Apabila berlakunya tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, Ulu Kelang kelmarin yang meragut empat nyawa setakat ini dan kemusnahan jutaan ringgit harta benda, kita jadi seperti baru tersedar dari tidur yang lena.
Selepas semuanya menjadi puing-puing barulah kita gopah gapah mahu kembali kepada realiti dan hakikat dan ingin membuat persediaan atau baru menyesal sedangkan kemusanahan dan maut sudah pun meragut jiwa manusia.
Lalu kita pun bercakap dan bercakaplah, bertutur dan bertuturlah begitu dan begini. Resolusi pun dicari untuk mengatasinya. Semua pihak dan individu turut bercakap dan memberi pandangan penyelesaian dari orang biasa sampailah kepada Perdana Menteri. Semuanya seperti bersedia ingin perbetulkan keadaan.
Lagak itu sepertilah seeorang budak kecil mahu menyusun kaca yang sudah pecah dan hancur. Seharusnya dia berhati-hati dan mengambil sikap menjaga sekeping cermin berharga itu disimpan ditempat paling selamat agar menjamin ianya tidak robek.
Selalunya juga bila berlaku tragedi malang seperti itu maka kita pun saling tunding menunding anara satu sama lain. Dalam hal ini pihak berkuasalah dijadikan mangsa walhal sebelum ini amaran dan nasihat sudah pun diberikan. Peringatan demi peringatan sudah dikeluarkan. Sudah berbueh mulut pakar bumi dan alam sekitar memperihalkan keadaan dan kemungkinan-kemungkinan yang boleh terjadi. Tetapi kerana manusia ini sering diamuk amarah, ingin melebih dan lagak tinggi, tamak dan tidak pernah bersyukur dengan nikmat Tuhan, maka berlaku apa yang selalu berlaku itu.
Sebenarnya tidak ada siapa yang bersalah atau tidak bersalah dalam hal ini, termasuk apa yang berlaku di Bukit Antarabangsa itu. Semua manusia harus bertanggungjawab dan menerima akibatnya. Setiap dari kita kena siap memikul risikonya. Tuhan membina alam maya ini dengan cantik, indah dan unik untuk kegunaan manusia. Yang mengkhianati dan memusanahkan adalah manusia sendiri. Kita!
Tuhan tidak pernah mungkir dan tidak akan mungkir! Tuhan akan memenuhi apa yang manusia kehendaki! Tidak kira baik atau buruk. Di sinilah sifat Allah, Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Tegasnya yang memusnahkan dunia ialah manusia sendiri, manusia yang tidak insaf, termasuk apa yang berlaku di Bukit Antarabangsa itu.
Kita perhatikan apa yang sudah, sedang dilakukan dan apa yang ada dalam kepala kita! Kita sedang merancangkan sesuatu yang bersalahan dengan fitrah alam dan fitrah kehidupan kita sendiri. Renung dan masuklah ke dalam diri, jawabnya sudah lama ada terdampar di sanubari kita. Kadang-kadang kita berbohong kepada diri sendiri atau buat-buat lupa dan jadi tersedar apabila malapetaka sudah berlaku.
Peringatan Allah dalam surat Ar Ruum, ayat 41 menjelaskan segalanya dan kita tidak perlu menyesal sebaliknya kita perlu insaf.
"Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan karena perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagiaan dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).- Surah Ar Ruum: 41
Begitulah peringatan Allah. Jadi kita tidak perlu menyesal dan menyalahkan kepada sesiapapun melainkan diri kita sendiri. Berjanji dan bertaubatlah tidak mengkhianti perintah Tuhan lagi.
Cuma untuk menenangkan perasaan, menghindari akan berulangnya tragedi yang sama, kita perlu mengambil kejadian itu sebagai hikmah. Ada rahsia dan maksud Tuhan disebalik kejadian itu. Tidak sia-sia Tuhan mentadkirkan sesuatu baik yang menggembira dan mengazabkan. Dan jika kita mengguna mafaatnya kita akan selamat dan akan ditambah rahmat.
Hikmahnya, kita perlu jadikan iktibar, panduan dan sempadan dalam kehidupan. Tujuannya bagi mengelakkan kemusnahan yang lebih teruk lagi. Dan apa yang berlaku itu kita jangan kufur dan menyalahkan Tuhan kerana Dia sudah tegaskan;
"Lalu orang-orang yang zalim mengganti perintah dengan (mengerjakan) yang tidak diperintahkan kepada mereka. Sebab itu, Kami timpakan atas orang-orang yang zalim itu siksa dari langit, karena mereka berbuat fasik." - Surah Al Baqarah: 59.
Ditegaskan lagi dalam surah Asy-Syura: 30; "Dan apa saja musibah yang menimpa kamu maka adalah disebabkan oleh tanganmu sendiri."
Jadi berhubung dengan tragedi di Bukit Antarabangsa itu dan kejadian seumpama dengannya, tidak payahlah kita menepuk dada dan bertanyakan selera lagi, tetapi kita kena sama-sama mengakui bahawa kita telah bersalah. Takziah dan didoakan semoga diberikan Allah kekuatan iman kepada semua yang terlibat dengan tragedi itu! [wm.kl. 9:30 am 07/12/08]
1 comment:
kita masih lagi tak mengambil dari iktibar dari perkara yang lepas.
dulu dah diberitahu yang pembinaan rumah dilereng bukit tidak dibenarkan tapi sudah terbukti amaran itu "masuk telinga kanan keluar telinga kiri".
kenapa ini terjadi?mungkinkah kerana ketamakan kontraktor?mungkinkah kerana pemilik rumah itu sendiri yang mahu rumah didirikan di lereng bukit?.
harap selepas ni amaran tegas yang diberikan tidak diendahkan begitu sahaja.ambil iktibar.belajar dari kesilapan.jangan semata-mata kerana ingin menunjukkan kemewahan sampai menggadaikan harta dan nyawa sendiri serta orang lain.
Post a Comment