Friday, April 20, 2018

Mek mengambil berat tentang solatku

BELASUNGKAWA

SEBAGAI anak sesiapa pun mempunyai banyak peristiwa dan kenangan bersama ibunya. Ibulah yang menganugerahkan sejuta kenangan kepada kita.

Ibu adalah orang paling hampir dengan diri kita. Kita dilahirkan dari rahimnya kemudian dibesarkan dengan mandian doanya menjadikan kita manusia seperti hari ini.

Ibu adalah guru pertama buat kita, yang mengajar makan, mengajar berkata-kata dan mengajar segala-gala alif bha tha kehidupan.

Dialah juga yang mula-mula memberi keseronokan kepada kita yang 'mengagah' kita, menggeletek kita menjadi kita kegelian dan ketawa terkekeh-kekeh sampai keluar air mata. Apabila kita ketawa dia puas dan turut sama mengilai, sehingga menghapuskan penat letihnya menjaga kita.

Sambil menimang-nimang badan kita, disondol-sondol mukanya ke perut kita, kemudian dikucup dalam-dalam pipi kita kiri dan kanan semua  anggota kita dibulinya penuh kegirangan dan kebahagiaan. Itulah ibu.

Di beranda inilah Mek menanti kepulanganku ...
Ibu juga penjaga dan pembela kita. Makan, minum, pakai dan segalanya. Bahkan ibu juga pelindung dan pembela kita. Apabila kita bergaduh atau dikacau kekawan di taman permainan, atau dikejar itik angsa, ibulah yang membela kita berpihak kepada kita walaupun ada kalanya kita menjadi punca perbalahan bersama kawan. Dialah yang menghalau nyamuk dan lalat dari mengigit kita.

Ibu tidak pernah berada dipihak lain walaupun dia sedar anaknya yang bersalah. Itulah nilai ibu sifat diskriminasi demi anaknya yang dikasihi sangat tinggi.

Pertemuan akhir dengan Mek saat dia minta memegang
erat tangannya.
Ibulah juga diam-diam memuji kita, menyatakan kebangaannya atas segala kejayaan kita dalam apa jua. Yang menghargai kita. Dialah insan yang menyenangkan kita dan tidak pernah menyusahkan kita. Yang mendoakan kita sepanjang masa, hatta saat kita melupai dan berada jauh dari sisinya, ibu tidak pernah teralpa kepada sang anaknya.

Jika dia memiliki dua biji limau dia tidak memakan kesemuanya hatta saat dia lagi mengidam, pasti akan disimpan untuk kita sebiji. Jika buah hanya sebiji disimpannya untuk kita separuh. Ibu sesama sekali tidak tamak dan tetap mengingati kita. 

Pengorbanan dan jasanya bukan di situ sahaja, ia berpanjangan sampai ke akhir hayat kita, atau dia akan mengambil berat kepada kita sehingga hayatnya berakhir. Kasih dan sayangnya tidak ada nilai ganti dan ukuran sejati.

Ibu juga tempat merengek, mengadu dan mendapat simpati.

Ibuku pergi.

Dan pada pagi, 18 April 2018 (18418), tepatnya jam 9:30 pagi wanita yang melahirkan aku serta mengenalkan aku erti hidup dan kehidupan sejak 58 tahun lalu sudah tiada lagi. Dia sudah menutup kedua belah matanya serapat mungkin, pergi buat selama-lamanya dengan tenang, menyusuli orang-orang disayangi terdahulu daripadanya, ibu dan ayahnya, suaminya serta tiga anak-anaknya yang lain.

Pemergian itu sesuatu yang pasti dan diredha. Sekiranya nyawa ibu boleh dibeli maka sudah tentu bukan sahaja aku, sesiapa jua akan sanggup membayarnya. Pemergian ibu menjadikan alam kegelapan, bukan sahaja separuh bahkan seluruhnya. Seandai ibu tidak meninggalkan "nur keibuannya", pemergian itu turut sama menggelapkan dunia si anak. Aku yakin ibu pergi dalam kumitan doa tidak akan ada kunjung padam.

Banyak kenangan bersamanya yang kini pasti akan datang berulang-ulang dalam diriku. Hanya kenangan itu sahaja yang tertinggalnya dan menjadi perhubunganku dengannya di alam barzah. Di sini aku hanya mengongsi beberapa sigmen dan episod sahaja sebagai bahan mengiringi belasungkawa ini.

Sejarah ibu.

Aku mulai dengan sejarah hidup ibu dan juga latar belakangnya. Ibu adalah anak keempat daripada isteri ketiga Haji Salleh bin Awang dengan Mariam. Kakaknya yang sulung Halimah diikuti Rokiah kemudian Jusoh diikuti ibu (Mek Thom) dan Yaman yang bongsu. Keempat-empat adik beradik seibu sebapa lebih awal meninggal, dan Mek adalah yang paling akhir. Selain itu Mek mempunyai lima adik beradik lain.

Mek dikahwin dengan suami pertama ketika berusia 14 tahun, sebaik sahaja khatam Quran. Ayahya Haji Salleh seorang yang mengambil berat kepada pendidikan agama kepada anak-anaknya. Perkahwinan Mek yang pertama memperolehi dua orang anak, yang keduanya meninggal semasa kecil.

Selepas itu Mek berkahwin dengan ayah, Omar Haji Othaman, dalam usia 20an. Hasil perkahwinan kedua Mek dikurniakan lima orang anak, dua lelaki dan tiga perempuan disamping dua anak ayah dengan ibu lain, Ahmad dan Zaidah. Aku adalah anak yang pertama, anak keduanya Noriah (meninggal ketika usia tiga bulan), ketiga Rusmini yang meninggalkan tujuh bulan lepas, Rodhiah anak keempat dan Mohd Rozi anak yang kelima.

Ibu tidak mempunyai pelajaran akademik langsung, bahkan boleh digolongkan dalam golongan yang tidak bersekolah. Tetapi kerana ayahya seorang Haji (Lebai), beliau ditekan untuk menghafal Quran dan dihalang untuk bersekolah seperti mana nasib diterima anak-anak perempuan zaman itu.

Perkahwinan dengan suami kedua (ayah aku), merupakan perkahwinan pasangan anak daripada Tok Haji, maksudnya kedua-dua mereka didikan dalamn lingkungan agama, Lebai. Kebetulan ayahnya dan bapak mertuanya adalah orang kampung awal yang menunaikan Haji ke Makkah.

Sebagai seorang yang lahir dari kalangan tok lebai kemudian menjadi menantu pula kepada tok lebai ibu sangat mengambil berat pendidikan agama kepada anak-anaknya, terutamanya aku. Sejak dari kecil lagi ibu mengajar membaca Quran kepada anak-anaknya.

Kerana kebolehan ibu memahami tajwid dan ilmu Quran lain, beliau diminta mengajar sama-sama anak-anak orang kampung secara sukarela. Sebahagian besar anak-anak di kampung kami menjadi anak muridnya.

10 tahun lalu sewaktu masih sihat, Mek masih menjalankan aktivitinya mengajar dan mengulangi bacaan Quran dan perbetulkan tajwid dengan rakan-rakan sebayanya dengan beliau menjadi pembimbing.

Menurunkan jasad Mek ke liang lahad.
Menyentuh mengenai perhatian agamanya, sesuatu yang masih kemen dalam ingatan ialah bagaimana Mek mengambil berat dan memastikan aku agar tidak tinggal sembahyang.

Hampir setiap kali kalau lewat solat beliau akan berleter dan memberi peringatan dengan kisah-kisah dalam Quran tentang orang melalaikan solat. Maka dibaca segala hadith yang diingatinya untuk mempengaruhi aku.

Bagi menjamin aku tidak meninggalkan solat Jumaat, atau mengikuti kelas-kelas pengajian, misalnya, beliau menawarkan upah (bayaran) untuk ku, 50 sen untuk setiap Jumaat sebagai bayaran atau pun membeli aiskrim selepas solat. Walaupun bayaran ketika itu lumayan dan besar tetapi beliau sanggup menyediakannya bagi menjamin aku ke masjid yang sejauh 1.5 km dari rumah.

Sehinggalah aku dewasa, hatta setelah berkahwin dan mempunyai anak, ibu masih memantau dan menjaga solatku. Kalau ketika balik dan bermalam di rumah dia akan siapkan sejadah untukku.. siap dengan pelikat serta kopiah gemulah ayah. Aku tahu semua itu disediakan untuk memastikan aku tidak terabai dengan solat.

Seperti dinyatakan tadi, banyak kenangan dan sejarah dengannya. Panjang untuk dituliskan di sini. Kenangan lain yang dikira berada di puncak menara ingatan ialah bagaimana dia berusaha mengumpulkan wang untuk aku mendapat mesin taip bagi kegunaanku yang bercita-cita untuk jadi seorang penulis sedari bangku sekolah lagi.

Ibu tidak memahami apa yang ada di dalam dadaku. Dia tidak tahu apa itu penulis dan kerjaya sebagai penulis. Apa yang dia tahu aku kuat membaca dan menghabiskan duit dengan membeli majalah, komik dan akhbar-akhbar yang dianggap itu tidak berfaedah. Dia marah kerana menghabiskan duit bukan untuk membeli makanan semasa di sekolah.

Tetapi atas desakan aku, akhirnya dia menyerahkan wang RM120.00 untuk ku mendapatkan mesin taip. Dengan wang itu dapat ku bayar muka (deposit) beli mesin taip secara ansuran dengan bayaran bulanan RM37 selama 12 bulan dijelaskan olehnya sehingga langsai bayaran mesin taip itu yang bernilai RM564.

Biarpun dia rasa terbeban tetapi kerana melayan kehendak seorang anak, Mek berkorban dan berjimat untuk aku. Pengorbanan beliau itu akan dikenang selama-lamanya. Jika bukan kerana beliau membelinya, aku tidak memiliki mesin taip yang bagi aku lebih penting dari segalanya untuk kerjayaku sebagai seorang penulis.

Mek bersiap menyarung cincin pertunangan ke jari
isteriku tahun 1982.
Sebagai ibu kampung beliau tidak memahami apa kerjaku. Sampai aku mula memasuki alam perkerjaan sebagai wartawan, dia tidak faham dengan kerjaya aku. Begitu juga sesekali mendengar nama aku keudara di radio apabila karya ku disiarkan, dia tidak peduli apa.

Bahkan dalam hidupnya kejayaan seorang penulis (journalisme) tidak akan membawa ke mana. Sebenarnya bukan ibu, orang lain juga di kampung ku, mereka jahil dan sangsi dengan kerjaya ini.

Sesungguhnya pembelian mesin taip itu sangat penting bagiku. Justeru suatu hari tatkala sebuah buku tulisan aku meletup di era Reformasi, aku telah membelikan ibu seutas rantai leher sebagai hadiah dan membalas budinya yang tidak terbalas itu. Terkejut ibu menerima pemberian itu apabila rantai  yang ku beli itu adalah paling mahal dan ibu menjadi orang kampung ku yang pertama memakai rantai berharga semahal itu.

Ah, banyak kenangan manis bersama ibu. Segala budi dan jasa buat aku tidak akan terbalas, walaupun semua apa yang kumiliki kini diserahkan kepadanya. Ibu telah memberikan aku segalanya, merestui perkahwinan aku serta memesrai anak-anakku sebagai cucunya sungguh agung. Setiap kali balik kampung dia tidak pernah melupai menghulurkan wang seberapa yang ada kepada anak-anakku. Aku tidak pernah menilai berapa, tetapi yang penting dia tidak pernah melupai memberikan wang kepada cucu-cucunya.

Seperkara lagi apa yang menyebabkan aku berasa puas hati bila berbicara mengenainya, selain membelikannya seutas rantai, ialah menghantarnya bersama ayah untuk mengerjakan Haji tahun 1994. Walaupun ketika itu kemampuan untuk melakukan itu jauh dari mampu tetapi aku memejamkan mata mencari wang untuk menghantar mereka kedua ke Makkah. Kejayaan ini adalah satu kepuasan buatku.

Gambar saat-saat Mek berulang uzur.
Menjadi harapanku  ibu pergi dan berihat dengan tenang, dan juga akan memaafkan aku kerana ada sepekara tidak sempat ku lakukan. Aku berhajat bahkan sudah memberi tahunya untuk membawanya ke Makkah sekali lagi sesudah pemergian ayah 12 tahun lalu, tetapi tidak kesampaian. Sepatutnya dalam umrah ku tahun lepas bersama isteri, anak dan keluarga, aku sudah berhajat untuk membawanya sama, tetapi kerana keuzuran ibu minta tangguh.

"Tak apalah, Mek tangguh dahulu, nanti sihat molek.. kita gilah.." demikian kata ibu.
Pemergiannya semalam menjadikan aku terhutang janji dengannya.

Kenangan terakhir ialah pada 16 April sewaktu menziarahnya di hospital Machang. Sebelum kupohon diri untuk pulang ke Kuala Lumpur kerana ada temu janji dengan Doktor, Mek seakan berat untuk melepaskan aku. Dalam mata separuh dia meminta agar memegang tangannya erat-erat. "Peganglah tangan Mek... peganglah..." Begitu juga semasa bergambar beberapa minggu sebelum beliau dihantar ke hospital beliau menarik kuat tanganku dan diletakkan ke atas ribaanya.

Kata dan suara itu adalah ucapan terakhir Allahyarham ibu dan tentulah selepas ini tiada lagi suara dan permintaan itu melainan ngiannya terus bergema di sanubari ini. Moga roh ibu tenang dan damai dalam pelukan Rabul Jalil. Amien. [wm.kl.8:15 pm 20/04/18]

7 comments:

Zulkhairi said...

Takziah bang. Doa la banyak2 untuk beliau. Itulah yang paling berharga baginya sekarang

anon oi said...

Semoga Allah mengampuni dosa orang tuamu, dan orang tua kita semua... amin...

Syed Alwi Aljufri said...

Salam takziyah kepada Tuan Mohd Sayuti sekeluarga di atas pemergian ibunda tuan, semoga Allah Azza Wajallah mencucuri Rahmat ke atas roh Almarhumah,Aamiiin

Unknown said...

Salam Takziah tuam mso... semoga roh bonda dlm rahnat Allah

msj said...

Semoga Allah merahmati arwah bonda..

Dr Che Supian said...

Takziah... Tumpang sedih... Moga arwah mek Tuan MSO ditempatkan bersama para solihin... Amin...

ainhany said...

salam takziah

muga aruah bonda bersama kalangan solihin.
amin