Thursday, December 4, 2008

Balas Balik

Mustafa Ali Lebih Baik Daripada Mat Sabu

UTUSAN Malaysia hari ini menyiarkan berita cadangan Mursyidul Am Pas, Nik Abul Aziz Nik Mat yang mahukan Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu sebagai calon dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu di muka surat 4.

Seperti dijangkakan berita itu telah disensansikan oleh akhbar berkenaan. Cara penyiaran berita itu, akhbar itu mahu menimbulkan kekalutan di kalangan Pas soal pemilihan calon di pilihan raya kecil itu. Sebagai akhbar tua dan usang Utusan sangat tahu mengenai wibawa cadangan berkenaan, ia adalah pandangan peribadi Nik Aziz saja.

Tidak sepatutnya pandangan peribadi dilihat sebagai mempunyai wibawa begitu tinggi. Tetapi kerana Utusan mempunyai agenda tertentu termasuk untuk menimbulkan kekalutan maka berita itu diperbesarkan.

Sebenarnya soal siapa calon dalam pilihan raya itu tidak perlu ditimbulkan lagi. Suruhanjaya Pilihan Raya masih pun belum bermesyuarat menentukan tarikh penamaan calon dan hari mengundi. Namun kerana masing-masing excited untuk berpilihan raya, pantang orang tanya maka disebutlan nama sipola-sipola. Kegapohan ini boleh menimbulkan masalah di kemudian hari dan akan dieksploitasikan.

Pilihan Mohamad Sabu oleh Nik Aziz itu hak peribadi beliau. Beliau tentu ada motif dan tujuan sendiri kenapa begitu cepat memuji Mohamad Sabu begitu sekali. Semacam ada orang yang menggerakkan lidah Nik Aziz untuk berkata demikian dengan tujuan tertentu.

Memang Mat Sabu calon Pas pada pilihan raya umum di kerusi berkenaan. Bekas ahli Parlimen Kubang Kerian dan Kuala Kedah itu kalah tipis ditangan Allahyarham Razali Ismail. Kedudukan itu tidak boleh dilihat mudah bahawa Mohamad Sabu memang boleh diletakkan untuk menghadapi cabaran Pas.

Dalam suasana hari ini Pas harus cari calon yang mampu membawa kemenangan dan bukan saja yang petah dan hebat berpidato atau berlidah lantang. Calon mulut bisa kalau tidak membawa kemenangan ia tidak memberi apa-apa erti.

Pandangan Setiausaha Agung Pas, Kamaruddin Jaaffar adalah tepat dan munasabah. Apa yang penting Pas perlu meletakkan calon yang dirasakan dapat membawa kemenangan.

Dalam hubungan saya tanpa prejudis merasakan Mustafa Ali lebih berkemampuan untuk meraih kemenangan kepada Pas berbanding dengan Mat Sabu. Ada beberapa kelebihan kepada Mustafa. Bukan kerana kedudukannya sebagai Pesuruhjaya Pas Terengganu, tetapi hubungan kekeluargaan beliau dengan pengundi di Kuala Terengganu itu sendiri.

Mustafa mempunyai keluarga besar di Kuala Terengganu. Sudah pasti rangkaian itu boleh dimaafkan untuk kemenangan Pas. Menurut satu maklumat beliau juga ada mempunyai pertalian persaudaraan dengan Allahyarham Razali Ismail, ahli Parlimen sebelum ini.

Sepekara lagi perlu disedar bahawa suasana pilihan raya kecil berbeza dengan pilihan raya umum. Pilihan raya kecil biasanya akan mendapat fokus semua orang. Justeru hal-hal yang tidak sepatutnya diambil kira termasuk isu peribadi turut akan diperkatakan. Keadaan ini sudah tentu isu orang luar dan orang dalam akan menjadi bahan kempen.

Berbeza dengan pilihan raya umum. Tidak semua aspek akan diperhati dan dihalusi menyebabkan hal-hal yang personal tidak sempat diperkatakan. Memang dalam pilihan umum yang terbuka Mohamad Sabu calon terbaik apa lagi beliau pernah menang di luar negerinya.

Seperti mana dikemukakan dalam posting sebelum ini kekuatan atau penentu kemenangan Pas dalam pilihan raya nanti ialah sejauh mana pilihan raya itu mendapat sokongan dan dokongan semua pihak baik dari kalangan Pas sendiri maupun daripada rakan dalam Pakatan Rakyat.

Sekiranya Mustafa Ali bertanding dan Anwar Ibrahim ikhlas membantu, saya rasa peluang Pas memenanginya lebih 60 peratus. Dan jika ini berlaku juga - Mustafa Ali bertanding dan Anwar membantunya akan selesai sedikit masalah yang timbul di kalangan mereka. Pilihan raya itu boleh dijadikan wadah mengeratkan semula ikatan Pas dengan PKR.

Paling penting ia juga pilihan raya itu menginsafkan Mustafa dan kalau ditakdirkan menang maka bolehlah Mustafa bergerak untuk meneruskan semula projek 16 September yang terbangkalai itu. [d' kota kl 3:15 pm 03/12/08]

3 comments:

painah said...

SAlam ustaz,
bagi saya yg bukan ahli PAS ni rasa kedua dua calon ni memang cukup berpengalaman dan mempunyai kelebihan tersendiri tetapi lagi elok kalu calon lain dipilih.

MA masih dilihat sebagai seorang yg amat sinis dengan 16 sept dan tentunya ada para penyokong PR masih mendendami beliau akan kelancangan kata2nya dulu. Dan lagi usia beliau dah agak lanjut juga (belum citer pasal kesihatan beliau)

MS pula ada calon yg tewas disini pada pru yg lalu, jadi memang nampak MS ditolak oleh pengundi KT sendiri, malahan ada yg melihat MS ni lebih kpd pelawak dlm PAS.

Ada baiknya calon lain yg lebih wibawa dari mereka dengan kata lain calon yg boleh menang bukan sekadar nampak macam buleh menang tapi sebenarnya melingkup.

Masih ramai lagi org muda yg berkebolehan dalam PAS, jangan sia siakan mereka

Anonymous said...

Terima kasih ekrana memberi satu pandangan bernas dan kehadapan.
Perlu diingat PAS hanya satu2nya parti paling liberal dalam sejarah pilihanraya.
Dato Hishamudin sendiri menjadi MP kerana PAS memberi peluang kepadanya untuk bertanding di KUala Terengganu WALAUPUN selepas itu ADUN Parti Negara buat perangai sama macam perangai mereka dalam Semangat 46 dulu.
Oleh itu tak payahlah HIshamudin nak datang ke K Terengganu kerana beliau perlu sedar datuknya dulu sendiri berterima kasih kepada PAS kerana berpeluang bertanding dan menang di Kuala Terengganu kerana bantuan dan sikap murah hati PAS pada tahun 1959.
Oleh itu dalam soal PAS mahu memelih calon, adil jika saya katakan, PAS Terengganu mempunyai ramai pemimpin yang sehandal MP Pas yang kini berada di Parlimen.
Hormatilah dan beri keyakinan kepada pejuang PAS Terengganu sendiri supaya mereka ini dapat bercakap dengan suara yang lebi lantang demi masa depan rakyat Terengganu sendiri.

saxo69 said...

Sejak bila Ibrahim Ali jadi jurucakap BN-UMNO(merujuk kepada kenyataan beliau dalam Berita Harian hari ini). Beliau yakin BN-UMNO akan mempertahankan kerusi KT dalam PRK ini.

Tidak terlambat untuk saya mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Datok Razali Ismail. Saya selalu mengikuti siaran langsung Sidang Parlimen.

Saya akui amat terpesona apabila Allahyarham menjawab soalan2 yang dikemukakan dalam sidang berkait dengan Kementerian yang diwakilinya. Tutur kata, intonasi suara dan bahasa yang digunakan beliau amat sopan dan memikat hati, seperti menunjukkan beliau ini pakar bahasa. Allahyarham juga bukan pemimpin UMNO yang kontroversi seperti majoriti besar pemimpin2 UMNO. Sekali fikir, beliau seperti tersalah masuk parti.