Henti Momokkan Hukum Hudud - Abdul Aziz
(kemaskini) PAGI tadi saya berkesempatan berjumpa dengan Pensyarah Kuliyyah Undang-undang UIA, Prof Abdul Aziz Bari (foto) di pejabatnya di UIA Gombak. Sudah lama saya ingin berjumpa dan bertukar fikiran dengan Profesor ini yang juga pakar mengenai perlembagaan negara. Mungkin kerana kesibukan masing-masing menyebabkan niat itu tidak menjadi kenyataan hinggalah pagi ini baru kami berkesempatan bertemu.
Hari ini sejarah bagi saya kerana berjumpa dengan beliau. Perjumpaan itu tentulah bertolak daripada wacana Tranformasi Politik Malaysia di Kota Bharu minggu lepas di mana beliau salah seorang panelis bersama Khairy Jamaluddin dan Husam Musa. Saya turut sama hadir untuk mengikuti wacana yang dianggap penting dalam proses membangunkan politik bangsa itu.
Ada beberapa perkara yang saya inginkan penjelasan daripada beliau berkenaan wacana itu. Dalam pengamatan saya ada semacam sesuatu yang tidak memuaskan hatinya. Ada perkara yang tidak sampai atau sempat dilontarkan menerusi wacana itu.
Alhamdulilah, walaupun hari ini hari cuti umum namun profesor berkenaan sedia untuk ke pejabatnya. Khabarnya beliau selalu berada di pejabat tanpa mengira hari termasuk hari cuti umum!
Berbaloi, hampir tiga jam bersembang mencakupi pelbagai topi politik semasa dengan beliau khasnya mengenai hukum hudud yang kini sudah menerawang semula di persada maya dan menjadi polemik menarik antara orang politik. InsyaAllah interviu penuh dengan beliau akan disiarkan dalam Siasah minggu hadapan.
Rumusan mengenai pertemuan tadi, Abdul Aziz minta agak hudud jangan lagi dimomokkan sebagai satu sistem yang kejam dan zalim. Menurutnya masyarakat juga sudah faham mengenai hudud dan hukum hudud ini bukan perkara baru bahlah telah lama diperkatakan.
Dalam hal ini katanya Pas harus berhenti daripada memperkatakan hudud dalam konktes politik dan ia juga perlu dibincang secara terbuka dan lebih rasional lagi mengatasi kerangka politik partisan itu sendiri.
“Hudud bukan hak Pas tetapi hak semua individu yang yakin kepadanya. Jadi janganlah tempelkan hudud itu kepada Pas saja, umpamanya mengatakan hudud ini undang-undang rekaan Pas dan sebagainya,” begitulah tegas Abdul Aziz.
Dalam pada itu perbincangan mengenai hudud perlu dibuat dalam satu flatform khas yang khusus dan spesifik. Ia juga bukan seharusnya dibincang oleh Pas tetapi harus melibat golongan profesional lain, kumpulan agama, golongan akademi atau NGO yang memperjuang Islam seperti Peguam Muslim atau sebagainya.
Dalam pada itu menurut Abdul Aziz, Pas janganlah sesekali menjadikan hukum hudud untuk mengejek dan mengutuk Umno kerana sebagai tabii Umno akan membalas dan mempertahankan dirinya kalau ianya diejek.
"Bila keadaan ini berlaku maka terjadilah polemik tidak berkesudahan antara kedua puak yang tidak mengutungkan Islam," tukasnya.
Secara jujur Abdul Aziz merasakan Pas tidak mampu untuk melaksanakan hudud secara bersendirian kerana ia memerlukan banyak perkara yang perlu dilengkapkan. Misalnya prasarana untuk melaksanakannya masih belum wujud seluruhnya. Justeru menurutnya kalau pun Pas ada kuasa ia tidak semestinya Pas mampu melaksanakannya.
"Pas hanya boleh berkata ia ingin melaksakananya tetapi pelaksananya siapa?" tanya beliau. "Pelaksanaan hukum hudud bukan semudah diucapkan. Perkara paling penting mempersiapkan segala prasarananya terlebih dahulu baru boleh dilaksanakan," tambahnya lagi.
Menarik... itulah yang dapat saya simpulkan mengenai pandangan yang dilontarkan oleh Abdul Aziz mengenai hudud ini. Apa yang penting beliau tidak mahu hudud dijadikan alat atau pun diperkatakan dalam kerangka politik kerana ia akan menjadi polimek yang tidak menguntungkan mana-mana pihak. [wm.kl 6:00 pm 27/12/08]
1 comment:
Hudud bukanlah isu politik. Ia merupakan hukum yang telah ditetapkan oleh Allah SWT untuk umat Islam melaksanakannya. Walaupun saya menyokong UMNO namun saya tak pernah menolak hukum Hudud malah saya sangat bersetuju jika ia dilaksanakan. Berdosa jika saya menolak hukum ini. Walau bagaimanapun, seperti kata tokoh di atas, perlaksanaan hukum ini memerlukan persediaan yang betul-betul. Bukan seperti mudahnya kita bercakap tentang Hudud.. Apa yang saya tak setuju adalah tindakan PAS yang mempolitikkan hukum Hudud sehingga ia dilihat sebagai hukum PAS... Masya Allah...
Post a Comment