Thursday, December 25, 2008

Bingkas Hudud

Hudud: Pas Tidak Boleh Gadai Hukum Allah
Dengan Kepentingan Politik Kawan

SEPERTI yang telah diduga dan sering berlaku hudud telah menjadi isu. Media kroni sudah palu canang, gong dan gendang menjual hudud menjelang pilihan kecil Kuala Terengganu 17 Januari depan. Jaminan Husam Musa di Wancana Tranformasi Politik Malaysia dieksploitasikan sepenuhnya.

Melihat cara Umno memainkan isu itu menunjukkan parti itu kekeringan isu untuk ditaburkan di Kuala Terengganu. Apakah ini menunjukkan tanda-tanda awal kerusi Kuala Terengganu akan melayang ke tangan Pas? Pas sendiri masih belum membuat persiapan untuk berhadapan dengan pilihan raya itu, sehinggakan nama calonnya pun belum diumumkan, tetapi Umno sudah mabuk memikirkannya.

Isu hudud yang timbul untuk kali ke seribu ini, bukan salah Husam Musa sebenarnya, tetapi ia salah DAP. DAPlah yang perlu dipertanggungjawab dan dipersalahkan dengan bangkit semula isu hudud ini. Jika DAP tidak gatal mulut isu hudud tidak akan menjadi selantang hari ini.

Semuanya bermula apabila DAP memberi reaksi segera atas jaminan Husam kepada Khairy Jamaluddin pada malam itu. Tanpa merujuk kepada Husam sendiri dan kepada suasana dan semangat Husam bercakap mengenai hudud DAP terus pertikaikan Husam. Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan pengerusinya, Karpal Singh terus bangkit mengecam hudud. Apa salah hudud?

Guan Eng atau Karpal Singh tidak sepatut melenting bila Husam memberi jaminan itu. Mereka harus faham dalam konteks apa Husam berkata mengenai hukum hudud itu. Husam tidak berkata di luar Kelantan tetapi di dalam negerinya sendiri. Karpal dan Guan Eng sepatutnya arif dan faham mengenai rencah dan sosio-politik Kelantan yang unik itu.

Lainlah kalau Husam memberi jaminan kerana diasak Khairy itu di luar Kelantan, misalnya di Pulau Pinang, Kuala Lumpur atau Ipoh. DAP boleh pertikaikan kerana ia boleh menimbulkan masalah kepada parti itu. Tetapi ini di Kelantan.

Seperkara yang DAP perlu tahu perjuangan Pas berbeza dengan perjuangan DAP. Pas berjuang untuk mendapat keredaan Allah yang memikul tanggungjawab kepada rakyat menceritakan soal dosa dan pahala. Menegak kebenaran dan menentang kemungkaran. Pas tidak boleh mengikut rentak DAP bermainan dengan politik chauvenismenya yang menerima kaedah matlamat menghalalkan cara. Pas yakin bahawa selepas kematian segala perjuangannya akan dihitung dan dihisab oleh Allah. Ini jelas.

Apalah salahnya kalau Husam memberi jaminan itu? Hudud bukan perkara baru tetapi ia menjadi agenda dan maksud perjuangan Pas itu sendiri. Bukan saja hudud tetapai apa saja yang diperintah Allah dan Rasulnya itulah yang akan diperjuangkan Pas. Pas tidak akan meninggalkan perintah Allah kerana ingin memenuhi harapan politik DAP. Bagi peribadi Husam sendiri sebagai seorang 'khalifah' beliau akan berdosa kalau tidak mengatakan jaminan itu.

Perlembagaan Pas menjelaskan maksud dan tujuan penubuhnanya. Hudud itu sebahagian daripada juzuk perjuangan Pas. Hudud akan terus diperkatakan selagi ianya tidak ditanggalkan dari perlembagaan Pas yang termaktub di bawah Fasal 5: (i) Mengenai penubuhan Pas yang berbunyi; memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintah terlaksana di dalamnya nilai-nilai Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah.

Pada saya ketakutan Karpal Singh dan Guang Eng atau sesiapa saja kepada hudud tidak berasas. Kalau orang Islam yang menolak hudud, betapa teruknya keimanan seseorang muslim itu. Maaf bukan muslim lagi kalau tolak hudud! Tahulah sendiri apa hukumnya kalau kita menolak hukum Allah.

Bukan Islam juga tidak perlu takut kepada hudud? Kenapa kita harus jadi bodoh dan prejudis melulu dengan hudud. Perspektif penjenayah dihukum di bawah hukum hudud akan potong tangan, direjam dengan batu tidak betul sebenarnya. Gambaran yang pernah diberikan oleh pemimpin Umno mengenai hudud tidak benar dan berniat jahat. Gambaran itu terbit dari mereka yang jahil dan bencikan Islam.

Dalam sejarah perundangan Islam hudud tidak pernah bertindak sekejam itu. Dan bagi orang yang percaya kepada keadilan Allah, tidak akan mudah beranggapan demikian kerana hukuman Allah maha adil.

Yang menghairankan saya kenapakah orang yang telah mengatakan dia mengambil model pemerintah khalifah Umur Ibnu Aziz tetapi masih tidak faham mengenai hudud dan tetap meragui hudud? Kalau begitu nampak sangat orang yang mengucap dan mengatakan itu hanya untuk tujuan politik semata-mata dan bukan dari bilik hati sebenar.

Saya menyarankan kepada Guan Eng jangan membaca kisah Umur Ibnu Aziz dari konteks baginda membuat kebajikan saja, tetapi bagaimana Umu Ibnu Aziz (kerajaanya) menghukum penjenayah di zamannya. Kalau hendak membaca sirah Islam jangan diambil sebahagian tetapi bacalah keseluruhannya. Apa yang menjadi masalah Pas dengan Umno ialah kerana Umno membaca dan mengamalkan sebahagian dari Kitabullah dan membuang dan tidak yakin kepada sebahagian yang lain.

Orang Islam dan Melayu jangan mudah terkapur dengan mereka yang bijak bermadah demikian, yang menerima Umur Ibnu Aziz tetapi tidak menerima kewarakan Umur kepada Tuhannya. Jelas kata-kata itu tidak ikhlas dan ia hanya dijadikan tarikan politik sahaja.

Suka saya mencadangkan berhubung hudud dan masalah dengan DAP ini, Pas hendaklah membuat ketetapan khusus mengenai hudud dalam Pakatan Rakyat. Jelaskan yang Pas hanya akan melaksanakan hudud di negeri-negeri yang dimenangi saja dan tidak akan melaksanakan di negeri yang tidak dikuasainya.

Kalau perlu Pas perlu menegaskan hanya Kelantan, Terengganu dan Kedah saja akan melaksanakan hukum hudud. Manakala negeri-negeri lain jangan dimasukkan dalam tujuannya. Walaupun langkah itu tidak bertepatan dengan kehendak Allah s.w.t. yang mengarahkan agar berdakwah dan melaksanakan hukumnya ke atas seluruh muka bumi ini, namun sebagai maslahat politik mungkin ia boleh dilaksanakan atas sifat sementara.

Mungkin para ulama, Majlis Syura ulama dan Mursyidul Am Pas boleh memberi pandangan mengenai cadangan ini. [wm. kl 11:20 am 25/12/08]

6 comments:

affandi said...

Benar sekali dg pendapt saudara itu huhud hanyalah untuk manusia yang beragama islam dan tidak wajib ke atas manusia yg bukan islam(terpulanglah kepada mereka untuk memilihnya)..kepada saudara lim guan eng saudara tidak perlulah cepat melatah perihal hudud jika saudara sendiri tidak pasti apa itu hudud wlaupun saudara tahu cerita umar abdul aziz..dan yang pasti insya allah pas akan melaksanakn hudud di negeri yang di menanginya sahaja.dan kepada saudara husam bagi saya saudara perlu pertahankan apa yg telah saudara perkatakn spt didlam debat saudara itu..umno terus akan memainkan peranan sebagai ejen pecah dan belah agar pakatan rakyat tidak mendapat sambutan rakyat.

faizul hadi said...

bagus idea saudara, sememangnya hukum hudud wajar dilaksanakan. Tetapi mungkin kerana maslahat politik, maka wajarlah ia mula dipraktikkan di kelantan dahulu kerana sememangnya pengundi di sana umumnya menyokong hukum ini.

suparjo@blogspot.com said...

Sebenarnya kita kena tanyakan kepada yang anti hudud: Apakah salah dan bahayanya hudud kepada tamadun manusia? Ini lebih utama daripada debat nak buat atau tidak. DAP ini memang konon anti sangat apa yang ada istilah Islam. Dahulu sewaktu pelajaran Moral yang mengandungi nilai-nilai murni hendak diwajibkan kepada murid bukan Islam, mereka DAP kutuk dan dakwa nilai-nilai dalam pelajaran itu diambil daripada Islam. Lalu orang pendidikan libas soalan: Jadi apa masalahnya dan buruknya nilai murni itu sekalipun diambil daripada Islam. Sampai sekarang tidak ada satu manusia DAP dapat membantah lagi. Senyap dah, dan Pendidikan Moral terus berjalan.

kulatlapok said...

salam Tuan MOS:

Agak malang kalau seseorang yg mengaku Islam tetapi menentang hukum Islam... Adakah Islam hanya untuk nama sahaja?? Benarlah kata hadis daripada Ali b Abi Talib: Nabi pernah menyatakan: Sudah hampir sampai suatu masa dimana tidak tinggal Islam itu kecuali hanya namanya, dan tidak tinggal daripada Al_Quran itu kecuali hanya tulisannya, Masjid2 tersergam indah tetapi ia kosong dari hidayah. Ulama mereka adalah sejahat2 makhluk yg ada di bawah kolong langit, dari mereka puncanya fitnah dan kepada mereka fitnah itu akan kembali. Wallahu'alam.

Anonymous said...

Saya rasa takde siapapun orang Islam yang menentang hukum Hudud dan Qisas. Menolak hukum ini beerti menolak hukum Allah dan kita pun tahu apa akibatnya jika berbuat demikian. Saya setuju jika ianya dilaksanakan. Orang bukan Islam harus diberi penerangan terperinci mengenai hukum ini supaya mereka faham dan mengerti...

Tapi saya tak setuju dengan PAS sebab pendirian mereka tak kuat. Baru kena gertak dengan dengan DAP, mereka terus tukar kenyataan. Tiada ketegasan dalam matlamat perjuangan mereka sehingga menyebabkan hilang respek dari orang bukan Islam. Apakah mereka lebih takut kepada DAP daripada Allah SWT?

Anonymous said...

Sdra Samsudin,

Saya amat bersetuju dengan soalan sdra, 'Apakah mereka(PAS) lebih takut kepada DAP daripada Allah SWT'.

Sebenarnya bukan sdra. Samsudin sahaja yang membawa soalan ini. Malah sebilangan besar pencinta Islam bertanya soalan yang sama kepada PAS.

DAP amat selesa di dalam hubungannya dengan PAS. Kepada pengundi Cina, DAP boleh mendabik dada dengan mengatakan bahawa DAP bergabung dengan PAS di dalam PR berdasarkan 'term-term'nya. DAP tidak pernah kompromi pendirian politiknya walaupun bergabung dengan PAS dalam PR.

Sebaliknya PAS yang 'menggadai' matlamat suci perjuangannya, WALAUPUN UNTUK SEMENTARA, supaya bo0leh diterima oleh DAP.

PAS mungkin boleh mendapat sedikit kuasa BUAT SEMENTARA apabila bersedia 'menggadai' perjuangannya BUAT SEMENTARA. PAS tidak sedar bahawa tindakan SEMENTARAnya boleh menyebabkan kredibilitinya dipertikaikan oleh para penyokongnya BUAT SELAMANYA.