Tuntutan Tubuh Badan Bebas Siasat Kes Liwat Pratikal
TUNUTAN Pas agar diadakan badan bebas untuk menyiasat dakwaan liwat melibatkan Anwar Ibrahim dan Pegawai Khasnya, Mohd Saiful Bukhari Azlan secara menyeluruh satu cadangan yang pratikal. Cadangan itu disuarakan oleh Timbalan Presiden, Pas Nasharudin Mat Isa.
Menurut Nasharudin badan bebas itu penting kerana kepercayaan umum kepada polis kini sudah tidak ada lagi. Apa lagi kes-kes melibatkan Anwar Ibrahim, kewibawaan polis seakan sudah sama taraf dengan wibawa mereka penjenayah yang sedang berbicara dalam kandang orang salah.
Semuanya bermula daripada tindakan polis sebelum ini. Banyak laporan polis terutamanya dibuat oleh pembangkang dan rakyat bawahan yang tidak ada kuasa diketepikan begitu saja atau tidak dilayan langsung.
Sekadar menyebut dua tiga laporan seperti mana dibuat oleh Raja Petra Kamarudin, yang mendakwa beliau disakiti oleh anggota polis, oleh Bazli Abdullah yang mendakwa dipukul secara berpasukan oleh Menteri Di Jababatan Perdana Menteri. Mohd Ezam Mohammad Noor sendiri mempunyai berguni laporan polis yang tidak pun diusik dan disiasat oleh polis.
Pengalaman ini semualah menyebabkan rakyat hilang kepercayaan kepada polis. Justeru apa-apa juga keputusan daripada siasatan terhadap kes liwat ini ia tidak akan dipercayai oleh rakyat apa lagi kalau ia didapati benar Anwar meliwat Saiful. Maka cadangan dan tuntutan Pas itu amat wajar diberi perhatian untuk mewujudkan keadilan dan kesaksamaan kepada semua pihak.
Mungkin Pas sendiri sebagai pembangkang yang sering berhadapan dengan polis juga tidak mempercayai polis. Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri patut mempertimbangkan badan bebas berkenaan.
Mereka bolehlah dilantik dari kalangan golongan profesional dan yang pakar dalam perundangan, jenayah, kehakiman dan lain-lain. Sudah pasti siasatan badan bebas berkenaan boleh dipercayai. Selain itu siasatan itu juga kalau boleh gunakan kaedah syariat Islam yang jelas lebih adil, telus dan menyakinkan daripada kaedah siasatan seperti hari ini. [wm.kl. 6:45 pm 01/07/08]
No comments:
Post a Comment