Sunday, January 10, 2016

Pakatan Harapan cetak sejarah

ULAS ISU

Pimpinan PH menebeng dokumen perjanjian.
Semalam telah berlangsung persidangan pimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) yang dikemuncaki dengan termetarinya perjanjian atau persefahaman bersama untuk dihayati dan dilaksanakan oleh pakatan itu. Majlis itu berlangsung di Shah Alam, Selangor.

Apa yang berlangsung semalam mencetak satu lagi sejarah politik di negara ini, khasnya menunjukkan komitmen dan iltizam besar parti-parti pembangkang untuk membela rakyat diharap dapat mengambil alih kekuasaan negara daripada Barisan Nasional di masa akan datang.


Gabungan itu semalam terdiri daripada tiga buah parti Keadilan (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) yang merupakan parti baharu yang menjadi pengganti kepada parti agama Pas yang telah tidak lagi bersama, setelah Pakatan Rakyat yang disertainya sudah tidak wujud lagi.

Walaupun dalam kerajaan Selangor Pas masih lagi bersama PKR dan DAP, tetapi dalam PH baharu Pas tidak ada lagi. Waktu ini Pas memilih jalan untuk bersendirian atas keyakinan kononnya parti itu lebih cemerlang dan lebih diyakini rakyat apabila ia tidak bersama Keadilan dan DAP.

Melihat apa yang berlangsung semalam, pujian perlu diberikan kepada pimpinan ketiga-tiga gabungan itu yang senada dalam mengariskan hala tujuan dan komitmen masing-masing. Pemeteraian perjanjian berupa undang-undang itu juga menggambarkan gabungan itu sefaham dan senada membentuk sebuah pembangkang yang berwiwaba dan ampuh.

Tujuh perkara yang digariskan itu menjadi piagam dan peraturan untuk PH itu ialah:

1. Keputusan Bersama. Mengikat semua parti berasaskan prinsip konsensus. Parti dibenarkan untuk membuat keputusan dan dasar sendiri, dengan syarat mereka selaras dengan dasar bersama. Badan yang membuat keputusan utama ialah Majlis Presiden.

2. Pembinaan Kesatuan Politik. Ahli dan pemimpin disemua peringkat perlu menghormati kedudukan yang diguna pakai oleh pihak lain. Setiap pihak mempunyai hak untuk membawa bantahan dan pertikaian kepada Jawatankuasa dalaman bersama untuk penyelesaian.

3. Penyelesaian Pertikaian. Setiap ahli mempunyai hak untuk membuat aduan terhadap seorang lagi ahli parti lain. Aduan pertama perlu diperiksa oleh parti masing-masing sebelum ia dibawa kepada Pakatan Harapan. Satu badan penantara dilantik oleh Majlis Presiden bagi mengendali aduan.

4. Dasar Dasar Bersama. Dasar dasar bersama boleh dibangunkan dan dikaji semula dari masa ke semasa mengikut keadaan dan perkembangan. Mereka mestilah dipandu oleh perlembagaan persekutuan, Islam sebagai agama rasmi, hak-hak agama lain dan kedudukan istimewa orang Melayu, Bumiputera di Sabah dan Sarawak dan masyarakat etnik yang lain, bahasa Malaysia sebagai bahasa Kebangsaan dan sesuai dengan peranan Raja berpelembagaan di Malaysia.

5. Pilihan Raya. Hanya seorang calon mewakili Pakatan Harapan setiap kerusi dalam pilihan raya dalam mana-mana peringkat. Jawatankuasa pilihan raya akan menjalankan rundingan kerusi untuk mana-mana pemilihan ketiga-tiga parti. Keputusan muktamad calon terletak pada Majlis Presiden.

6. Perjalanan Kerajaan dan Pembangkang. Perdana Menteri Pakatan Harapan dan Menteri-Menteri Besar atau Ketua Menteri diperingkat negeri akan dipilih berdasarkan kata sepakat oleh semua parti komponen dan selaras dengan peruntukan mengenai dasar bersama. Sebuah kerajaan di mana-mana peringkat adalah kerajaan Pakatan Harapan jika wakilnya membentuk majoriti mudah. Semua kerajaan Pakatan Harapan dimana-mana peringkat perlu berpegang kepada prinsip pemisahan kuasa antara eksekutif, perundangan dan kehakiman.

7. Keabsahan Pakatan. Hanya majlis presiden boleh membuat keputusan dan membuat pengumuman mengenai status Pakatan Harapan sebagai gabungan politik. Parti komponen boleh sebulat suara menamatkan keahlian parti jika ia melanggar mana-mana peruntukan dalam perjanjian ini.

Kejayaan Pakatan Harapan menggubal, mempersetujui perjanjian atau perlembagaan kecil ini kemudian menandatangani ternyata menyerlahkan komitmen serius kesemua mereka bagi menguatkan pembangkang. Perjanjian ini memperlihatkan bahawa pakatan ini lebih adil, terbuka dan rasional berbanding dengan persetujuan dan konsensus yang dibuat dalam Pakatan Rakyat dahulu.

Terma atau klusa yang berbunyi, "bersetuju untuk tidak bersetuju" yang menjadi masalah dalam Pakatan Rakyat dahulu sudah ditiadakan. Ertinya semua perkara yang dikemukakan atau dikonsesus di atas kertas hendaklah disetuju asalkan ia tidak bertentangan prinsip dan dasar asas. Dengan adanya ketegasan ini, tidak akan ada lagi percanggahan polisi dan dasar sesama komponen Pakatan Harapan.

Dalam pada itu ada pihak-pihak tertentu menyinis dan memperkecil-kecil akan perjanjian yang ditanda tangani itu sebagai ia satu retorik semata-mata. Sama ada ia retorik atau tidak, masa dan keadaan akan menentukan. Kesalahan lampau yang pernah dialami oleh pimpinan Pakatan Harapan semasa bersama Pas dahulu mungkin mengajar mereka untuk saling lebih memahami dan menghormati.

Apa yang penting kepada parti Pakatan Harapan cuba membawa sikap baharu dalam berpolitik dimana kenyataan yang dikeluarkan para pemimpin masing-masing nanti jangan menyentuh hal-hal peribadi atau hak prerogatif parti masing-masing, sebaliknya bercakaplah isu-isu atau perkara umum. Kalau ini dapat dielakkan konsensus yang baik itu dapat menatijahkan sesuatu yang baik.

Sepatah pesan Dr Wan Azizah Wan Ismail semasa berucap pada majlis itu mungkin boleh dijadikan azimat bagi pengukuhkan pakatan berkenaan. "Cabaran saya pula adalah untuk mengingatkan diri saya terlebih dahulu dan semua ahli dan kepimpinan Pakatan Harapan - agar kita dapat bersabar, ada sikap tawaduk, cekalkan hati, beristiqamah dan bertolak ansur untuk kita terus suburkan semangat adik beradik di dalam keluaga besar Pakatan Harapan.

"Kerana perjuangan kita panjang dan sudah tentu akan terus ada perbezaan pendapat, bak kata pepatah lagi kan lidah lagi tergigit inikan pula sesama politik." [wm.kl.1:10 pm 10/01/16]

No comments: