MALAM esok Dewan Besar Balai Islam Lundang, Kota Bharu akan menjadi tumpuan para peminat politik di sekitar Kota Bharu. Malam besok akan berlangsungnya wacana alias debat politik yang membawa tajuk Transpformasi Politik Malaysia. Tajuk itu mungkin tidak penting, namun kesediaan dua ahli panelnya untuk hadir yang menjadi perhatian dan daya tarikan.
Dua dari tiga ahli panel forum itu yang dimaksudkan ialah Naib Presiden Pas, Husam Musa, 49 dan Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin, 34.
Keduanya berjawatan naib, satu naib presiden, sata lagi naib ketua. Kebetulan juga keduanya dalam proses untuk memperbaiki kedudukan dan pengaruh dalam parti masing-masing. Khairy dalam persiapan untuk menobatkan diri menjadi Ketua Pemuda, manakala Husam dalam persiapan untuk melonjak ke atas kalau tidak presiden atau timbalan presiden Pas setahun akan datang.
Inilah pertama kali keduanya duduk atas satu pentas dalam wacana politik. Keduanya adalah tokoh popular dan kontroversi dari sudut berlainan! Ironisnya mereka juga pernah 'bergaduh' dan saling bercakar mulut sebelum ini. Bahkan Husam pernah disaman Khairy dan kes itu masih belum selesai ekoran dakwaan Husam mengenai syarikat ECM Lebra.
Apabila mereka menyatakan kesediaan untuk duduk sepentas ia memberi gambaran yang baik dan penada positif yang secara tidak langsung menggambarkan sikap profesionalisme mereka. Satu sikap dan pemahaman politik yang jilah dan konstruktif. Sikap dan pemandangan beginilah yang kita mahu menjadi amalan para ahli politik kita; sedia berdebat, bertukar pandangan dan memgemukakan idea untuk masa depan nusa dan bangsa. Bukannya saling mengkritik peribadi masing-masing dan membicarakan isu remeh temeh seperti soal warna bendera dan sebagainya.
Apakah agaknya yang akan ditransformasikan oleh kedua ahli panel itu malam besok? Pastinya ia tidak akan membabitkan soal peribadi yang sering diungkitkan oleh ahli politik lain seperti berlaku sebelum ini. Ataupun cuba memperdebatkan dogma atau doktrin partisan yang nihil. Esok hendaknya tidak ada sisapa yang mengungkit isu peribadi, sebalik masing-masing biarlah ikhlas dan jujur dalam meluahkan pandangan dan idea politik dalam usaha membena politik bangsa, agama dan negara.
Husam dalam pendekatan politiknya agak menarik bila mana beliau banyak mecairkan kebekuan politik; sikap, pandangan dan pemikiran dalam Pas sebelum ini. Kehadiran Husam umpama bahan yang mecairkan satu larutan yang sudah tepu dalam Pas. Beberapa pendekatan ekonomi dan politik di Kelantan yang dipraktikan sungguh mengejutkan.
Politik yang demikianlah politik yang selari dengan pemikiran kontemporari dan naluri politik generasi kini yang mahu merungkai dogma dan fahaman lama. Inilah salah satu sebab kenapa Husam dilihat terkedepan daripada tokoh-tokoh lain di dalam Pas. Kelainan dan kelajuan ini menimbulkan bahaya kepada Husam. Kerana beliau berfikir 50 batu jaraknya sebelum orang memulakan untuk berfikir menyebabkan beliau dicemburui oleh orang tertentu!
Demikian juga stail dan sikap Khairy Jamaluddin. Beliau ternyata pemuda yang tidak mengikut acuan politik dendam, politik sempit diamalkan oleh generasi Umno sebelum ini. Paling mempersonakan dan merujakan ialah keterbukaan dan keberanian ahli Parlimen Rembau ini dalam memberi pandangan dan pendapat politiknya. Beliau lebih melihat kepada masa depan daripada agenda klise partinya sendiri.
Pengalamannya berada di kampos di luar negara memberi kelebihan kepada beliau untuk memcuba sesuatu yang agak kontras dengan sifat-sifat jumud politik Melayu selama ini yang mentradisi dalam Umno.
Perbezaan pandangan dan bentuk pemikiran Khairy dengan oder lama dalam partinya ini bakal menyulitkan pembangkang di masa akan datang sekiranya ia diakses dalam Umno menerusi Khairy. Secara tidak sedar misalnya pandangan yang dilontarkannya dalam sesuatu isu sosial dan politik ia mengendungi semangat dan aspirasi sama dengan pembangkang. Sebagai contohnya mengenai penggunaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang dianggap tidak wajar lagi. Bagi Khairy mahasiswa tidak sepatutnya dikawal.
Perwatakan dan pemikiran demikian yang berlainan atau agak positif dalam konteks politik generasi kini menyebabkan saya meletakkan akan berlaku satu percambahan minda yang cukup baik malam besok. Kedua ahli panel itu sudah pasti akan meluahkan idea asli mereka yang mana secara tidak langsung jika mereka menjadi pemimpin itulah yang akan dipraktiskan kelak.
Wacana malam besok bukan untuk melihat siapa lebih jagoan antara Husam dan Khairy. Atau bukan untuk meliaht siapa lebih beretorik dengan pidato pengukuhan diri masing-masing, dengan madah, petikan atau ayat Quran dan sebagainya. Apa yang dituntut dan diharapkan wacana malam besok adalah wacana politik yang coherence dengan politik bangsa dan untuk masa depan negara yang realistik dan rasional.
Sama-samalah hadir di Balai Islam Ludang malam besok bermula jam 9:00 malam. Dan saya juga dijangka akan turut sama hadir, lagipun sudah lama tidak berada dalam majlis yang dihadiri Exco Kanan Kerajaan Kelantan, Husam Musa itu. [d'kota kl 2:30 pm 19/12/08]
No comments:
Post a Comment