BERITA ini belum heboh lagi. Tetapi Penasihat PKR Anwar Ibrahim khabarnya sudah menghidu baunya. Ada seorang ahli Parlimen daripada PKR telah pergi berjumpa dengan Timbalan Perdana Menteri, Mohd Najib Razak.
Untuk apa? Apakah perjumpaan itu ada kena mengena dengan isu yang timbul ke belakangan ini; isu tuduhan liwat ke atas Anwar dan juga isu muzakarah dengan Pas! Tetapi kalau semata-mata isu itu kenapa sampai pergi jumpa Najib, bukankah Najib itu timbalan presiden Umno?
Kalaulah ahli Parlimen itu pening memikirkan apa yang berlaku akhir-akhir ini takkanlah beliau sampai perlu rujuk kepada Najib. Tentulah ada sesuatu yang tidak kena agaknya. Kalau tidak masakan pergi mencari timba.
Saya belum dapat maklumat sahih mengenai desas desus ini, sedang siasat. Tetapi khabarnya ahli Parlimen itu berasal dari negeri di Pantai Timur. Umurnya di bawah 50 tahun dan baru pertama kali menang dalam pilihan raya pada 8 Mac lalu.
Kalau tidak silap semasa berceramah di Stadium Melawati Shah Alam, Anwar ada menyebut yang maklumat dalam parti PKR banyak yang bocor. Apa-apa yang berlaku dalam PKR sekelip mata sahaja dah sampai ke pengetahuan Umno.
Misalnya cadangan Anwar untuk mengumumkan akan bertanding dalam pilihan raya telah dibocorkan oleh mereka tidak bertanggungjawab. Gara-gara rahsia itu terdedahlah maka laporan polis dibuat oleh Mohd Saiful Buhkari Azlan untuk menghalang niatnya itu.
Berdasarkan apa yang disebut Anwar itu desas desus ini mungkin benar. Cuma agak membingungkan juga untuk apa ahli Parlimen itu berjumpa Najib. Apakah ahli Parlimen berkenaan ada hubungan kekeluaraga dengan Najib atau pun berasal dari negeri yang sama, Pahang? Kenapa tidak pergi jumpa Abdullah Ahmad Badawi?
Persoalan juga timbul apakah tindakan ahli Parlimen ini ada kena mengena dengan kemasukan Mohamad Ezam Mohd Nor dalam Umno?
Kita tunggu perkembangan selanjutnya. Kalau berita ini benar ia mengejutkan. Ini sudah dikira wal asal balik hasil. Harap-harapnya perjumpaan itu tidak berkaitan politik tetapi sekadar berjumpa biasa saja seperti mana pemimpin Pas berjumpa (muqabalah) dengan pemimpin Umno sahaja. Semoga! [wm.kl. 10:30 pm 25/07/08]
No comments:
Post a Comment