Reaksi Kisah Talib Che Din
Kerajaan Perak Belum Bertindak?
POSTING mengenai nasib malang yang dihadapi oleh warga emas Talib Che Din bersama seorang anak dan seorang cucu baru-baru mendapat komentar dan pandangan dari berbagai pihak. Ada yang simpati dan ada yang menganggap kesengsaraan begitu tidak perlu didedahkan. Ada yang berpendapat sengsara sebenarnya subjektif, di mana ada orang yang sengaja mahu hidup susah seperti mana nasib Talib yang digambarkan itu.
Tidak terkecuali ada komentar dari dari Pulau Pangkor yang mempertikaikan apa yang dilaporkan itu. Menurutnya maklumat yang dipaparkan itu tidak betul atau kurang tepat?
Misalnya kampung Talib itu bukan Sungai Kecil tetapi Sungai Besar. Begitu juga sudah acap kali berbagai pihak datang membantu Talib termasuk Wakil Rakyat dan Jawatan Kuasa Kemajuan Kampung (JKKK) namun beliau sendiri tidak mahu berubah.
Dalam banyak-banyak tulisan balas (penjelasan) itu ialah datang daripada pihak orang Adun Pangkor, Dr Zambry Abdul Kadir yang disebutkan nama dalam posting itu.
Ceritanya seperti mana yang saya lepaskan dalam komentar di bawa posting itu, Zambry telah pun membantu Talib beberapa kali termasuk menghantarkan anaknya yang cacat ke sekolah. Malangnya Talib dan anaknya seakan tidak menghargai pertolongan itu.
Saya akui saya tidak mengetahui apa yang berlaku di sebalik gambaran yang saya lihat itu. Saya hanya dua hari di Pangkor dan disuakan dengan nasib insan seperti itu. Ianya sungguh menyentuh hati pabila melihat keadaan rumahnya yang seperti reban ayam dan menunggu masa saja untuk roboh. Dijelaskan di sini tujuan saya paparkan itu ialah agar Talib bersama anak dan cucunya itu dibantu. Ya... kalau batuan sudah diberikan, syukurlah!
Memang ada didunia ini manusia yang tidak tahu berterima kasih atas apa yang diberikan kepadanya. Bantuan tdiak diterima seadanya atau dalam erti kata lain tidak bersyukur. Ada juga yang menyalahgunakan bantuan yang dihulurkan. Namun itu bukan alasan untuk kita tidak terus mengajarnya supaya menerima dan bersyukur dengan bantuan atau nikmat Allah.
Saya rasa pendedahan apa yang saya lihat itu adil dan saksama. Tidak ada niat untuk memburuk ataupun memberi gambaran Zambry Kadir tidak membantu rakyatnya. Terima kasih kepada orang-orang Zambry dan sesiapa saja yang membantu Talib di Pulau Pangkor itu. Juga terima kasih kepada mereka yang memberi maklumat tambahan mengenai kehidupan dan balada keluarga malang itu.
Cuma kalau Zambry atau sesiapa sudah membantunya, maka kali ini adalah kerajaan baru Perak pula perlu mengambil giliran untuk berbuat demikian. Bukan saja membatu Talib, tetapi membantu rakyat Perak yang malang seperti Talib itu. Apa yang diharapkan slogan kerajaan Pakatan Rakyat, kerajaan berkebajikan benar-benar terlaksana dan dipraktiskan. Kita bimbang kalau tidak terlaksana nanti kerajaan Perak dianggap hanya pandai bersiul dan berkokok saja.
Sehingga kini sejak kisah Talib didedahkan saya belum menerima apa-apa reaksi daripada kerajaan Perak ataupun agennya di Pulau Pangkor!
Terlanjur kerana saya sudah menguar-uarkan mengenai Jeti Awam yang menjadi projek Gajah Putih di Pangkor saya pohon maklumat dari sesiapa saja yang mengetahui ksiah sebenar kenapa jeti itu tidak digunakan walaupun sudah dua tahun ianya siap dibina. Elok sebelum saya melaporkan 'langsung' di sini kalau ada maklumat tambahan mengenainya bolehlah dikongsi bersama. [wm.kl 1: 15 am 31/12/08]
1 comment:
Saudara MSO,
1. Saya ingin tegaskan sekali lagi di sini bahawa kes Talib ini bukanlah satu kes malang dan saya tidak berasa sedih jika Kerajaan Perak hanya mampu melakukan sikit sahaja. Saya dapat maklumat terbaru daripada orang kampung bahawa sebulan sebelum kempen pilihanraya 12 bermula Talib telah mengeluarkan simpanan KWSPnya dan membawa keluarga makan angin! Oh, maafkan saya kerana dia memang berhak bawa keluarga makan angin. Tapi saya yang ada 6 orang anak bersekolah/di ipta tak dapat bawa keluarga bercuti lebih sepuluh tahun dan tidak mempunyai rumah pun, sekadar menyewa asal dapat tempat teduh yang selesa. Tapi tidak perlu meraih simpati MB atau ADUN dengan lakonan yang kita ini papa kedana dan putus usaha. Sudah ada duit, tapi tangga rumah pun minta Dr Zambry gantikan!
Saudara, Talib keluarga songsang, individu yang hendak menolong pun rasa serba salah. Tidak manis saya jelaskan di sini kerana melibatkan maruah. Sebab itu saya ada mengirim email kepada saudara supaya menghubungi saudara Setiausaha JKKKP yang secara peribadi turut cuba dan sedang menyelesaikan masalah Talib ini, untuk mengetahui lebih terperinci tentang kes ini.
Saya sedih kerana saudara terbitkan cerita Talib ini dalam Siasah nada sama seperti blog ini. Kalau dengan itu boleh buat orang marah/benci kepada pihak-pihak yang "terlibat" tidakkah saudara rasa bersalah?
2. Tentang jeti Jabatan Laut SPK, tidak tahu permainan pihak mana. Ianya dibuat tidak mengikut speks ataupun tidak menepati syarat kelulusan maritim(?) kerana beberapa sentimeter lebih rendah daripada piawai. Kerana itu sahaja. Lokasi tak masalah, pembinaan sempurna. Adakah kerana tidak cukup speks ia memberi risiko keselamatan lalu tidak boleh digunakan? Sedangkan jeti sementara yang sedang digunakan jauh lebih berisiko keselamatan. Mengapa masalah salah speks hanya timbul setelah jeti itu siap dan sedia untuk digunakan sedangkan tidak timbul semasa peringkat pelan, pembinaan dan pemeriksaan jurutera? Ini pelik dan saya pun ingin tahu.
Jeti itu gagal digunakan sebagai jeti awam bagi pengangkutan penumpang feri tetapi ia tidak dibiarkan sebagai pembaziran. Dengarnya ada perjanjian persefahaman di peringkat kementerian yang mana jeti tersebut akan diserahkan kepada LKIM/Persatuan Nelayan supaya dijadikan pangkalan dan kompleks perikanan moden bagi menggantikan kompleks sedia ada yang diurustadbir oleh Persatuan Nelayan Kawasan Pangkor.
Tapi maklumat ini bukanlah definitif daripada saya. Saya sendiri hanya terdengar-dengar sahaja.
Post a Comment