Peluang BN dan Pas Tipis
Kalau Tidak Calonkan Wan Farid dan Mustafa
KHABARNYA BN akan mengumumkan calon mereka di pilihan raya kecil Kuala Terengganu pada Sabtu depan. Pas pula akan mengumumkan calonnya selepas itu. Dalam konteks ini BN lebih berani daripada Pas. BN dakwa mereka sudah pun ada calonnya, sudah sampai ke peringkat akhir. Nama itu berada dalam genggaman Mohd Najib Razak yang akan membuat pengumuman.
Beberapa nama disebut akan diletakkan oleh Umno. Nama-nama itu sudah pun dikenal pasti dan dikaji potensi kemenangannnya. Dari beberapa nama itu nama Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Wan Farid Wan Salleh adalah terkedepan.
Untuk beberapa jam atau hari sebelum ini nama Wan Farid kekal sebagai calon yang sudah pasti akan diletakkan. Bagaimana perkembangan terbaru yang berlaku pada diri Timbalan Menteri Dalam Negeri itu dimana beliau telah dilantik semula sebagai Senator oleh DUN Terengganu menyebabkan ‘kepercayaan’ Wan Farid menjadi calon sedikit tergugah.
Timbulah nama bekas Ketua Puteri Umno Terengganu, Nordiana Shafei. Kebetulan juga tempoh perlantikannya sebagai Senator tidak dilanjutkan untuk penggal kedua dan ini menguatkan lagi Nordiana akan dicalonkan. Kedudukan beliau sebagai bekas Ketua Puteri juga diambil kira boleh menarik simpati pengundi wanita.
Perkembangan diri Wan Farid ini menarik? Sekiranya Wan Farid tidak mahu bersusah payah untuk mengekalkan kedudukan sebagai Timbalan Menteri beliau menerima sahaja perlantikan sebagai Senator untuk penggal kedua itu tanpa menyertai pilihan raya.
Sebaliknya yang mungkin memberi sedikit kesukaran kepada Umno untuk mendapat calon yang setanding dengan Wan Farid. Dalam soal ini Umno terdesak untuk menang pada pilihan raya kecil itu. Pilihan raya itu akan menjadi indikator pertama untuk masa depan kedua parti itu selepas selesai pilihan raya umum ke 12 lalu.
Walaupun sudah berlaku piliihan raya kecil Permatang Pauh, Ogos lalu tetapi itu bukan boleh dijadikan penanda aras yang baik kerana di situ adalah kubu Penasihat PKR, Anwar Ibrahim. Pilihan raya tempoh hari tidak adil dari segi pengaruh cuma kelebihan kepada BN ialah kerana ia berlangsung secara terasing bukan dalam pilihan raya umum di mana advantagenya banyak kepada BN.
Sebaliknya pilihan raya kecil Kuala Terengganu ini ada signifikennya tersendiri. Kalah menang akan memberi kesan kepada kedua parti berkenaan. Bagi Pas setidak-tidaknya kalau kalah ia memberi bekas Pas yang akan merasa malu dengan pencapaian cemerlang PKR di Permatang Pauh tempoh hari. Dalam hal ini Pas kena kaji setiap sudut untuk memastikan kemenangan.
Kepada Umno pula kalau kalah ia menunjukkan pengaruh dan keyakinan rakyat Terengganu kepada Umno semakin bermasalah. Kekalahan akan mengesahkan gelora dalam Umno Terengganu yang ini dibahagikan kepada dua kabilah, bekas MB, Idris Jusoh dengan MB kimi, Ahmad Said semakin nyata. Lantaran itu pemerhati melihat pilihan raya kecil itu juga sebagai bayangan kepada pertandingan dua puak di Terengganu.
Selain itu ia memberi kesan tersendiri pula kepada Najib Razak yang akan mengambil alih kuasa dalam parti itu pada Mac depan. Kesimpulan boleh dibuat sekiranya BN kalah ia menunjukkan peralihan kuasa yang dirancang itu menggambarkan tidak mendapat restui rakyat.
Justeru itu Umno kena letakkan calon yang dikira mempunyai peratus kemenangan tinggi. Dalam hal ini Wan Farid memiliki kelebihan itu berbanding dengan Nordiana Shefei atau seorang lagi nama iaitu timbalannya, Sabri Alwi ataupun ketua Peneranganya, Zumber Embong.
Pada hemat saya sekiranya BN tidak memilih Wan Farid parti itu kemungkinan besar tidak mudah untuk mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu. Selain Wan Farid adalah Timbalan Menteri beliau juga ada beberapa keistimewaan lain yang tidak ada kepada lain-lain calon.
Berbalik kepada Pas pula semakin hampir dengan pengumuman calon, nama Naib Presiden Pas Mohamad Sabu makin terpinggir. Seperti dikatakan sebelum ini petunjuk dari blog tidak menggambarkan petunjuk dari Kuala Terengganu dan dipedulikan oleh Pas Terengganu. Masalah orang luar orang dalam terus menjadi isu dan mengenepikan nama Mohamad Sabu.
Kempen awal dilakukan Dewan Pemuda Pas Terengganu yang mahukan calon dari Terengganu naMpaknya diterima dan sekaligus melenyapkan seruan Mursyidul Am Pas yang berminat kepada Mohamad Sabu. Rasanya perkembangan ini tidak perlu difikir oleh Pas, sebab bagi Pas sesiapa saja yang diletakkan menjadi calon ia disokong.
Tinggal dua nama kini, Dr Khazani Abdullah dengan Mustafa Ali. Inilah dua nama yang sedang dipertimbangkan oleh Pas Terengganu. Perhatian sekarang ini kepada dua nama ini sahaja. Bagi spy Umno kalau mereka mahukan laporan kekuatan calon bolehlah buat kajian dan penyelidikan ke atas kedua nama ini saja.
Dalam pemerhatian saya Mustafa Ali masih mempunyai kelebihan kerana kedudukannya sebagai Pesuruhjaya Pas Terengganu. Dari risikan beliau tidak ada menghadapi apa-apa masalah di Kuala Terengganu kecuali dengan seorang individu yang sedang mencari populariti dan menatahkan diri untuk menjadi pemimpin di situ. Setakat ini tidak ada apa-apa protes daripada mana-mana pihak Pas Kuala Terengganu.
Semua Dewan Pemuda, Ulama, Muslimat tidak kedengaran menimbulkan apa-apa isu di sekitar diri Mustafa. Walaupun Mustafa tidak popular di luar Terengganu ekoran beberapa tindak tanduk dan kenyataan politiknya yang songsang dalam beberapa perkara, namun tokoh veteran itu masih dihormati di Terengganu. Suasana ini cukup baik kerana selalunya dalam pilihan raya kecil tumpuan kepada isu setempat menjadi utama.
Apapun sekiranya Mustafa mahu membenarkan pengakuannya untuk berundur dari arina politik – menyertai pilihan raya sudah pasti Dr Khazani akan menerima tanggungjawab untuk menjadi calon. Sebelum ini Mustafa pernah menyebut bahawa pernyertaan beliau dalam pilihan raya lalu adalah yang terakhir. Namun sekiranya parti meletakkan tanggungjawab itu kepadanya, apakah beliau sanggup menolaknya? Kalau beliau sanggup ini bermakna Dr Khazani Abdullah akan turun membawa harapan baru kepada Pas Terengganu dan Pakatan Rakyat seluruhnya.
Dari segi semangat orang muda dan politik kontemporari Khazani adalah pilihan terbaik berbanding dengan Mustafa Ali dari segi body tetapi bukan dari segi pesejarahan politik Terengganu yang mana dalam bab ini kelebihannya kepada Mustafa Ali! [wm.kl 5:45 pm 16/12/08]
2 comments:
analisis yang amat tepat pilihanraya kecil ini akan menyaksi suatu pertandingan yang amat senget antara BN dan PR.
peluang pas akan cerah jika boleh menawan hati pengundi cina.umno sudah lukai hati masyarakat tionghua, sekarang adalah peluang untuk menawan hati dan minda cina. jadi jangan lepaskan peluang ini.
Post a Comment