Wednesday, January 27, 2016

Apakah Mahathir akan bersara penuh daripada politik?

GELAP MALAM

Perkembangan mutakhir apa yang didengari dari negeri di Utara, pergolakan politik yang menerpa parti nasional Umno sudah semacam hendak berakhir. Walaupun awalnya ia nampak seakan rumit untuk diselesaikan, tetapi momentum kini bergerak ke arah penyelesaian.

Mukhriz Matahthir yang menjadi watak utama di sebalik pergolakan itu seakan sudah tidak ada upaya lagi untuk mempertahankan dirinya.

Malam semalam Mukhriz dilaporkan seakan sudah pasrah mengatakan dia akan menerima apa sahaja nasib yang akan terlukis ke atasnya.

Mulanya MB Kedah itu nekad untuk mempertahankan dirinya. Dengan mengakui beliau mendapat sokongan akar umbi dia akan berjuang ke titik akhir. Sokongan dari beberapa entiti luar juga termasuk bapanya sendiri memberi semangat untuk Mukhriz mengekalkan kedudukannya sebagai MB. Awalnya dia nampak yakin dengan dirinya.


Namun perkembangan hari ini, khasnya selepas lebih 73 jam rancangan untuk menyingkirnya meletus, ia merubahkan keadaan. Semangat yang membuak-buat untuk mempertahankan Mukhriz seakan sudah layu dan menirus. Kesungguhan apa disifatkan sebagai pemberontak untuk menyingkirkan Mukhriz tidak dapat dihalang.

Beberapa jam lalu merupakan saat penting untuk kedua pihak, Mukhriz dan lawannya, kerana ia merupakan periode perang saraf yang menentukan siapa pemenang. Dalam politik perang saraf penting untuk menentukan kemenangan. Dalam perang saraf itu kedua pihak telah melakukan berbagai-bagai tektik dan strategi termasuk provokasi, psywar, ugutan, kecaman dan sebagainya.

Sejak awal lagi dilihat apa yang berlaku itu adalah rencana dari Kuala Lumpur. Kerana ia direncana di Kuala Lumpur sudah tentu mereka yang terlibat juga nekad, bakah lebih nekad untuk merealisasikan hasrat mereka. Apabila Kuala Lumpur berlawan dengan Alor Star maka sudah tentu Kuala Lumpur berada di pihak yang lebih. Dalam hal ini Kuala Lumpur sama sekali tidak akan mengaku kalah kerana ia membabitkan maruah diri dan politik jagoan di sana.

Mungkin esok penentu nasib Mukhriz bila mana terdengar desas desus MB baharu akan mengangkat sumpah? Walaupun ia belum muktamad tetapi sudah ada petunjuk jelas yang kerjaya Mukhriz sebagai MB akan berakhir. Hari ini apabila mesyuarat Exconya tidak cukup korum, hanya tiga Exco sahaja yang hadir bermesyuarat bersama MB menjelaskan bahawa Mukhriz sudah pun hilang sokongan.

Malam ini saya tidak mahu mengulas mengenai nasib dan politik Mukhriz di masa depan? Kita akan ulans dan sorot selepas ini. Cuma apa yang hendak dikatakan, nasib orang politik itu tidak menentu dan sukar diramal. Sekali jatuh bukan bermakna akan kekal jatuh selama-lamanya. Jika diambil iktibar kepada apa yang berlaku kepada bapaknya, Dr Mahathir Mohamad pernah terbuang dan dipecat dari Umno, namun takdir itu tidak menamatkan kerjayanya. Malahan paling mengejutkan Mahathir akhirnya menjadi penguasa Umno dan perdana menteri.

Bila mengenang nasib Mukhriz ini menyebabkan kita terkenang nasib Dr Mahathir Mohamad. Ternyata nasib atau kemalangan yang menimpa anak bongsunya itu sangat mengecewakan Mahathir. Mukhriz adalah legasinya. Tidak dapat tidak Mahathir mahu mencatat kejayaan sama dengan Tun Razak Hussein dimana mengharapkan anaknya juga menjadi Perdana Menteri.

Apa yang terbuku di kepala saya kini bila mengenangkan Mahathir dan anaknya, apakah bekas PM 22 tahun itu akan bersara dalam politik sebaik sahaja anaknya digugurkan sebagai MB Kedah? Ini yang sama-sama hendak kita suluh dan lihat nanti. Apakah Mahathir mengaku kalah kali ini atau tetap terus menyambung perjuangannya yang belum selesai itu?

Jika dilihat kepada usia dan kian penghujungnya Mahathir dalam politik mungkin langkah bersara itu sepenuhnya dari politik akan diambil? Mengenang nasib Mahathir ini juga menjadikan kita teringat kepada doa Allahyarham Fadzil Mohd Noor yang berdoa supaya Mahathir panjang umur?

Insya-Allah kita akan sama-sama sorot dan membaca peta politik Matahir selepas ini. [wm.kl.9:19 pm 27/01/16]

No comments: