Sunday, October 18, 2015

Semua orang kena hormat himpunan H60K

SUSUPAN PETANG

Malam tadi telah berlangsung himpunan apa dinamakan H60K, ia merupakan majlis parti agama, Pas. Semua mereka yang hadir pada himpunan itu berpakaian baju berwarna hijau. Semua pemimpin dari serendah-rendah pemimpin sampai ke pemimpin tertinggi hadir sama.

Hari ini timbul berbagai pro kontra mengenai himpunan berkenaan. Mereka yang skeptikal kepada Pas menyifatkan himpunan tersebut hanya sebagai satu acara "onani" sahaja. Iaitu satu himpunan menunjuk bulu, syok sendiri tanpa memberi kesan dan faedah besar.

Hujah mereka himpunan itu tidak membawa apa-apa makna kerana himpunan yang ramai tidak semesti akan menghasilkan kemenangan. Ada yang berpendapat lebih afdal kalau himpunan itu digunakan untuk menyelesaikan masalah dan penyakit yang berlaku dalam Pas terutamanya di Kelantan sendiri.

Beberapa contoh atau sejarah disebut, misalnya himpunan Hijau di Kedah 2012, menjelang pilihan raya ke-13 lalu dikerumuni oleh puluhan ribu penyokong dan ahli parti itu yang berlangsung stadium Darul Aman di Suka Menanti, penuh pepak stadium itu, tetapi pilihan raya umum pada tahun itu hasilnya kerajaan Pas Kedah jatuh melentang pukang.

Ertinya himpunan ramai tidak memberi apa-apa kesan positif kepada kemenangan Pas melainkan sebagai untuk pelepas angin dan menunjukkan kehebatan sahaja. Benar juga. Betapa tidak yang hadir itu adalah orang luar, berapa persen sangat dari Kelantan sendiri melainkan mereka yang dikerah kerana memegang jawatan politik dan sebagainya.

Itu kata dan dakwa dipihak mereka yang anti kepada Pas dan skeptikal kepada parti agama itu. Berbeza dengan orang yang sayang kepada parti itu dan taksub kepada pemimpinnya, dan beranggapan hanya Pas sebuah parti memperjuangkan Islam. Himpunan itu disifatkan sebagai kejayaan besar Pas. Ia menunjukkan parti agama itu walaupun berhadapan dengan perpecahan tetapi masih mndapat sambutan. Ia masih relevan.

Saya setuju dan lebih setuju dan bererti kalau selepas ini ada pemimpin Pas yang sudah mengoyak kad keahlian kembali semula kepada Pas setelah mereka tahu kekuatan Pas tidak terjejas dengan berlangsung dan jayanya H60K itu. Lebih merujakan lagi kalau ada di kalangan mereka yang memanggung jawatan dalam Amanah kembali bertaubat.

Kedua alasan dan hujah dari kedua pihak itu ada logik dan kebenaran masing-masing. Yang mengatakan ia sebuah himpunan "onani" betul juga. Kerana dalam konteks hari ini, apabila Pas sudah berpecah dua, lebih separuh pemimpinnya sebelum ini tidak bersama lagi, ertinya Pas sudah retak.Siapa dan formula mana boleh menafikan hakikat itu.

Di Kelantan mungkin tidak begitu terkesan sangat kerana Kelantan adalah lubuk Pas sejak tahun 1960 lagi. Tetapi 9,000 mereka yang sudah menjadi ahli kepada Amanah memberi impak yang tidak sedikit kepada parti itu di Kelantan. Apa lagi kalau tertakdir berlaku pertandingan tiga penjuru di antara Pas, Umno dan Amanah, sudah tentu Pas berada dalam keadaan tidak selesa.

Dengan perpecahan itu, tidak perlu Pas hilang separuh para penyokongnya, tetapi cukup 10 atau 20 persen sahaja, ia sudah mencakupi untuk melihat Pas kalah dibeberapa buah kerusi dan kemungkinan besar akan hilang sebuah kerajaan. Apabila berlaku pertandingan tiga penjuru, bermakna Pas berada dalam keadaan sangat tidak selesa dan tenang. Umno sangat berdoa agar berlaku demikian kerana ia menguntungkannya.

Harus diingat mereka yang hadir malam tadi, sebahagian besar daripada orang luar. Kalau 100 ribu yang hadir, 70,000 ribu adalah orang dari luar Kelantan. Ertinya hanya 30,000 sahaja yang hadir dari Kelantan. Angka itu pun boleh dipersoalkan lagi. Apa kata kalau Umno juga menghantar orangnya untuk menjadikan Pas asyik dan syok sendiri. Tidak mustahil untuk Umno menjadi "air sabun" atau losen pelicin? Haha.

Mungkin pihak penganjur ada membuat kiraan atau semakan kepada mereka yang hadir itu, berapa daripada Kelantan dan berapa daripada luar Kelantan. Berapa yang  boleh mengundi dan berapa yang tidak boleh mengundi. Berapa pula orang Pas dan berapa pula orang Umno. Pas kan parti profesional tentu ada tukang banci dan membuat semakan itu. Kalau tidak ada, himpunan itu tidak memberi banyak makna dan ia umpama orang "onani" yang tidak akan dapat hasilnya.

Apapun sama ada ia ada kesan atau sebaliknya semua pihak kena hormat kepada himpunan itu. Ia adalah hak parti agama itu yang dibenarkan oleh perlembagaan dan undang-undang. Dan selepas ini parti itu juga kena hormat kepada apa-apa program dan majlis Amanah. Jika orang lain buat majlis dan uar-uarkan dengan poster jangan pula sampai ada yang koyak poster.

Kepada ahli dan penyokong kedua-dua parti agama dan Amanah terutama yang riuh dalam media baru biarlah tahu akan adat dan tatasusila berpolitik. Kepada Pas diucapkan selamat berjaya dan biarkanlah Pas dengan pilihannya kalaupun parti itu sedia untuk berkolaborasi dengan Umno sekalipun. [wm.kl.2:45 pm 18/10/15]

No comments: