Monday, January 11, 2016

Itjimak Pas Selangor dan Pekeliling larangan

DARI HATI

Sebahagian gambaran Itjimak Pilihan Raya.
Ada dua mauduk yang menarik perhatian saya semalam, pertama ialah mengenai Itjimak Pilihan Raya Pas Selangor dan kedua mengenai Pekeliling dikeluarkan Jawatankuasa Pas yang melarang ahlinya daripada terlibat atau mengambil bahagian dalam apa-apa majlis anjuran DAP dan Amanah.

Itjimak pilihan raya yang berlangsung di Shah Alam itu dilaporkan mendapat sambutan hangat. Ada tertulis sambutannya mencecah hingga 7,000? Kerusi dan tempat yang disediakan penuh padat. Sambutan diluar jangka. Peristiwa itu sesuatu yang perlu disyukuri oleh Pas Selangor. Kehangatan itu sudah tentu ekoran perkembangan politik mutakhir ini yang melanda parti agama berkenaan.


Perpecahan dalam parti itu sehingga tertubuhnya Amanah, menjadi faktor pendorong mungkin, untuk ahli dan penyokong berbondong-bodong hadir ke itjimak berkenaan bagi menunjukkan parti itu tidak terusik dengan apa yang berlaku. Di situlah hikmat di sebalik apa yang berlaku. Sebab itu tidak perlu kita cepat menomah dengan sesuatu yang buruk ke atas yang berlaku? Semuanya ada hikmah dan rahmat.

Mungkin kalau tidak berlaku perpecahan, Pas Selangor tidak dapat mengukur kehebatannya selama ini. Tetapi dengan berlaku perpecahan, Pas Selangor dapat mengukur kekuatan sendiri dan dalam pada itu sedia mengemaskan mana-mana yang tidak kemas bagi berdepan dengan musuh sejati. Relatifnya Pas Selangor perlu menampung kebocoran yang berlaku, kalau tidak banyak, sedikit pasti ada.

Itjimak berkenaan bukan sahaja mengembira Pas Selangor tetapi Pas seluruhnya. Ia akan dijadikan indikator bahawa Pas masih utuh dan ahlinya penuh bersemangat. Bekas ahli Pas yang kini berada dalam Amanah tetapi masih bernostalgia dengan parti itu juga mungkin tumpang seronok. Mungkin mereka berfikir kalau tidak berlaku perpecahan dalam Pas, kekuatan Pas makin bertambah?

Apa yang tergambar dalam itjimak itu menunjukkan bahawa Pas berpotensi untuk terus subur dan menghijau di Selangor di samping terus mengekalkan pretasi sedia ada. Seperti saya katakan kalau Pas dapat disusun dengan teratur dan kemas, penuh disiplin sebagai sebuah organisasi massa tidak mustahil Pas mengganti Umno di Selangor. Dalam rakyat Selangor kian hilang kepercayaan kepada Umno yang telah memerintah di negeri itu, Pas sepatutnya menunjukkan kredibilitinya sebagai parti alternatif.

Dalam itjimak itu ada disebut oleh pemimpinnya Pas akan menambah kerusi yang akan ditandingi menjadi 25 kerusi. Sebenarnya Pas bukan meletakkan sasaran bertanding di 25 kerusi sahaja, sebalik di semua kerusi, kalau ia yakin dengan kesendirian Pas lebih mendapat sokongan. Mengenai realiti politik di Selangor bahawa ada kawasan bandar dan pinggir bandar yang Pas sukar untuk kuasai, seharusnya diusahakan agar Pas dapat memasukinnya. Itjimak itu perlu merancang ke arah itu juga.

Pas Selangor jangan hanya berfikir untuk menjadi pengenap kepada mana-mana parti untuk menubuh kerajaan di Selangor. Dengan hanya bertanding 25 kerusi, Pas Selangor seakan mengira ia menjadi parti pengenap kepada pembentukan sebuah kerajaan, bukan parti tunggal membentuk kerajaan. Kalau Pas mempunyai pelan itu, ini menjelaskan bahawa Pas menyedari ketidakmampuannya. Ertinya langkah Pas berbalah dengan Amanah dan DAP adalah satu kesilapan politik.

Dalam pada itu melihat kepada kesuburuan Pas Selangor itu, antara sebab ianya kerana peluang yang Pas perolehi membentuk kerajaan bersama Keadilan (PKR) dan DAP. Kejayaan itu telah memberi satu daya dan modal besar kepada Pas mengembangkan pengaruhnya. Peluang Adun Pas menjadi anggota Exco, perancang kepada dasar kerajaan negeri, menduduki syarikat-syarikat kerajaan dan juga peluang menduduki jawatan dalam Majlis-majlis Kerajaan Tempatan dan sebagianya menyumbang ke arah itu. Sokongan rakyat itu kerana Pas mempunyai aset berkenaan.

Justeru seharusnya Pas Selangor dapat mengira akan kebaikan dan hakikat ini. Ertinya Pas Selangor perlu mengukuhkan kedudukan dari masa kesemasa melalui oporturniti yang ada demi membentuk dan menyuburkan Pas. Sekiranya Pas tidak berpeluang menjadi kerajaan, sudah pasti sambutan rakyat Selangor kepada Pas - dilihat kepada itjimak itu tidak sehebat itu. Dan apakah setelah kira-kira 6 tahun berpeluang menjadi kerajaan Pas Selangor sudah cukup gah dan tenaga untuk melangkah sendiri?  Mungkin perlu dimahasabah semula.

Mungkin perlu disebut di sini, sedikit sebanyak kesuburan dan kehijauan Pas mengenai aktiviti keagamaan, sedikit sebanyak adalah sumbangan bekas Exco agama yang dipecat daripada Pas, Dr Hassan Ali. Suka atau tidak Hassan lah yang mula meletakkan Pas sebagai sebuah parti yang mengimarakkan masjid menerusi Qiamulail. Hassan telah menggunakan seoptimumnya peruntukan dibawah porfolionya untuk kegiatan Islam yang sekali gus mencetak pemikiran rakyat Selangor dengan Pas.

Barang kali, saya ulang.. barang kali, tidak salah bagi Pas kalau memanggil semula Hassan kembali ke parti berkenaan. Kalau pun bukan sebagai pemain utama tetapi cukup sebagai penasihat?

Pekeliling larangan.

Husam tak perlu ditakuti.
Mauduk kedua yang hendak disebutkan di sini ialah mengenai Pekeliling melarang ahli Pas terlibat dengan program anjuran DAP dan Amanah. Alasan larangan itu dibuat bagi mengelakkan ahli terkeliru dengan kehadiran orang Pas dalam majlis-majlis dua parti berkenaan. Logik ia dilarang kerana DAP dan Amanah tidak ada hubungan dengan Pas lagi.

Anihnya larang itu tidak termasuk Umno dan parti-parti lain? Kenapa, atau terlupa kepada sejarah kerana begitu obses untuk berta'awun dengan Umno? Apakah Pas menerima Umno itu jauh lebih baik daripada Amanah dan DAP. Atau pun ia disengaja tidak dimasukkan kerana tidak mahu menyindir presiden partinya yang hadir bersama Najib Razak di satu majlis. Pas perlu rasional dalam hal ini dan memahami parti mana yang membantu mereka sehingga berada di takah kini dan lebih ikhlas berbanding dengan Umno?

Sekali pandang, larangan itu bersifat umum, dan tidak ketat apabila disebut boleh hadir ke majlis parti lain (kecuali DAP dan Amanah) dengan meminta kebenaran. Pekeliling itu bukan sesuatu kondusif dan menunjukkan Pas sebuah parti yang progresif apabila ahlinya dilarang bersosial, bukankah politik itu bersosial?  Pas juga yang "mengapuhkan" bahawa politik dan agama itu bersekali.

Pekeliling itu dibuat bukan berasaskan keperluan yang hakiki sebaliknya kerana ingin bertindak ke atas satu orang sahaja, yakni Husam Musa. Maka ia dilihat terdesak dan cetek akal. Ia juga dibuat kerana takut dan bimbang dengan pengaruh Husam yang beraura. Kehadiran Husam pada majlis makan malam Amanah yang mendapat sambutan, itulah mungkin mengilhamkan Pekeliling berkenaan dirangka.

Kalau itulah maksudnya, kerana takut dan mahu menyekat pergerakan Husam, Pekeliling itu tidak diperlukan pun. Cukup kalau Pas mengemukakan surat penjelasan atau larangan kepada Husam secara personal. Apabila ia dibuat dalam Pekeliling tampaklah akan kebimbangan parti itu kepada seorang manusia bernama Husam. Rasanya selain daripada Husam tidak ada pemimpin Pas lain berani untuk berada dalam majlis Amanah atau pun DAP, melainkan majlis Umno.

Kepada saya langkah mengeluar Pekeliling itu tidak bijak dan dalam masa sama ia memberi gambaran bahawa Husam adalah tokoh yang ditakuti Pas dengan sambutan yang diberikan kepadanya. Secara tidak langsung Pekeliling itu mengikhtirafkan Husam tokoh sedang digilai rakyat. Kalau menyedari kelebihan dan kegilaan orang kepada Husam, kenapa Pas tidak sedia menggunakan khidmat Husam? Husam masih lagi ahli Pas, lantiklah dia memegang apa-apa jawatan, dan dengan cara itu Pas dapat mengekalkan Husam dan pengaruhnya kepada Pas.

Bukankah Husam sudah berkata dia akan mati dalam Pas. Jangan kerana dendam peribadi, benci peribadi sehinggakan mengorbankan kepentingan parti dan orang lain. Pemimpin Pas seharusnya berjiwa besar dan bersikap sedia memaaf dan menerima maaf. Pengikhtirafan almaruhm Tokguru kepada Husam sebagai seorang budak bijak seharusnya berada dalam semua benak orang-orang Pas. Aset yang satu ini tidak sewajarnya diabaikan oleh Pas.

Dan bagi saya Pekeliling itu juga cacat dan tidak memberi larangan seoptimum kepada ahlinya (baca Husam). Macam mana kalau Husam hadir di majlis anjuran NGO bersama dengan tokoh-tokoh dan pemimpin Amanah dan DAP? Kalau mengikut tafsiran Pekeliling itu kehadiran dalam majlis seumpama itu tidak berlaku. Apakah Pekeliling itu akan dipinda selepas ini?  [wm.kl.11:33 11/01/16]

No comments: