Monday, July 7, 2008

Laporan Lewat

Protes Minyak Bertukar Jadi Protes Konsert

MALAM tadi dengan berbekalkan kamera kecil saya ke stadium Kelana Jaya, Petaling Jaya sekali lagi untuk melihat secara langsung Himpunan Sejuta Rakyat memprotes kenaikan harga minyak. Malam ada acara kemuncak pidato protes oleh ketua-ketua parti pembangkang, PKR, Pas dan DAP. Sebelah pagi saya sudah ke sana dan laporan telah pun dimasukkan ke dalam blog ini di sebelah petang.

Apakah isi dan hujah pidato oleh ketua-ketua pembangkang. DAP diwakili oleh Lim Kit Siang, manakala Pas oleh Timbalan Presiden, Nasharudin Mat Isa. Manakala PKR diwaikili oleh penasihat umumnya Anwar Ibrahim yang juga menjadi perasmi penutup himpunan berkenaan.

Saya yakin orang ramai bersedia berpusu ke sana bukan malam tadi bukan lagi untuk menjerit memprotes kenaikan harga minya dan memberi cadangan kepada kerajaan mengatasinya, tetapi lebih ingin mendengar apakah hujah balas dan huraian terbaru oleh Anwar berhubung kes yang melingkungi dirinya kini.

Ada beberapa perkara yang orang ramai memerlukan penjelasan dan ketegasan daripada Anwar Ibrahim selain daripada mendengar cerita-cerita molok mengenai harapan untuk membentuk Malaysia Baru.

Sampai separuh jalan ada mesej masuk dalam telefon mengatakan Pas tidak menghantar wakilnya untuk berucap malam ini. Kenapa?
Sebabnya, tentulah tidak lain dan tidak bukan kerana insiden pada petangnya, di mana berlaku sesuatu yang kurang manis dalam majlis yang disertai sama Pas. Khabarnya di sebelah petang telah berlaku konsert rock oleh sebuah kumpulan yang bernama Carburator Dung. Penampilan dan persembahan kumpulan berkenaan katanya tidak menyenangkan sesetengah anak muda Pas.

Ada tarian tungging punggung dan aksi tarik seluar dalam sambil melaung perkataan, jilat... jilat. Semasa kumpulan itu beraksi di pentas, protes bukan lagi kepada kenaikan harga minyak tetapi protes bertukar kepada persembahan rocker berkenaan.

Orang ramai marah dengan aksi itu sampai berlaku baling botol dan kumpulan rock seramai empat orang itu terpaksa dilindungi dan dibawa turun dari pentas. Khabarnya ada yang jatuh terlentang!

Semasa meninjau ke stadium itu di sebelah pagi saya sudah nampak atas pentas bawah ada alat muzik. Ada orang sedang mencuba-cuba memetik gitar. Saya sudah rasakan bahawa ada nyanyian akan berlangsung. Dan melihat kepada beberapa muka yang bakal mengambil bahagian saya sudah dapat bayangkan apa yang akan berlaku kelak. Tentu persembahan mereka panas dan penuh emosi!

Ternyata apa yang diduga itu benar-benar berlaku.

Gara-gara insiden itu menyebabkan himpunan yang mula berjalan secara teratur menjadi cacat sedikit. Pasukan keselamatan Unit Amal Pas dikatakan telah menarik diri daripada memberi khidmat kawalan lalu lintas dan keselamatan pada sepanjang himpunan berkenaan.

Protes UnitAmal itu memang tepat. Tidak ada guna mereka berkawal kalau hal-hal seperti nyanyian dan tarian tunggung punggung dipersembahkan. Mereka mungkin tidak mahu bersubahat dengan kerja-kerja mungkar sedemikian. Pas berjuang menegak kebenaran dan bukan bersubahat dengan kemungkaran!

Kejadian itu mungkin mendapat perhatian para pemimpin rohani Pas, yang mana akhirnya memutuskan tidak menghantar mana-mana pemimpin untuk memberi ucapan kemuncak protes pada malam tadi. Nasarudin Mat Isa yang dijangka berucap tidak kelihatan.

Apa yang berlaku itu perlu diambil iktibar. Tidak salah kalau Pas menyokong apa-apa juga protes untuk kepentingan rakyat (bukan kepentingan individu). Itulah jihad. Tetapi kalau ianya diselit dengan kemungkaran, maksiat dan kurafat ia tidak sesuai bagi Pas.

Mungkin kepada PKR, DAP dan NGO lain tidak mendatangkan apa-apa masalah. Hal-hal yang berlaku petang semalam adalah biasa dan menghiburkan mereka! Tetapi bukan kepada Pas. Justeru lain kali Pas kena pastikan apa-apa majlis yang dianjur bersama hendaklah diselidiki dan dikenal pasti bentuk pengisiannya.

Bagi ahli yang tidak tahu erti berpolitik (matlamat menghalalkan cara) dan jujur, mereka pergi kerana Allah tentu akan terkedu dengan peristiwa itu. Sebaliknya hal-hal yang berlaku di himpunan itu semalam mungkin tidak menjadi masalah kepada ahli-ahli Pas klon yang sudah terbiasa dan pernah melewati suasana seperti itu atau yang cukup serasi dengan budaya politik hedonisme

Tindakan Unit Amal menarik diri ternyata memberi kesan kepada perjalanan himpunan itu. Paling jelas keadaan lalu lintas selepas himpunan itu selesai tidak berjalan licin seperti biasa. Berlaku sedikit kesesakan. Dan kelambatan saya postingkan catatan ini adalah sebahagian daripada halangan berkenaan.

Apa yang berlaku malam tadi, tanpa kehadiran wakil Pas menyebabkan Anwar merasai akan tindakan Pas itu. Sedikit sebanyak tentu beliau merasa ralat dengan apa yang berlaku. Beliau berucap kira-kira 40 minit sahaja. Jarang berlaku begitu apa lagi dalam crowd melebehi 30,000 di mana cukup merangsangkan Anwar untuk berucap.

Bagi mengelakkan Pas terus terjebak dalam suasana itu di masa akan datang, muktamar Pas akan datang wajar mengenal pasti siapakah juara-juara Pas klon yang galak cuba membenarkan unsur dan budaya hedonisme demikian dalam Pas! [wm.kl. 9:00 am 07/07/08]

5 comments:

Anonymous said...

Saya cukup bersetuju dengan pandangan dan ulasan saudara dalam isu ini...

Jangan kerana gilakan kuasa memerintah kita sanggup gadaikan matlamat perjuangan kita. Dalam PAS tidak ada erti konsert hiburan.. Dasar PAS jelas meletakkan Al-Quran & hadis sebagai rujukan dan matlamat hidup. Program lagho tidak ada dalam islam.

Seharusnya PAS mesti menyiasat siapa pemimpin PAS yang liberal itu yang sanggup bersekongkol dengan program mungkar.

Baru-baru ni ada cadangan untuk menyerap terus Kelab penyokong PAS (non Muslim) menjadi Ahli PAS. Cadangan ini dah melampau. Kalau macam ni apa kurang PAS dengan UMNO. Dulu kita UMNO bukan parti melayu sebab terima orang bukan melayu menjadi Ahli (berlaku di sabah ). Sekarang berbalik kepada PAS pulak...

Harapan saya kepada pucuk pimpinan PAS agar mengkaji cadangan ini dengan sebaik mungkin.

Anonymous said...

Kalau dah lebih angin dari ingin, maka banyak perkara baik tak jadi baik.Angin tu 'hawa' dan tak ada sandaran kukuh. Maka berlakulah spt apa yg sdr MSO lapor. Jika ada sandaran pada Quran n Sunnah,tak akan jadi macam tu.Nampak tak ikhlas pun ada. Kita kesal dgn apa terjadi.B'kali ada hikmah Tuhan utk menguji kita lagi.Mahunya kita sabar, syukr, tawakkal,reda dgan ujian sambil perbaiki kesilapan dari bawaan akal yg tidak waras.Syabas MSO, laporan n ulasan anda ana tabik!!

zeme said...

Salam saudara MSO,

Sebenarnya sejak penubuhan parti Keadilan lagi asas perjuangan mereka hanya bersandarkan individu bukan untuk perjuangan rakyat sebenar.

Selepas penggabungan membentuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) antara Parti Keadilan dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang berlandaskan idelogi sosialis, perjuangan PKR semakin menyimpang menjadi lebih kacang lupakan kulit selepas PRU12 lepas. Rakyat memberi mandat bukan kerana menyokong PKR sebenarnya, tetapi kerana membenci UMNO. Inilah hakikat yang perlu PKR sedari.

Jadi parti politik yang relevan untuk rakyat Malaysia adalah UMNO untuk orang Melayu dan PAS untuk agama Islam. PAS boleh berdiri tanpa pakatan dengan PKR sekalipun andai PKR hanya mencalit arang kepada PAS.

Wasalam.

Anonymous said...

Saya terkilan dengan sikap dan mentaliti parti PAS yang selalu menyalahgunakan penyokong non-Muslim.
Bukankah mereka sendiri pada PRU yang lain dengan relanya meletakkan calon non-muslim untuk bertanding di bawah tiket PAS.
Jadi sekarang ahli-ahli dan penyokong PAS yang lain nak kata apa yang dibuat pada masa PRU yang lalu itu cuma gimik semata-mata ke?

mrf said...

semua orang marah, semua org pening..saya setuju dengan komen2 diatas..PKR umpama kacang lupakan kulit..tak bertamadun, tak berotak..tak sensitive dan pentingkan diri sendiri..
saya sendiri terus meluangkan masa berjalan2 di amcorm mall dan makan a&w sebab bosan dgn apa yg berlaku..

di stadium shah alam konsert mas idayu dan ella khabarnya terus berjalan seperti dirancang..apa guna PAS menghantar surat bantahan tempoh hari..dah mcm pembangkang pula pas dibuatnya..

maka dengan ini saya terpaksa bercakap yang PKR sebenarnya tidak relevan..ntah hapa2..hanya perjuangan untuk memperjuangkan individu, bukan untuk bangsa melayu dan agama islam..