Usaha Umno Kedah untuk membuang Mukhriz Mahathir dari kerusi Menteri Besar Kedah bukan perkara yang gampang bahkan tindakan Timbalan Pengerusi Umno Kedah Ahmad Bashah Md Hanafiah bersama 13 ketua bahagian itu dianggap tindakan cara lama.
Phahrolrazi Mohd Zawawi |
Merujuk kepada kajian dibuat oleh Universiti Utara Malaysia (UUM) menjelang pilihan raya umum ke-13 dahulu, Mukhriz adalah tokoh yang menjadi pilihan rakyat Kedah berbanding dengan beberapa tokoh lain termasuk Ahmad Bashah. Berdasar kajian itulah juga maka Mukhriz diumumkan sebagai bakal calon MB Kedah.
Perkara ini diakui oleh bekas Exco Kanan semasa kerajaan Pas Kedah, Phahrolrazi Mohd Zawawi, dimana menurutnya berdasarkan realiti itu usaha Umno untuk singkir Mukhriz bukan perkara mudah.
"Tindakan Umno lakukan itu stail lama dan ia tidak akan berjaya." Tegasnya.
Seperkara lagi jelasnya hanya ada dua sahaja kaedah untuk menyingkir Mukhriz daripada kerusi MB, pertama Mukhriz sendiri meletak jawatan secara sukarela, dan kedua dengan ada endorse dalam Dewan Undangan Negeri Kedah, misalnya undi tidak percaya.
Kata Adun Pengkalan Kundur itu bila seseorang itu dilantik menjadi MB, Sultan sendiri tidak dapat memecatnya melainkan dua perkara tadi. Jadi katanya kedudukan Mukhriz sebagai MB bukan mudah untuk digoyang.
Beliau juga mempersolkan kenapa belum genap sepenggal Mukhriz menjadi MB dan berjaya menunjukkan prestasi cemerlang dan disenangi rakyat tetapi beliau hendak disingkir? Ini katanya tentu ada agenda politik peribadi. Agenda peribadi bukan kepentingan rakyat.
Apa yang berlaku di Kedah sekarang ini bermotif politik dan bukan kerana MB bermasalah. "Masa Pas dahulu yang bermasalah ialah MB sehingga didesak agar berundur. MB sekarang ini tidak ada masalah, dia sihat, dan tidak pun melakukan apa-apa penyelewengan dan skandal," kata Phahrolrazi yang kini merupakan ahli Amanah.
Justeru itu katanya, tindakan Umno Kedah untuk menyingkirkan Mukhriz itu dibuat bukan atas kepentingan rakyat tetapi kepentingan individu tertentu dalam Umno, keadaan itulah perbezaanya semasa krisis melibatkan Azizan dan Pas dahulu.
Ditanya pendirian Pakatan Harapan (PH), Phahrolrazi menjelaskan PH akan mengambil sikap berkecuali dan akan lebih menumpukan perhatian isu-isu kepentingan rakyat. "Kita perhati keadaan dan PH Insya-Allah akan mengutamakan kepentingan rakyat," tekannya.
Lewat petang ini katanya PH akan mengeluarkan kenyataan berhubung pergolakan dan krisis kepimpinan di Kedah itu. [wm.kl. 11:10 am 21/01/16]
No comments:
Post a Comment