Sunday, January 24, 2016

Mentafsir demo bantah TPPA semalam

CAKAP AHAD

Mustapa Mohamed
Pagi ini nak "berkecek" sedikit fasal demon membantah pelaksanaan Perjanjian Perkongisan Trans Pasifik (TPPA) yang berlangsung di ibu negara semalam. Kalau tidak bercakap, orang kata kita tidak pedulikan kepada perkembangan semasa pula. Lagi pun beberapa orang penjenguk bertanya saya, macam mana pandangan saya terhadap demon berkenaan.

Ada yang hendak tahu siapa yang menjadi dalangnya. Adakah DAP, PKR dan parti Amanah hadir sama. Dan macam-macam lagi ogehan yang diutarakan.

Demon semalam didominasi oleh orang parti agama. Beberapa orang pemimpin kananya peringkat barisan kedua muncul mengendali bantahan berkenaan. Nampak, ada mereka naik bersyarah dan menyatakan bantahan dengan penuh lemah lembut. Tetapi nasib baik tidak sambil duduk bersela seperti meratib.

Seorang pemimpinnya mendakwa lebih 30,000 yang hadir. Saya tidak boleh mengesah dan menafikan kerana saya tidak hadir dan hanya memantau menerusi Facebook dan blog sahaja. Angka subjektif. Pihak yang suka akan tambah dan pihak yang benci akan mengurangkannya. Ini perkara biasa.

Tetapi kita sebagai pemerhati dapat membuat congakan sendiri. Biasanya kalau peserta ramai ia menimbulkan masalah. Polis akan sibuk dan pasukan keselamatan lain juga akan sibuk. Kalau bantahan besar dan sampai tidak dikawal tentu ada tangkapan. Ada semburan gas pemedih mata dan juga ditangkap. Begitu juga media massa akan menemu ramah para peniaga di Jalan Tunku Abdul Rahman menyatakan kekesalan dengan demon kerana kononnya menjejaskan perniagaan mereka. Tetapi kali ini tidak ada?

Ertinya tunjuk perasaan semalam berjalan aman. Tidak ada sesiapa yang ditangkap kecuali seorang lelaki dikatakan cuba membawa fahaman Anarki... tetapi sudah pun dilepaskan selepas diuji air kencing. Ini menunjukkan demon semalam berskla kecil sahaja. Mungkin layak disebut sebagai riadah hujung minggu, sekadar memanaskan ketiak atau menghilang lenguh siku lutut sahaja.

Saya tidak tahu apakah ada apa-apa resolusi yang dibuat pada bantahan semalam. Maksudnya ada bantahan secara dokumen untuk diserahkan kepada kerajaan, atau diberikan kepada wakil rakyat untuk dibahas dalam parlimen Selasa depan. Sepatutnya ada. Dokumen itulah menjadi dokumen sah dan direkodkan di Parlimen.

Apa-apa bantahan, jerit pekik semalam tidak akan ke mana dan ia berlalu begitu sahaja dibawa lari abuk dan asap LRT atau bas Repid KL sahaja. Mungkin ada? Di pihak parti berwarna Hijau, pemimpinnya ada mendesak supaya ulama membuat pendirian berhubung TPPA itu. Minta diadakan fatwa agar mengharamkan perjanjian berkenaan. Alasannya kalau TPPA ditanda tangani maka Amerika akan menguasai ekonomi negara ini dan menjejaskan peluang perdagangan anak bangsa.  TPPA diterjemahkan sebagai bentuk penjajahan baharu.

Sejauh mana pratikal atau tidak hujah berkenaan walahhu'alam. Tanggapan demikian tidak menghairan sebenarnya kerana itu itulah juga yang selalu dijadikan alasan apabila ada sesuatu demon. Apa-apa polisi atau dasar baharu diperkenalkan kerajaan pembangkang tidak pernah bersetuju. Akan ada seribu hujan dan alasan. Seolah-olah tidak ada langsung kebaikan daripada apa yang kerajaan lakukan. Ini satu tanggapan melampau yang menjadi tradisi dan budaya serta sikap orang kita berpolitik.

Melihat kepada kekuatan dan kesan demon semalam, saya tetap yakin ia tidak mengajakkan hasrat kerajaan yang sudah pun jelas dan tegas dengan pendiriannya. Suara bantahan semalam tidak akan dipedulikan. Parlimen yang kini dikuasai oleh UBN akan mengundi menyokong perjanjian berkenaan. Apa yang berlaku ke atas GST atau pun beberapa Akta lain yang dibantah sebelum ini seperti SOSMA, MKN dan sebagainya turut sama berlaku ke atas TPPA. Pihak kerajaan tidak perlu bimbang perjanjian itu akan diluluskan.

Sebab itu saya kata perubahan tidak dapat dilakukan menerusi parlimen kerana parlimen kita sudah tidak sihat dan waras (beruntegriti) lagi. Kalau rakyat benar-benar ingin melakukan perubahan terhadap sistem dalam negara, menghalang berlaku pencerobohan luar dan sebagainya seperti dianggap terhadap TPPA itu rakyat perlu memiliki kuasa bagi menguasai parlimen. Selagi kuasa rakyat kecil di parlimen maka suara itu akan tenggelam dan dilupakan begitu sahaja. Jadilah suara kita seperti suara burung ciak dalam keriuhan burung gagak.

Bukan soal TPPA itu baik atau tidak, tetapi kerajaan menerusi Najib Razak selaku perdana menteri akan menguasai ahli-ahli parlimen BN. Dengan kuasa (dan wang) yang ada kepadanya Najib boleh mengarahkan ahli parlimen menyokong TPPA. Tidak perlu tanya macam mana mekanisme Najib menguasai ahli parlimen dengan wang atau ugutan, tetapi itu dibenarkan dalam politik. Maka untuk dirinya Najib akan melakukan apa sahaja.

Kesimpulannya demon semalam, seperti saya kata sebelum ini ia tidak memberi apa-apa erti lain selain daripada mereka yang menyertainya untuk menunjukkan kekuatan masing-masing. Ia menjaga medan peraga kegoaan. Parti agama hendak tunjuk ia masih kuat dan ada pengaruh, walaupun sudah berpecah, manakala parti baharu Amanah yang ikut sama juga, walaupun menumpang nak tunjuk kekuatan. Demikian juga dengan NGO Perkasa(m), yang turut sama dihadiri presidennya Inche Ibrahim Ali kerana hendak tunjuk ia mesra dengan Pas.

Bagi Inchek Ibrahim bukan isu TPPA yang penting tetapi apa diharapkan dia mahu dirinya dilihat baik dengan Pas dan bersama parti itu kerana dia mengharapkan Pas akan memberi laluan kali kedua untuk bertanding di Parlimen Pasir Mas dalam pilihan raya akan datang. Agenda peribadi Inchek Ibrahim lebih besar daripada agenda rakyat? Dan memang patut pun kalau Pas menukarkan ahli parlimennya di Pasir Mas itu kepada Inchek Ibrahim kerana presiden Perkasa(M), itu dapat meriuh randahkan Dewan berbanding dengan wakil rakyat kini yang banyal duduk melurut janggut.

Itulah tanggapan saya tentang demon semalam. Dan Mustapa Mohamed sebagai menteri bertanggungjawab membawa usul TPPA tidak perlu gentar dan bimbang TPPA akan ditolak. Yang penting beliau sudah membentangkan seluas-luasnya agar deraf perjanjian itu disemak dan dikaji dari setiap jerung.  Mereka yang membawa dan memahami kebaiakan TPPA untuk negara akan menyokongnya. [wm.kl.11:25 am 24/01/16]

No comments: