Thursday, January 21, 2016

Menanti komen Mahathir dan Najib tentang Kedah

JELANG DUHA 

Mukhriz sudah mula turun padang membela diri.
Selepas hampir 20 jam 13 Ketua Bahagian Umno Kedah yang berkumpul dan mengistyharkan hilang kepercayaan dan keyakinan kepada Mukhriz Mahathri sebagai Pengerusi Umno dan MB Kedah, masih belum kedengaran apa-apa komen dan reaksi daripada mana-mana pemimpin tertinggi Umno.

Yang rancak memberi komen dan ulasan adalah pemerhati bebas dan juga penganalisa politik yang melihat pergerakan politik dari jendela kaca sahaja atau dari sumber dilaporkan media massa.


Penganalisa ini membuat ulasan berpandukan kepada teori-teori akedemik yang tercoret atas kertas semata-mata tetapi jarang menjejak kaki ke bumi realiti siasah.

Pakar-pakar perlembagaan juga membuat ulasan dan mentafsir mengenai kedudukan Mukhriz sebagai MB dari konteks perlembagaan. Rata-rata pakar perlembagaan yang diminta pandangan sependapat mengatakan kedudukan Mukhirz sebagai MB tidak terjejas dengan pengistyharan penolakan 13 ketua bahagian Umno yang diketuai oleh Timbalan Pengerusi Umno Kedah, Ahmad Bashah Md Hanafiah itu.

Ertinya pengistyharan perdana itu bukan secara automatik Mukhriz gugur dari singgasananya, walaupun itu yang dikehendaki dari pengistyharan itu.

Status Mukhriz akan ditentukan oleh ahli Dewan Undangan Negeri Kedah. Sudah pasti keyakinan itu berpandukan kepada percedent sebelum ini, dimana apa-apa kuasa atau entiti diluar Dewan tidak mengugat kedudukan seorang MB. Entiti atau tekanan dari luar hanya boleh membawa kepada satu tindakan susulan yang agresif dalam DUN.

Pun begitu nasib Mukhriz juga boleh tergantung kepada keputusan dan tindakan partinya. Kalau beliau dipecat daripada Umno menyebabkan dia tidak layak menjadi MB daripada Umno. Keadaan itu menyebabkan Umno berhak mengemukakan nama baharu sebagai penggantinya. Ini pun tergantung kepada apakah Umno masih merupakan parti mendapat majoriti atau pun tidak di Dewan.

Ada kemungkinan Umno Kedah akan hilang majoriti sekiranya Mukhriz dipecat daripada Umno dan tindakan itu diikut oleh beberapa Adun lain. Khabarnya terdapat lapan (8) orang Adun yang tidak hadir pada pertemuan semalam. Mereka ini bolehlah disifatkan sebagai orang Mukhriz. Ini bermakna Umno yang memilik 21 kerusi dari 36 kerusi di Dun Kedah hanya tinggal 13 kerusi sahaja. Jumlah itu tidak menjadikan Umno parti yang mendapat majoriti lagi.

Keadaan boleh mencemaskan Umno dan pengistyharan di Alor Star semalam membawa padah kepada Umno dan juga Najib Razak sendiri, sekiranya terjadi "istidraj" di mana Mukhriz dan lapan Adun itu bergabung dengan pembangkang yang kini mempunyai 15 kerusi. Kalau ini berlaku bermakna Mukhriz dan gabungan itu mempunyai 23 kerusi. Pakatan ini berhak untuk menamakan sesiapa dalam kalangan mereka menjadi MB?

Di sini saya tidak mahu mengulas kemungkinan itu kerana kita perlu tunggu apa yang berlaku. Krisis dan pergolakan di Kedah itu sedang bergerak dengan lancarnya.

Apa yang ditunggu-tunggu kini ialah komen daripada dua individu besar yang dilihat menjadi simbol kepada apa yang berlaku di Kedah itu. Mereka ialah Dr Mahathir Mohamad yang juga bapak kepada Mukhriz. Seorang lagi ialah Mohd Najib Razak, presiden Umno yang juga perdana menteri.

Perang ke atas Mukhriz yang distyharkan semalam, adalah simbolik perang antara Mahathir dengan Najib. Itulah realiti dan hakikatnya. Ahmad Bashah dan kuncu-kucunya itu, termasuk dua atau tiga menteri tidak akan hadir dalam pertemuan itu kalau tidak ada lampu hijau (kini lampu oren - Amanah) daripada Putrajaya. Saya yakin persetujuan sudah diperolehi di Putrajaya. Tanpa perestuan Putrajaya mereka tidak berani melontar bom kurba dengan penuh persepakatan itu.

Kalaupun tidak Najib sendiri memberi signal, tetapi ada orang lain yang mengangkat jempol, ok teruskan. Ertinya apa yang berlaku di Alor Star semalam adalah bawaan dari Kuala Lumpur. Tidak mustahil juga ia sudah dirancang demikian rupa dengan mengambil perkiran-perkiraan tertentu salah satunya ialah untuk melemahkan spiritual Mahathir dalam terus menentang Najib. Mereka mengharap penentangan terhadap anaknya itu boleh melemahkan energi bekas PM itu.

Makanya, suara, pandangan dan reaksi Dr Mahathir ke aats apa yang berlaku di Kedah, yang menimpa nasib anaknya dan dirinya juga penting dan ditunggu-tunggu. Hari ini, saya percaya Dr Mahathir akan mula bersuara memberi pandangan terhadap apa yang berlaku.

Malam tadi mungkin Dr Mahathir sedang berfikir mencari ayat-ayat yang bernas untuk diucap kepada wartawan atau pun dimuatkan dalam blognya hari ini. Atau pun sudah ada?  Kita tunggu. Kata mula dari Mahathir itu penting untuk kita menyuluh ke mana pergolakan dan krisis kepimpinan di Kedah itu hendak dibawa. Apakah ia terhenti dan berlegar di Alor Star sahaja atau terhimbau ke kota-kota lain juga, Johor Bharu, Ipoh, Kota Bharu, Seremban, Kuala Terengganu dan lain-lain.

Dan begitu juga dengan reaksi daripada Najib Razak, ditunggu. Apakah komen pertamanya. Nada dan suara Najib akan menunjukkan apakah "sirr" di sebalik yang berlaku itu. Najib tidak boleh berdiam diri untuk menyelamatkan diri bagi menunjukkan dia tidak terlibat. Anda sebagai presiden harus bertanggungjawab kepada setiap- apa yang berlaklu dan bukan terus menjadi tenggiling bersikap play safe.

Atau sekali lagi ada tokoh "bidan terjun" yang bercakap bagi pihak Najib? Kita tunggu menjelang tengah hari ini pasti akan ada ulasan dan komen dari pemimpin Umno. Yang jelas dan pastinya Umno kini sedang menjenguk ke segmen baharu pergolakan dalaman parti yang akan mula membuak dan melimpah ke tangga dan laman rakyat jelata.

Apakah ini semua menjadi momentum kepada penguduran Najib sebagai perdana menteri? Ataupun Najib memang sudah bersiap sedia untuk berundur kerana tidak betah lagi menghadapi segala risiko yang melanda diri dan negara? Ataupun apakah pertemuan Najib dengan tokoh veteran Umno di luar negara baru-baru ini adalah satu persiapan ke arah itu? Najib sebelum mengerjakan umrah dikatakan terbang ke satu kota untuk berjumpa dengan seseorang? Kita bercerita kemudian.

Atau Najib masih mempunyai banyak wang untuk membeli kuasa mempertahankan dirinya? [wm.kl.7:19 am 21/01/17]

No comments: