Najib Sudah Bersumpah, Anwar Bila Lagi?
SAMADA terdorong dengan cadangan atau desakan sesetengah pihak ke atas Anwar Ibrahim agar bersumpah (mubahalah) bahawa beliau tidak meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan atau tidak, tetapi Mohd Najib Razak telah melafazkan sumpah dengan menyebut wallahi, wabilahi dan watallahi bahawa beliau tidak pernah bertemu dan mengenali wanita Mongolia, Altantuya Shariibuu.
Dalam budaya Melayu dan konteks agama kalau seseorang itu kena bersumpah menunjukkan reputasi dan keyakinan orang kepadanya sudah teruk sangat. Bahawa orang yang melakukan sumpah tidak mempunyai wibawa dan orang sudah hialng keyakinan atas cakap-cakapnya.
Najib melapazkan sumpah demikian di hadapan Ketua-ketua Umno bahagian, Exco Pemuda, Wanita dan Puteri Umno. Abdullah Ahmad Badawi juga ada dalam majlis berkenaan dan mungkin turut mendengar sumpah Najib itu.
Menurut laporan sebuah website pro Umno, mereka yang hadir bertepuk tangan mendengar sumpah Najib itu. Tepukan itu memberi semangat dan sokongan atas pendirian dan keberanian Najib. Dan beberapa orang Umno yang ditanyai berhubung tindakan itu menerima baik dan beranggapan dengan keberanian Najib itu menunjukkan Najib dipihak benar!
Apakah sumpah Najib itu bermakna mubahalah?
Apakah semasa sumpah itu Najib ada berniat (menyebut) kalau dia bertemu dan kenal Altantuya dia akan dilaknat Allah serta merta, ataupun tidak. Kalau beliau tidak menyebut (niat) begitu maka tiadalah laknat ke atasnya kalaupun dia memang kenal dan bertemu Altantuya seperti mana dakwa Balasubramanian dalan akuan berkanun pertamanya itu. Tidak pula dilapor dalam laporan itu mengenai hal ini.
Mubahalah yang betul ialah sambil menyebut dengan nama Allah sambil itu juga menyebut kalau apa-apa yang disumpah itu tidak betul maka Allah akan melaknat di dunia dan akhirat. Laknatlah yang akan menentukan apakah seseorang itu benar atau tidak!
Jadi kalau ikut peraturannya sumpah Najib itu (tidak mubahalah) ia tidak ke mana dan membawa apa-apa erti. Ia setakat dibibir sahaja. Najib tidak akan menerima apa-apa laknat kalaupun dia berbohong.
Biarlah, setidak-tidaknya Najib lebih berani berbanding dengan Anwar. Najib beriya menunjukan dan membuktikan kepada khalayak politik bahawa beliau berani berbuat atas kepercayaan beliau tidak bersalah. Mungkin Najib telah dinasihati oleh menteri agama dalam hal ini. Anwar pula sampai sekarang masih belum melapazkan sumpah demikian atas alasan ia tidak perlu.
Menurut Anwar ulama berbelah bagi dalam soal itu. Sekurang-kurang dua tiga orang ulama telah memberi pandangan agar beliau (Anwar) tidak perlu melakukan sumpah - mubahalah.
Penasihat agama (Islam Hadhari), PM, Abdul Hamid Othman juga berkata sumpah tidak perlu. Alasannya kalau bersumpah dan jika tidak ada laknat menyebabkan sumpah itu tidak membawa apa-apa erti. Sebaliknya kalau orang itu tidak dilaknat apakah ianya boleh diterima sebagai tidak bersalah. Jadi kerana itu kata bekas menteri agama itu sumpah (mubahalah) tidak perlu.
Mufti Perak, Harussani Zakaria juga berkata tidak perlu Anwar bersumpah kerana tuduhan yang dilemparkan ke atas Anwar itu adalah dakwaan jenayah di bawah hukum qazaf.
Katanya dalam kaedah kes ini orang yang menuduh kena kemukakan bukti dan jika gagal dia boleh dikenakan hukum hudud.
Seorang lagi ulama, bekas mufti Wilayah Persekutuan, Hashim Yahya juga berpendapat demikian; Anwar tidak perlu bersumpah. Apakah pandangan mereka itu bertolak daripada nasihat agama ataupun kerana hal-hal lain misalnya kerana terlalu mempercayai Anwar?
Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam reaksi awalnya nampak bersungguh mahukan Anwar membersihkan dirinya dengan bermubahalah, tetapi akhir-akhri ini mengendur sedikit mengatakan ia tidak mendesak dan hendaklah dicari penyelesaian menerusi mahkamah terlebih dahulu.
Menurut Nik Aziz bersumpah (mubahalah) adalah jalan terakhir. Pengertian kata-kata Nik Aziz itu Anwar tidak perlu bersumpah dan bermubahalah.
Jadi atas pandangan pro dan kontra itulah menyebabkan Anwar mengambil sikap tidak mahu bersumpah sebaliknya melaporkan tuduhan ke atasnya itu agar diletak di bawah qazaf. Menurut hukum qazaf orang yang menuduh kena kemukakan empat orang saksi! Agaknya siapakah empat orang saksi yang bakal dikemukakan Saiful?
Berbalik kepada Najib tadi, apabila beliau bersumpah apakah beliau dipercayai oleh orang ramai. Dalam soal ini apa yang penting ialah kepercayaan. Dalam hubungan umum kepercayaan dan keyakinan orang ramai. Sumpah itu hak peribadi dan ia adaah urusan peribadi manusia itu dengan Tuhannya.
Kalaupun 100 kali bersumpah dan manusia tetap juga tidak percaya ia tidak memberi apa-apa makna. Bolehlah disimpulkan sumpah itu telah memberi laknat dengan ketidakpercayaan orang ke atasnya.
Dan kalau orang percaya walaupun tidak bersumpah dan orang percaya dan tetap sokong, apa guna sumpah itu? Dalam konteks politik sekular lebih baik tidak bersumpah daripada bersumpah di mana dengan sumpah itu nampak sangat seseorang itu terdesak dan sudah habis modal untuk menyakinkan orang terhadap syaksiahnya, sampai menggunakan sumpah walaupun kaedah itu ada dan masih boleh digunapakai. Walahualam. [wm.kl 5:45 pm 11/07/08]
No comments:
Post a Comment