Tuesday, January 5, 2016

Hari ini ada kelegaan sedikit

SUARA RASA

Keinginan dan perasaan seorang penulis kepada kerja dan mediumnya begitu tinggi sekali. Saya percaya bukan sahaja saya tetapi penulis lain juga. Apabila tidak dapat mencatat sesuatu, rasa diri bukan sahaja serba salah tetapi semacam "berdosa" pula.

Apabila tangan terselak blog ini dan melihat ia "kosong", mari satu perasaan rasa bersalah, dan rugi kerana saya telah tertinggal jauh. Banyak isu-isu yang berlaku yang perlu diberi kupasan ataupun dicerapi terlepas begitu sahaja. Isu dan peristiwa pula datang bagaikan ribut taufan, namun tidak dapat dikongsifikirkan bersama.

Isu mengenai Pas dengan Amanah, isu mengenai Azmin Ali dengan CheguBard, isu mengenai Najib ke Makkah dan juga isu mengenai Mahathir mengusik Peguam Negara Negara yang mungkin melindungi hasil siasatan SPRM untuk melindungi PM. Itu adalah isu-isu yang menarik untuk dikupas dan direnungi bersama. Ohya, tidak lupa isu alam sekitar di negeri Pahang yang kini dilanda debu dan abuk merah (bauksit).

Jadi hari ini apabila ada sedikit kurdart, ingin saya maknakan blog ini dengan sedikit catatan lagi mengenai perkembangan diri dan keadaan mutakhir saya. Benar sesuatu yang berlaku itu memberi pengalaman dan memberi rahmat kepada kita, cuma sama ada kita dapat menghidu dan memahami rahmat itu atau sebaliknya. Ya pastinya ia membawa rahmat tidak terhingga.

Selama beberapa hari terlantar dan menjalani rawatan lanjut, banyak menemukan saya makna mengenai hidup dan kehidupan. Mengenalkan saya bukan sahaja kepada alam, tetapi kepada diri sendiri. Teringat kepada yang terlupa. Tentulah yang lebih besar dan beruntung tidak tolak bandingnya mengenai akan Kekuasaan dan Kebesaran Allah. Tentang kasih dan sayangnya Dia kepada semua. Itulah saya nyatakan dan katakan yang sakit itu sebenarnya satu NIKMAT.

Rahmat, mungkin sebelum ini kita tidak dapat menilai dan mengukur sejauh mana pandangan, pemerhatian orang, penerimaan orang kepada kita, baik daripada saudara, adik beradik atau kawan. Tetapi hari ini apabila kita dalam musibah ia dapat memberi pengetahuan kepada kita dan menjawab persoalan yang kita teralpa mengenainya. Bahawa musibah ini memberi petunjuk jelas dan menceritakan sesuatu yang hakiki.

Lebih bermakna saya berasakan saya bukan sendiri dalam hidup ini. Ertinya sakit ini ditanggung oleh mereka mengenai saya, berbaik sangka dengan saya khasnya dalam perjuangan yang saya langgangi. Apabila saya didokong dengan semangat dan doa bermakna perjuangan saya selama ini, komitmen saya mengenai perjuangan selama ini juga disokong dan tidak ditolak seratus peratus.

Saya percaya ini kerana orang yang tidak suka, mencemuh perjuangan atau cara saya berjuang tidak akan memberi apa-apa reaksi kepada saya hatta pun ada motif disebaliknya. Mereka tidak pun mengetahui atau pedulikan kepada perkembangan saya.

Walaupun atas nama simpati, kesian atau kepedulian dari rasa kemanusiaan, saya menerima denganya baik. Sejak terlantar di hospital dan berada di rumah dan kini masih dan terus berulang alik, saya mendapat ingatan, salam dan doa dari ramai kekawan. Yang datang menjenguk di hospital, yang jauh berkirim salah dan yang dekat dan berkesempatan datang ke rumah. Tidak habis-habisan tasliyah sampai ke telinga dan hati saya, sejuk dan redup.

Paling menyebakkan saya, ada yang mengirim berbagai ubat dan penawar untuk kesembuhan saya. Mereka ikhlas bukan berniaga dan menjual dagangan tetapi semata-mata kerana mahu melihat saya sihat dan terus bermain dengan dakwah, Tinta Merah.

Barang kali tidak perlulah saya merakam setiap nama yang memberi ucap selamat dan terus mendoakan saya. Cukup kalau saya nyatakan mereka dari segenap kenalan saya, sahabat, saudara mara, orang politik, dari ketua cawangan, bekas wakil rakyat, pimpinan parti politik, bekas menteri, menteri, dan juga MB. Apa lagi yang hendak saya nafikan akan nikmat ini yang Tuhan berikan kepada saya.

Dan insya-Allah apabila kudrat makin bertambah saya akan tetap meneruskan perjuangan ini, seperti mana saya nyatakan pada posting sebelum ini. Mungkin esok boleh dimulakan dengan mengulas isu-isu politik yang mungkin berbeza bentuk dan citarasanya. Wassalam, selamat. [wm.kl.6:51 pm 05/01/16]

No comments: