Wednesday, January 20, 2016

Kalau Mukhriz turun siapa naik?

ULASAN AWAL

Sidang akhbar Umno Kedah tolak Mukhriz.
Mata para pemerhati politik dan mereka yang peka dengan perkembangan semasa kini "tercerlung" ke negeri Jelapang Padi Kedah ekoran pergolakan dalam Umno yang kini sudah meruncing. Arus bawah politik Kedah yang sebenarnya berombak sejak setahun lalu, kini sudah tidak dapat dibendung lagi dan menuju ke titik noktah sementara.

Pergolakan dan desas desus Umno Kedah bermasalah sehingga ada gerakan untuk menjatuhkan Mukhriz sebagai MB secara sepadu diperkatakan sejak setahun lalu lagi.

Hari ini arus itu memuncak dan menuju ke persimpangan penyelesaian apabila satu kenyataan dikeluarkan oleh Timbalan Pengerusi Umno Kedah, Ahmad Bashah Md Hanafiah yang menyatakan secara terbuka Umno Kedah hilang kepercayaan dan keyakinan kepada Mukhriz Mahathir sebagai Pengerusi Umno dan juga MB.

Kenyataan itu dikeluarkan lewat petang ini selepas satu perjumpaan dihadiri 14 ketua bahagian dan wakil seluruh Kedah. Perhimpunan itu yang disifatkan gerakan pemberontakan dihadiri sama Adun dan Ahli Parlimen serta ketua sayap, Ketua Pemuda, Wanita dan Puteri.

Dari kenyataan yang dikeluarkan penolakan dan hilang kepercayaan dan keyakinan ke atas Mukhriz itu dibuat atas empat alasan; i) kegagalan Mukhriz dalam menyatupadukan kepimpinan dan jentera parti di semua peringkat di negeri Kedah.

ii) Tiada sebarang perancangan strategik parti bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14.

iii) Mukhriz gagal dalam mengetuai dan menggerakkan jentera parti selepas mengambil alih kepimpinan parti di negeri Kedah, dan,

 iv) Sebagai MB Mukhriz gagal mengurus dan mentadbir negeri secara berkesan.

Ekoran kata putus (majoriti) Umno Kedah yang hilang kepercayaan terhadap Mukhriz, Umno Kedah mendesak presiden parti Najib Razak membuat perubahan segera ke atas kepimpinan Umno Kedah khususnya kedudukan MB. Pemberontakan itu mahukan MB Kedah yang baharu.

Dengan perkembangan yang kritikal dan panas ini sudah tidak syak lagi Kedah akan bertukar jawatan MB sebelum berakhir penggal parlimen ke-13. Sementara itu dalam pentafsiran lain pemberontakan terhadap Mukhriz itu bukan sangat kerana beberapa alasan yang dinyatakan itu, tetapi ia adalah sebagai ledakkan (tempelakan) ke atas Dr Mahathir Mohamad yang beriya-iya mahu jatuhkan Najib.

Desakan Dr Mahathir yang mahu Najib diturunkan sebagai PM dibalas dengan mendesak Najib mengugurkan Mukhriz oleh para pendokong Perdana Menteri. Mukhriz dalam hal ini menjadi bahan korban kerana untuk membalas dendam kepada ayahnya. Yang terpikul bahana dari pemberontakan Umno Kedah itu adalah Dr Mahathir.

Persoalannya apakah Dr Mahathir terkesima dengan apa yang dilakukan ke atas anaknya itu. Atau pun beliau akan menjadi singa tua yang terluka dan akan meraung lebih kuat lagi? Sebagai ahli politik cukup matang Mahathir mungkin sudah membuat perhitungan mengenai perkara ini. Dr Mahathir bukan mudah untuk dikecundangkan.

Apa yang menjadi perhatian kini siapakah yang akan dilantik menjadi MB Kedah yang baharu. Ada tiga nama yang disebut-sebut, mereka ialah Adun Bakar Bata, Ahmad Bashah Md Hanafiah, Adun Bukit Lada, Ahmad Lebai Sudin dan Adun Bukit Kayu Hitam Ahmad Zaini Zafar. Nampaknya salah satu "Ahmad" ini bakal menjadi MB Kedah yang baharu dalam tempoh terdekat.

Pun begitu ada dua nama dikatakan sedang bertarung untuk mengganti Mukhriz itu. Lobi melobi
juga kini sedang giat berjalan oleh orang-orang berkepentingan. Dua nama itu ialah Ahmad Bashah dan Ahmad Lebai Sudin. Ahmad Bashah dilihat calon utama memandangkan beliau adalah Timbalan Pengerusi Umno Kedah, Pengarah Pilihan Raya Kedah bahkan dia juga disebut-sebut menjadi MB sebelum menjelang pilihan raya lalu.

Dipercayai pelantikan Mukhriz bukan atas persetujuan majoriti Umno Kedah, tetapi ia adalah hasil konsensus antara Mahathir dengan Najib. Ertinya pelantikan Mukhriz sudah tidak dalam keadaan halal. Pelantikan Mukhriz sebagai MB lebih kepada pembayaran "ufti" oleh Najib kepada Mahathir?

Sementara itu dari sumber rapat dengan Umno Kedah memaklumkan, Ahmad Bahsah tidak berminat untuk menjadi MB Kedah walaupun beliau lebih layak dari segi sinoriti. Beliau dikatakan menyedari kemampuan dirinya dan sudah selesa dengan jawatan kini selaku timbalan menteri. Oleh itu besar kemungkinan besar Ahmad Lebai Sudin akan dipilih menjadi MB.

Ada beberapa keistimewaan ditanggung Ahmad Lebai Sudin yang dikatakan menarik perhatian Najib Razak. Adun Bukit Lada inilah tokoh Umno Kedah di eranya dan merupakan individu pertama dan lantang mendesak agar Mukhriz menyatakan sikap terhadap Najib. Beliau juga dikatakan mengerakkan operasi untuk menyingkirkan Mukhriz dari kerusi MB demi keselesaan Najib juga.

Sekiranya Najib menghitung akan jasa, budi dan kesungguhan Ahmad dalam mempertahankannya dari diserang oleh bapak Mukhriz sudah pasti Ahmad akan diberi hadiah dengan dilantik menjadi MB Kedah. Najib memang suka melantik orang yang menjaga kepentingannya tanpa mengira apakah seseorang itu layak atau tidak. Bagi Najib kesetiaan lebih penting dari kewibawaan seseorang.

Persoalan lain apakah selepas turunnya Mukhriz Umno Kedah terjamin akan aman, tenang dan padu serta MB baharu itu dapat mengurus Kedah dengan cemerlang dan mempunyai idea lebih baik daripada anak Mahathir? [wm.kl.8:50 pm 20/01/16]

No comments: