Wednesday, October 7, 2015

Permintaan Majlis Raja-Raja memberi tekanan kepada Najib

ULASAN

Harapan berupa gesaan Majlis Raja-Raja Melayu supaya siasat terhadap syarikat 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) yang bermasalah dan dikatakan menanggung kerugian RM42 billion disegera dan mengambil tindakan tegas kepada mereka terlibat memberi petanda bahawa isu tersebut serius dan berat, kalau tidak masakan Majlis itu turut sama memberi perhatian.

Jarang sekali Raja-Raja ikut campur tangan atau membuat teguran dalam kes-kes yang dipolitikkan seperti itu apa lagi membabit pemimpin kerajaan. Majlis itu selalu cermat dan berhati-hati sebelum membuat teguran sesuai dengan kemuliaanya. Jadi apabila ia tidak dapat mendiamkan diri maka ia sesuatu yang parah.

Seperti mana dijelas dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Majlis Raja-Raja membuat permintaan itu untuk tidak memanjangkan isu berkenaan sehingga ia boleh menjejaskan perkembangan ekonomi negara. Dalam masa sama juga bagi menutup persepsi umum terhadap integriti kerajaan pimpinan Najib Razak.

Institusi itu sudah dapat membaca atau menerima laporan isu 1MDB telah memberi imej buruk kepada percambahan ekonomi negara. Ini bertentangan dengan pendapat sesetengah "penggosok mulut Najib" kononnya 1MDB tidak memberi kesan buruk kepada ekonomi negara.

Kritikan Dr Mahathir Mohamad dibalas dengan tuduhan kononnya bekas PM itu berniat jahat dengan Najib.

Sesungguhnya pendirian dan kepedulian Raja-Raja Melayu itu sesuatu yang baik dan terpuji. Sewajarnya kalau kerajaan atau mana-mana pihak berkuasa yang diberi tugas menyiasat kes 1MDB mempercepatkan siasatan sebagai menghormati gesaan Majlis Raja-Raja.

Sehubungan itu peluahan hasrat Majlis Raja-Raja itu memberi tekanan baru kepada Najib Razak sebagai perdana menteri. Najib seharusnya mengambil aksi segera memenuhi kehendak baginda Raja-Raja.

Gesaan itu juga menggambarkan majlis Raja-Raja seakan tidak berpuas hati dengan cara Najib menangani isu 1MDB dan kenyataan-kenyataanya khasnya berkenaan siasatan yang dijalankan. Sudah pasti halangan dan gangguan terhadap Jawatankuasa Khas yang dibentuk menyiasat tohmahan dalam 1MDB terdiri daripada SPRM, Bank Negara, Peguam Negara dan juga PDRM tidak disenangi oleh Majlis Raja-Raja.

Jawatankuasa khas itu telah pun dibubar dan ditubuh jawatankuasa penyiasatan baru yang tanpa penyertaan SPRM.

Najib seharusnya tahu malu dan bertanggungjawab terhadap gesaan Majlis Raja-Raja itu. Tidak pelik dan mustahil kalau beliau gagal memberi jawaban tuntas kepada Majlis Raja-Raja berhubung 1MDB, wajar kalau beliau mengambil pendirian berundur dari Putrajaya sebagai satu rasa kebertanggungjawab.

Kuasa atau pun majlis mana lagi yang Najib rasa perlu bertanggungjawab dan malu, kalau bukan Majlis Raja-Raja yang merupakan institusi tertinggi dalam negara ini dan menjadi badan yang dijunjungi tinggi oleh bangsa Melayu. Mengengkari hasrat majlis itu bererti menderhaka kepada Raja-Raja. [wm.kl.11:35 am 07/10/15]

No comments: