mee Musa simpla sahaja, saya panggil "mee bodoh", tetapi citarasanya unik serta tersendiri dan masih kekal sehingga ke hari ini.

Dari sebuah gerai payung - dua biji, kini Musa sudah mampu membina sebuah rumah kedai yang nilainya ratusan ribu bahkan mungkin mencecah jutaan ringgit. Musa adalah contoh peniaga yang gigih dan cekal. Beliau juga sudah menunaikan fardu Haji bersama isterinya.

Semasa di Kelantan kelmarin, mulanya saya bercadang juga untuk menjenguk Najib di Lubuk Jong Rantau Panjang. Inilah pertama kali Najib sampai ke bumi Lubuk Jong sebahagian daripada kawasan saya dalam parlimen Rantau Panjang. Apa yang hendak saya perhatikan apakah sambutan ke atas Najib meriah dan masih jelingah? Apakah Umno berghairah dengan suasana sekarang ini atau pun lunyai?

Apakah isu yang melingkari diri perdana menteri itu menjejaskan sambutan dan semangat ahli Umno kepadanya. Atau pun ahli Umno tidak pedulikan itu kerana mereka kini berasakan ada peluang terbaik untuk merampas Kelantan. Najib juga semasa di Lubuk Jong mengumumkan projek perluasan jalan Pasir Mas - Rantau Panjang menjadi empat lorong. Ia akan dilaksanakan dalam Malaysia ke-11. Apakah pengumuman itu menimbuskan rasa marah ahli Umno dan rakyat Rantau Panjang kepadanya?

Waktu ini Pas dalam keadaan berkecamkan ekoran tragedi yang berlaku dalam muktamar parti tersebut dua tiga bulan lepas. Kesan kekecamukan itu terbawa ke Kelantan. Justeru waktu ini adalah masa terbaik kalau Umno Kelantan berhajat untuk merampas kerajaan Pas yang sudah berusia lebih 25 tahun itu.

Perpecahan dalam Pas dan kewujudan parti baharu yang digerakkan oleh Gerakan Harapan Baru (GHB) memberi potensi baik kepada Umno Kelantan. Situasi inilah yang menjadi perhatian saya dan ingin dianalisakan, apa akan terjadi pada pilihan raya umum akan datang. Kunjungan Najib ke Kelantan itu sedikit sebanyak memberi jawaban sejauh mana Umno bersedia dengan keadaan yang ada.

Berkenaan dengan GHB mulanya saya kurang yakin dengan gerakan ini di Kelantan. Bertolak kepada kekuatan Pas Kelantan yang dibina dizaman Tokguru, tidak mudah untuk memecahkan sokongan rakyat kepadanya. Tetapi perkembangan ke belakangan ini khasnya di Selangor, dimana sambutan hangat kepada GHB dan beberapa kawasan Pas negeri itu juga sudah punah, ia membuka ruang kebimbangan di Kelantan.

Mungkin benar generasi 60an tidak akan meninggalkan Pas walaupun Pas itu dipimpinan oleh Inche Ibrahim Ali sekalipun, tetapi generasi muda ada pandangan politik berbeza. (Ohya, bila sebut nama Ibrahim Ali, semasa hendak berlepas ke Kota Bharu saya terserempak dengannya. Dia juga balik ke Kelantan tetapi dengan kapal berlainan, jadi hamisnya tidak terhidu dek hidung saya. Melihat kepada gaya, si Salentia ini menjadi galak kembali sejak Pas bergocoh sesama sendiri. Air keruh menang disukai oleh Selentia.

Saya yakin dia masih menaruh harapan di Pasir Mas. Elok juga kalau dia kembali menjadi ahli parlimen di Pasir Mas. Dewan akan riuh dengan suaranya dan suara rakyat Pasir Mas juga akan bergema di dewan. Si Selentia ini walaupun moral politiknya rosak tetapi pengalaman politik yang, ada dia lebih baik dari wakil yang ada sekarang ini, duduk dalam dewan hanya melurut janggut sahaja).

Berhubung susana di Kelantan tadi, yang Pas Kelantan perlu bimbangkan ialah generasi muda dan juga pengundi yang berada diluar dimana mereka sudah mulai tertuba dengan semangat GHB. Sejauh manakah semangat pengundi yang berada di luar yang rata-rata terdiri dari anak-anak muda bersedia untuk pulang ke pertiwi Kelantan bagi mengundi Pas? Inilah tugas besar para pemimpin baharu Pas Kelantan memikirkannya.

Pas Kelantan perlu memenjelmakan seorang ikon baharu anak muda di Kelantan bagi menarik dan mengekalkan sokongan orang muda kepada parti itu. Kalau sebelum ini ikon atau tokoh menjadi idola kepada anak muda di Kelantan ialah Husam Musa. Dengan berlaku penganiyaan dan pengusiran secara penuh tektikal kepada Husam menyebabkan anak-anak muda di Kelantan sudah tidak ada ikon mereka lagi.

Cukup Pas kehilangan 10% hingga 20% sokongan dalam pilihan raya akan datang parti itu akan menangis tidak berlagu dan kerajaan Kelantan akan bertukar tangan. Masa masih ada bagi Pas Kelantan untuk memulihkan keadaan dan juga menyelamatkan ikon anak muda ini. Sehingga hari ini Husam masih bertawakus dan istiqamah dengan Pas, apabila beliau belum muncul di mana-mana majlis GHB.

Perasaan prajudis, benci dan dendam terhadapnya berhubung beberapa kes sebelum ini, yang statusnya belum pasti siapa betul dan benar hendaklah dibuang. Sesetengah orang-orang Pas perlu bertindak bijak dan profesional dalam hal ini. Dan awas kalau emosi mengatasi segala-galanya, semuanya akan mengalami kerugian. Kalah akan jadi abu menang akan jadi arang.

Ini atau suasana inilah yang saya inginkan perhatikan - keadaan Pas dan peluang Umno. Minat itu juga membusung dalam diri saya, apabila terasa sekali yang Pas Kelantan kini dalam keadaan kusam, kurang jelingah dan tidak bersemangat seperti dahulu. Kerajaan Kelantan juga kini dikatakan ada masalah, beberapa GLC yang dibangunkan untuk menjana ekonomi satu persatu runtuh macam gunung ais tatkala mentari menjelma.

Keadaan yang menimpa Pas Kelantan ini bukan sahaja setelah kewujudan GHB tetapi beberapa bulan sebelum itu lagi, tepatnya setelah ketiadaan Tokguru Nik Abdul Aziz Nik Mat.  Pemergian Tokguru seolah-olah turut sama membawa khazanah dan keramat yang ada kepada Pas di Kelantan. Kuliah "agamapolitik" yang diadakan pada setiap Jumaat di Dataran Ilmu Jalan Dato' Pati  juga dikatakan sudah hambar dan tawar dan jumlah kehadiran juga mulai berkurangan? Penceramah yang ada termasuk Ahmad Yaakok gagal menarik minat orang ramai.

Kesayuan dan kedukaan yang menimpa Pas Kelantan ini dikongsi bersama oleh bangunan Pusat Terbiah Islamiah Pas (Putik) yang berdiri di sisi lapangan terbangan Sultan Islam Putra, Pengkalan Chepa. Kesayuan dan keresahan ini menjadi "mural" di bangunan berkenaan.

Bangunan Putik itu menjadi mercu tanda Pas yang sebelum ini dicemburui oleh orang Umno, kini wajahnya tidak sesegak dulu lagi. Putik menjadi lambang kegahan Pas di Kelantan. Setiap orang masuk ke Kelantan menerusi lapangan terbang itu akan terhidang dengan juadah kehebatan Pas itu.

Tetapi entah kenapa bangunan itu kini seakan sepi dan la'ih sahaja. Bendera besar Pas yang berkibar megah di bangunan itu juga sudah lusah dan seakan pudar warnanya, tidak diganti yang baharu. Begitu juga capnya telah pudar. Saya terkesan ini bila memerhati keadaan bangunan Putik itu sebaik sahaja pesawat membawa saya mendarat. Bangunan itu tidak lagi memancing pandangan seperti selalunya. Seri dan pamornya juga seakan sudah dawas.

