Wednesday, August 19, 2015

Jaminan Mustapa, Tuan Ibrahim tidak laku

SUSUPAN TENGAHARI

Atas sifat politik itu serba kemungkinan, namun jaminan oleh sekurang-kurang dua pemimpin Pas Mustapa Ali dan Tuan Ibrahim Tuan Man, bahawa Pas akan menyokong undi tidak percaya ke atas Najib Razak sebagai perdana menteri jika diadakan, ia masih boleh dipertikaikan.

Berpandukan pengalaman lepas, saya tidak yakin dengan jaminan Pengarah Pilihan Raya dan Timbalan Presiden Pas itu, selagi Pas dibawa pimpinan Abdul Hadi Awang dan dikuasai secara tektikal oleh Haron Din.

Kalau pun Abdul Hadi dan Haron sendiri memberi jaminan itu ia bukan boleh ditelan bulat-bulat macam ikan baung telan najis. Kata-kata itu harus ditilik dan dikaji secara mendalam.

Orang yang memberi kata putus dalam Pas ialah Haron Din dan Abdul Hadi Awang. Bukan Mustapa dan Tuan Ibrahim. Haron Din bukan sahaja Mursyidul Am penjawat jawatan tertinggi dalam Pas, tetapi dia juga mempunyai kuasa ekskutif, pemutus secara kerohanian? Hakikat ini tidak dapat dinafikan oleh sesiapa dalam Pas.

Ahli Pas termasuk juga ahli parlimen akan wala' kepada kata-kata kedua mereka itu walaupun ia bercanggah dengan prinsip berorganisasi. Perkara ini sudah terbukti apa yang berlaku dalam Pas selama ini. Kata mereka adalah kata pemutus yang bukan harus bahkan "wajib" dituruti.

Justeru, jaminan Mustapa Ali dan Tuan Ibrahim Man itu tidak lebih daripada hendak meredakan suasana terkini dalam Pas sahaja. Kenyataan itu adalah untuk memperlahankan gelora kritikan dan protes umum kepada Pas kini ekoran wujudnya Gerakan Harapan Baru (GHB). 

Jaminan kata-kata itu sebagai membendung kebencian ramai kepada Pas yang ingin bersekongkol dengan Umno. Mustapa dan Tuan Ibrahim berharap dengan kenyataan itu ia boleh membantu Pas dari terus dicurigai dan dipertikai oleh umum.

Kenyataan dan cakap-cakap Presiden dan Mursyidul Am Pas yang juga dilestarikan oleh beberapa pemimpin muda lain, itulah hakikatnya. Dalam saat Pas bernostalgia untuk berkahwin dengan Umno, apa dibayangkan Mustapa dan Tuan Ibrahim itu termansuh sama sekali. Percanggahan pandangan antara mereka adalah strategi dan taktik.

Sekiranya ada rancangan untuk menganjurkan undi tidak percaya kepada Najib, jangan mengharapkan ia mendapat sokongan kesemua ahli parlimen daripada Pas. Sekurang-kurang tiga atau lima daripadanya akan menentang. Ketika ini mengajak Pas untuk berlawan dengan Umno hanya menyakitkan hati sahaja. [wm.kl.12:05 pm 19/08/15]
Post a Comment