Monday, October 19, 2015

Usul undi tidak percaya terhadap Najib pembangkang bercanggah?

TAFSIR FIKIR

Terkini: Presiden PKR yang juga MP Permatang Pauh akan membawa usul undi tidak percaya terhadap Najib Razak yang sebelum ini akan dibawa oleh ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian. Perkara ini baru diumumkan di lobby parlimen sekejap tadi. 3:13 pm.

Dr Wan Azizah akan bawa usul.
Selain Bajet 2016 yang akan dibentang dan dibahas dalam sidang parlimen yang bermula hari ini, perkara yang ditunggu-tunggu sekal ian rakyat ialah usul undi tidak percaya terhadap Najib Razak. Usul itu akan dibawa oleh Ahli Parlimen PKR Hee Loy Sian.

Sudah ramai orang membuat telahan usul itu tidak akan mencapai tujuan dan matlamatnya. Najib tetap akan kekal di atas kerusinya sebagai perdana menteri. Bukan sahaja usul berkenaan tidak mencapai angka bilangan undi majoriti mudah sekurang-kurang 113, tetapi parlimen juga sudah menampakkan ia menjadi kuasa dan pagar untuk mempertahan dan menyelamatkan Najib.

Diawal sidang hari ini sudah dua orang ahli parlimen pembangkang dihalau dari Dewan, yakni wakil Segambut dan Puchong, dimana kesalahan mereka lakukan tidak seberapa. Kenapa dihalau? Apakah acara menghalau wakil-wakil pembangkang itu akan bertambah dan dilakukan setiap hari sehingga tiba saat mengundi usul itu (kalau ia diterima) untuk dibentangkan? Ia dibuat sebagai persedian atau pun helah agar angka yang akan mengundi usul tidak percaya nanti sedikit?

Melihat kepada tindakan berat sebelah atau disifatkan sebagai tidak konsistensi spekaer diharapkan agar usul undi tidak percaya itu dibentangkan tipis sekali. Speaker boleh menggunakan kuasa berat sebelahnya untuk membakulsampahkan begitu sahaja usul berkenaan.

Selain daripada peranan speaker yang sudah tentu akan membalas jasa-jasa perdana menteri melantiknya menjadi speaker, ada elemen lain yang akan mengagalkan usul berkenaan. Misalnya ketidakseragaman pandangan di antara Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dengan wakil PKR. Lim Guan Eng mahu Dr Wan Azizah Wan Ismail sendiri membentangkan usul berkenaan bukan diserahkan kepada wakil lain menjadi elemen kecil itu bakal mengagalkan usul berkenaan.

Lim Guan Eng mahukan Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail sendiri membentangkan usul berkenaan agar ia nampak serius. Kata Guan Eng usul memecat PM bukan macam main guli. Lantaran itu katanya kalau Azizah enggannya membawanya sendiri beliau suruh Hee Loy Sian tarik sahaja usul berkenaan dari dibawa.

Tidak cukup dengan itu parti pembangkang yang mengambil sikap untuk bersendirian, iaitu parti agama (Pas) juga masih belum mengatakan komitmen mereka terhadap usul berkenaan. Presidennya, Abdul Hadi Awang semasa bercakap dalam sidang akhbar di Kota Bharu masih "berklu klek", macam ikan keli dalam besen apabila mengatakan kita tunggu dan lihat, kita kaji dan tenguk terlebih dahulu.

Kalau Pas sepakat dan komited dengan usul untuk pecat Najib sudah tentu Hadi akan menegaskan pendirian Pas akan ikut sokong. Dengan mengambil kira sikap lunak Pas terhadap tindak tanduk Najib dan kurang menghala muncung bedil ke arah BN ke belakangan ini, sudah terang bahawa Pas tidak akan mengundi dan kalau usul itu dibentang Pas akan berkecuali.

Tertakdir kalau Najib tidak tertanggal dari kerusi PM disebabkan usul itu gagal dengan Pas tidak ikut serta sudah tentu Pas akan mendapat elaun dan saguhati. Najib tentu akan memberi imbuhan dan upah kepada Pas di atas jasa dan pengorbanan itu. Apakah upahnya berupa jawatan? Walahu'alam.

Kalau berlaku ini Pas perlu menerimanya kerana selama ini pun apa yang Pas inginkan ialah jawatan dan kuasa untuk melaksanakan cita-cita Islamnya?

Berbalik kepada sikap dan pendirian Lim Guan Eng tadi kenapa dia beriaya mahukan Dr Wan Azizah sendiri membentangkannya, apakah dia meragui dengan tindakan undi tidak percaya itu? Apakah dia mahu Azizah membentangnya kerana mahu membuktikan Azizah juga mahukan Najib tumbang. Apakah di sini Guan Eng ragu mengenai kesungguhan PKR untuk menjatuhkan Najib? Begitukah?

Apakah dalam kepala Guan Eng ada kemusykilan lain tentang Anwar dan Najib. Apakah rancangan sebelum ini untuk meletakkan Anwar dan Najib di atas satu panggung kononya untuk masa depan negara menghantui Guan Eng? Guan Eng berasakan bahawa masih ada konteks batin atau jambatan ghaib dibina yang akan menghubungkan Najib dengan Anwar. Begitukah?

Dan sekiranya Azizah sendiri membawa usul itu ia memperlihatkan akan keseriusan PKR untuk menjatuhkan Najib sama seperti DAP?

Kita tidak tahu apa sebenar yang terbayang disebalik asakan dan pertikaian dibuat Guan Eng itu. Tetapi kerana dia nampak bersungguh benar mengancam agar usul itu ditarik seolah-olah dia membaca ada cerita lain disebalik usul yang tidak mungkin pun akan berjaya itu? [wm.kl.2:21 pm 19/10/15]
Post a Comment