Thursday, January 28, 2016

Kenapa Pas bersusah payah bela Tabung Haji?

STOP PRESS

Kenyataan dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Pas Takiyuddin Hassan yang mengatakan beliau yakin dengan kemantapan sistem tadbir urus Lembaga Tabung Haji (TH) dirasakan kurang bertepatan dengan perkembangan atau persepsi negatif orang ramai kepada lembaga itu kini.

Untuk apa tiba-tiba Takiyuddin perlu untuk membela Tabung Haji dengan mengeluarkan pendapat demikian, sedangkan waktu ini orang ramai mencurigai akan TH ekoran surat teguran daripada Bank Negara Malaysia (BNM) terhadap lembaga berkenaan yang mana tidak boleh mengumumkan dividen apabila asetnya kurang daripada semua jumlah obligasinya?

Apakah Takiyuddin sengaja berbuat demikian, membela Tabung Haji kerana ia dalam rangka partinya (Pas) akan berta'awun dengan Umno dalam hal ehwa Islam? Kalau pun Pas ingin berta'awun tetapi bukan dalam keadaan sekarang ini kerana ia semacam tidak menghormati sensitiviti penyimpan Tabung Haji di kala ini. Cara dan tindakan Setiausaha Agung Pas itu tidak bijaksana.

Takiyuddin juga berkata dia yakin dengan pengurusan Tabung Haji yang patuh syariat. Apakah beliau salah seorang orang yang dilantik untuk memantaunya atau sekadar mempercayai kepada kata-kata Menteri?

Sepatutnya Takiyuddin memberi pandangan kepada Tabung Haji untuk menjawab beberapa persoalan yang dibangkitkan mengenai urus tadbirnya, termasuk kelewatan mengumumkan bonus tahunan serta mendesak Tabung Haji menjadi persoalan umum. Atau pun kalau beriya untuk menyokong Tabung Haji bagi menyerlahkan Pas sudah memulakan ta'awun tunggulah sehingga TH mengumumkan dividen.

Tindakan pentas begitu seakan ada undang di sebalik batu. Kita berharap pandangan Takiyuddin itu tidak mencermin pandangan parti agama itu yang seharusnya melihat dari segenap aspek termasuk pengurusan yang bersih, telus dan berwibawa.

Menghairankan juga apabila Takiyuddin langsung tidak menyentuh pelantikan Mohamed Apandi Ali sebagai ahli lembaga pengarah Tabung Haji.  Pelantikan Apandi sebagai ahli lembaga pengarah itu seakan meramaikan "orang-orang yang sepertinya" dalam lembaga itu. Apakah Apandi seorang lulusan syariah dan arif mengenai Islam?

Apabila ia tidak dipersoalkan, umum melihat Pas menerima pelantikan itu walaupun reputasi Apandi menerusi jawatannya sebagai Peguam Negara dipertikaikan ekoran beliau membebaskan Najib Razak di luar mahkamah berhubung dakwaan isu dana RM2.6 billion.

Apapkah Pas bukan lagi menjadi parti yang mengambil berat soal-soal integriti dan moral dan mengharap keredhaan Allah? Hendaknya parti agama itu tidak diheret untuk bersubahat dengan kemungkaran semata-mata kerana mengejar benefit politik. [wm.kl.10:10 pm 28/01/16]

No comments: