2. TAHU SAKIT

JIKA kita seorang "pencerap" yang baik kepada keadaan diri kita, baik dari dalam atau dari luar, kita akan tahu setiap perubahan yang berlaku ke atas diri kita. Kita akan maklum apa-apa perubahan yang kita alami.
Mustahil kita tidak tahu tentang apa-apa berlaku ke atas diri kita. Sebab semua perkembangan; rasa, perasaan, naluri dan sebagainya kita dapat mengalaminya. Setiap anggota yang menjadi komponen kita ada fungsi dan peranan tersendiri yang sangat unik. Kita seharusnya menyedari evolusi diri.
Kulit kita pedih bila tersentuh sesuatu yang keras, mata berpinar kerana termasuk habuk atau cahaya, kaki berdenyut kerana tersadung duri atau sembilu dan sebagainya, kita dapat merasai dan mengesaninya apakah sebab musababnya. Kecualilah kita sudah hilang segala deria rasa, semua sel-sel saraf kita rosak, pancaindera kita sudah tidak berfungsi lagi, maka ia mungkin tidak dapat dikesani. Tetapi selagi saraf kita hidup, pancaidera kita berfungsi ia dapat dirasakan dan menjadi petunjuk kepada kita untuk bertindak.