Bukan sahaja bangunan menjadi kebanggaan Pas itu, keadaan resah dan lunyai Pas juga kelihatan di seanjang perjalanan. Banner yang memaparkan wajah Najib Razak yang dipasang di tiang-tiang lampu dari lapangan terbang sampai ke bandar Kota Bharu, nampak lebih terang daripada lambang-lambang Pas. Misalnya sehelai bendera Pas di Jalan Pengkan Chepa sudah lusuh dan carik barik.

Keadaanya juga semacam malas untuk bergerak, walaupun sesekali ada angin barat laut menggerpaknya. Kemalasan bendera itu berkibar membuka dada menunjukkan gah, menjelaskan itulah apa yang berlaku dalam Pas Kelantan dan kerajaan kini. Lebih terhiris lagi apabila ada bendera yang berada diseparuh tiang.

Kandati pun di beberapa sudut di bandar Kota Bharu ada papan iklan gergasi yang memaparkan wajah MBnya, Ahmad Yaakob serta beberapa Exco yang gila publisiti, tetapi ia tidak begitu mengamit rasa dan memegunkan jiwa. Bahkan makin lama ditenung gambar wajah itu meloyakan pulak.

Saya tidak sempat ke Lubuk Jong kerana masa saya banyak dicuri ketika di Machang. Apa lagi jalan juga jam. Kesesakan ini juga memberi petunjuk yang tidak sihat kepada Pas Kelantan, kerana ia jam disebabkan adanya acara Umno. Hari semalam selain kunjungan Najib ada beberapa acara lain melibatkan kerajaan dan Umno. Salah satunya acara, larian belia anjuran kementerian Belia dan Sukan. Kejayaan Khairay Jamaluddin bermain dengan anak-anak muda memberi indikator tidak baik kepada Pas Kelantan. Walaupun Umno itu dilihat sebagai parti bermasalah besar, tetapi pesta-pestaan yang dianjurkan menyebabkan anak muda tidak terfikir masalah Umno. Bagi anak muda apa yang mereka ingin ialah berseronok.

Kepada anak muda mereka tidak menilai parti, dari segi semangat atau ideologi parti berkenaan. Bagi mereka ialah keseronokan dan hiburan. Anak muda akan bergerak mengikut treand semasa. Sikap anak muda begini sangat berbahaya kepada parti yang mementingkan ideologi dan akidah seperti Pas. Disinilah kalau Pas tidak menggabungkan pendekatan lama dan kontemporari, parti itu lama kelamaan akan ditinggal oleh anak-anak muda. Anak-anak muda akan tidak merasakan apa-apa keindahan dan kehebatan lagi kepada Pas.

Di Kelantan pada hari itu juga ada acara anjuran GHB. Bertempat di Tumpat GHB mengada permukiman. Majlis itu dihadiri dua orang pimpinan GHB pusat. Lebih 50 orang bertaraf pemimpin GHB Kelantan hadir. Sebelah malamnya diadakan ceramah GHB di Pasir Mas Kelantan. Saya tidak mendapat maklum penuh kedua acara berkenaan. Tetapi apa yang boleh disimpulkan dengan adanya acara itu, ia menjelaskan bahawa GHB sedang bergerak dan mengugatkan Pas di Kelantan.

Aktiviti kecil-kecillah, mengumpul ahli dan penyokong GHB terus diadakan. Satu perkara paling ketara kehadiran dan sokongan kepada ceramah BGH ternyata mengatasi sambutan kepada ceramah atau majlis anjuran Pas Kelantan. Satu majlis menolak GHB yang diadakan di Kuala Krai pada sebelah paginya, khabarnya tidak mendapat sambutan. Fenomena ini sesuatu yang bakal memberi masalah kepada Pas. Apa yang dibimbangkan dengan ketidakcakduhan dan berpolitik secara usang ini Pas Kelantan ia telah mula menunjukkan kesan negatif.

Demikian sekelumit diari semalam sepanjang semalaman di Kelantan. Walaupun balik untuk rihat tetap diri tidak terlepas dengan persoalan politik yang kian panas kini. Terima kasih juga kepada kekawan dan pengikut blog Merah Tinta yang bersapa dan ada yang ke airport mengejar saya untuk berbual dan bertanya khabar. Inysa-Allah dilain kali kita bercerita lagi. [wm.kl.7:30 am 24/08/15]
Post a Comment