NYANYIAN MALAM
Esok Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri Najib Razak akan membentangkan Bajet 2016. Seluruh lapisan rakyat Malaysia menanti pembentangan bajet berkenaan dengan doa dan harapan ia membawa faedah dan ada manfaat besar bagi mereka.
Keadaan rakyat pada masa kini yang rata-rata terkesan dengan kesempitan hidup ekoran beberapa dasar dan polisi baru diperkenalkan kerajaan, termasuk pelaksanaan cukai GST, kejatuhan nilai ringgit dan sebagainya mengharapkan bajet itu memberi sedikit kelegaan kepada mereka.
Jerebu ekonomi yang menimpa mereka kini sungguh melemaskan, jadi sejalur sinar diharap daripada bajet esok.
Itulah yang menjadi perhatian umum. Tetapi bagi saya, persoalan yang besar daripada pembentangan bajet itu bukan soal apakah keuntungan dan bonus yang dijanjikan kerajaan buat rakyat. Saya, tetap juga seperti bajet-bajet sebelum ini tidak pernah merasai apa-apa nikmat langsung daripada bajet, kecualilah bajet pada zaman Abdullah Ahmad Badawi menjadi PM dimana road tax untuk kenderaan dibawah 200 CC dimansuhkan untuk satu tahun. Itulah yang dapat dikenangkan.
Selepas itu tidak ada apa-apa keuntungan dan bonus lagi bagi saya yang diperolehi daripada bajet.
Makanya persoalan besar yang bakal wujud disekitar bajet itu ialah apakah ianya akan diluluskan atau pun tidak. Apakah kesemua ahli parlimen akan bersetuju dengan bajet Najib itu? Ini persoalan penting dan menyebabkan Najib perlu berasa gerun untuk membentangkan bajetnya kali ini. Kegelisahan Najib mengenai hal ini sudah berbau kini dan menyelinap datang menerusi jerebu.
Ini semua berlaku kerana ekoran akan berlaku undi tidak percaya kepada Najib Razak sebagai Perdana Menteri. Hari ini Ketua Pembangkang Dr. Wan Azizah Wan Ismail telah menghantar notis kepada speaker untuk membawa usul undi tidak percaya kepada Najib. Sekiranya usul itu diterima speaker, sudah pasti usul itu akan bergema dalam Dewan segala macam kebejatan dan kelemahan Najib akan didedahkan dan PM itu menghadapi suatu keadaan kritikal yang mencabar maruahnya.
Bagaimana pun kedudukan Najib bukan sahaja bakal tercabar dengan usul undi tidak percaya itu. Najib dicengkam kegerunan dengan bajet yang akan dibentangkan beliau esok. Ahli parlimen veteran dari Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang dilihat berkelayakan untuk mengganti Najib sudah memberi isyarat atau pandangan awal, katanya ahli Dewan boleh mengundi untuk tidak meluluskan bajet dibentangkan Najib.
Kata Tengku Razaleigh ahli parlimen BN boleh menolak bajet Najib sekiranya ada isu-isu substantif untuk mereka berbuat demikian.
Walaupun Tengku Razaleigh tidak yakin undi tidak percaya akan berjaya, tetapi menurutnya masih ada ruang untuk menyingkirkan Najib, iaitu menerusi penolakan bajet 2016.
Sekiranya ini berlaku bermakna Najib kena turun dari kerusi perdana menteri walaupun undi tidak percaya yang hendak dibawa oleh pembangkang itu tidak dibentangkan. Kegagalan mendapat sokongan, meluluskan bajet, sudah cukup untuk menunjukkan beliau tidak layak menjadi PM. Najib harus bertanggungjawab dengan penolakan dan jalan terbaik beliau berundur.
Persoalan kini apakah cukup bilangan untuk menafikan bajet yang dibentangkan oleh Najib itu? Ini perkara menarik untuk dikaji. Najib sendiri seakan meragui bahawa bajetnya tidak akan diluluskan. Tindakan speaker Pandikar Amin Mulia yang menerima usul penggantungan ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang boleh dilihat permainan macam mana hendak membela Najib dan sandiwara itu menunjukkan kegelisahan Najib.
Tentunya Lim Kit Siang bukan digantung begitu sahaja melainkan ia dibuat dengan motif tertentu.
Bertolak dari tindakan speaker itu boleh diterjemahkan Najib tidak begitu yakin bajetnya diterima atau bajet itu akan menimbul masalah. Apa yang pernah berlaku dalam suatu sidang bajet sebelum ini cukup mengajar Najib. Apakah Najib juga sudah terhidu rancangan untuk menjatuhkannya sedang dalam proses akhir? Kenyataan ahli Parlimen Gombak Mohamed Azmin Ali yang mengakui wakil rakyat pembangkang ada berunding dengan wakil rakyat BN satu alamat buruk buat Najib.
Boleh jadi Azmin sengaja membuat psywar, tetapi tentu Najib tidak boleh lena tidur dengan psywar itu.
Seperti mana kata Tengku Razaleigh ahli BN boleh tidak menyokong bajet Najib. Walaupun beliau tidak percaya ia akan berlaku tetapi sekiranya ahli Dewan berasakan ada perkara substantif untuk menentang perdana menteri mereka mempunyai hak melakukannya. Waktu ini banyak isu-isu yang substantif yang mengelilingi diri Najib.
Dalam kata lain kemungkinan itu ada dan tidak mustahil kalau ahli parlimen BN mempunyai kesedaran tinggi untuk negara mereka menolak bajet Najib.
Perkara buruk akan ternatijah ke atas Najib kalau sekiranya 30 atau 40 orang ahli parlimen daripada BN tidak menyokong Najib dan bersama menolak bajetnya bersama pembangkang. Kalau ini berlaku membolehkan tempoh Najib sebagai PM sudah hampir ke titik akhir. Kalau 30 atau 40 orang menolak Najib dicampur dengan suara pembangkang bermakna lebih 100 suara sudah menolak bajet Najib. Ertinya liang lahad politiknya sudah terbuka.
Apakah kemungkinan ini akan berlaku? Walaupun kita semua yakin bahawa bajet Najib akan diterima, kerana mungkin bajet besok berjiwa rakyat, tetapi ahli Parlimen khususnya daripada BN boleh menolaknya. Penolakan bajet itu adalah peluang terbaik untuk anggota BN menyingkirkan Najib sekaligus untuk membuka peluang agar siasatan lanjut dilakukan ke atas Najib berhubung beberapa isu-isu substantif yang berlaku.
Bagi anggota Umno sendiri yang bersimpati dengan tindakan Najib ke atas Muhyiddin Yassin dan Shafei Afdal, dan berasakan tindakan ke atas bekas TPM dan Menteri Kabinet itu benar, boleh "membalas dendam" dengan turut menolak bajet Najib. Apakah Muhyiddin dan Shafei akan ikut mengenapkan sokongan itu?
Kemungkinan ini ada walaupun ia tipis. Situasi ini sungguh menjadikan Najib gerun dengan bajetnya kali ini. Mengambil semangat diluah Tengku Razaleigh tadi, ahli parlimen BN, tidak perlu takut untuk bertindak menyingkir Najib. Menyingkir Najib bukan bermakna menyingkir kerajaan BN. Kalaupun Najib ditakdir gugur, PM selepas ini tetap daripada Umno juga. Alasannya mudah sebab Umno-BN mendapat majoriti dalam parlimen.
Untuk menjadi pengganti Najib ini, Muhyiddin boleh diangkat menjadi perdana menteri dengan mengekalkan Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalan perdana menteri. Zahid tidak ada masalah asalkan periuk nasinya jangan dianjak. Manakala anggota Kabinet lain tidak perlu dirombak. Atau pun kalau BN dan Umno ingin mencari jalan tengah, Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah boleh diangkat menjadi PM, sementara timbalannya Muhyiddin. Itu sebaik-baik dan secantik-cantiknya.
Kemunasabahan jika Tengku Razaleigh menjadi PM, kerana karektor dan pengalaman politiknya sangat sesuai. Tengku Razaleigh diterima oleh semua parti termasuk pembangkang sendiri juga menerimanya, terutamanya parti agama yang sebelum ini pernah mencadangkan nama Tengku Razaleigh sebagai Perdana Menteri bagi menggantikan Anwar Ibrahim kalau Pakatan Rakyat menang.
Begitu juga dengan parti komponen Pakatan Harapan baru, DAP dan Amanah juga bersedia dan tidak ada masalah untuk menerima Tengku Razaleigh. Melihat kepada kesesuaian dan kelebihan yang ada kepada Tengku Razaleigh itu elok kalau beliau diangkat menjadi perdana menteri sementara atau pun perdana menteri peralihan.
Tengku Razaleigh yang dirasakan terlebih daripada layak menjadi PM tidak akan menolak tawaran ini. Beliau sendiri pernah berkata; dia rela dan bersedia untuk menjadi PM kalau rakyat berkehendakkan kepadanya. Kejujuran, keikhlasan dan kesabaran beliau dalam politik menyempurnakan dirinya sebagai perdana menteri.
Mungkin cadangan saya ini terlalu idealis. Tetapi cadangan ini logik dan tidak siapa dapat menolaknya. Alasan menolak Najib ialah kerana kegagalan perdana menteri itu menangani beberapa isu khasnya berhubung ekonomi. Manakala mengganti dengan Tengku Rzaleigh dikira tepat berdasarkan track record dimiliknya.
Tidak guna kalau Umno atau pun mana-mana pihak hendak menjatuhkan Najib tetapi diganti dengan orang yang tidak dikenali mempunyai kelebihan dan kebolehan. Kerja itu hanya sia-sia sahaja. Perkara ini hendaklah dilihat dengan penuh teliti dan kajian mendalam, kerana perubahan atau pertukaran Perdana Menteri bukan dibuat kerana dendam tetapi ia adalah untuk kebaikan negara.
Berdasar hakikat itu, semua anggota Parlimen Umno boleh bersetuju dengan cadangan itu kecuali mereka yang telah ditakluki Najib dan Rosmah dengan wang dan harta benda atau pun rantai-rantai lain yag membelenggu mereka. Tetapi bagi mereka yang berfikiran waras dan bebas, meletakkan kepentingan bangsa dan negara di hadapan tetap akan merasakan Najib perlu ditukarkan walaupun imbuhan apa sekalipun yang dibayar. [wm.kl.8:40 pm 22/10/15]
No comments:
Post a Comment