Sunday, April 22, 2018

BN Kelantan pamer keyakinan untuk tawan Kelantan

ULASAN

Mustapa Mohamed bersemangat mengemukakan
manifesto partinya. Foto: Fathil Asri BH.
UBN Kelantan tampaknya ke depan berbanding dengan Pas dan Pakatan Harapan (PH) apabila mencuri peluang awal untuk membentangkan tawaran dan janji (manifesto) untuk rakyat Kelantan dalam pilihan raya kali ini.

Pedaluan BN mengemukakan manifestonya bagi dinilai oleh rakyat menunjukkan BN tidak sabar-sabar untuk menawan Kelantan.


Pengerusi BN Kelantan Mustapa Mohamed telah membentangkan manifesto BN bertemakan "Bersama Demi Kelantan" pada malam Khamis lalu bertempat di Pusat Tranformasi Luar Bandar UTC Tunjung di hadapan puluhan ribu rakyat Kelantan.

Kehadiran ramai rakyat Kelantan yang memberi tempukan gemuruh apabila setiap tawaran dan janji "menjijak angin" mereka menggambarkan BN seolah-olah akan merampas Kota Darulnaim untuk melakukan perubahan dan transformasi di Kelantan setelah berada 28 tahun ditangan Pas.

Sebanyak 60 tawaran dengan lapan (8) teras janji utama yang akan dilaksanakan segera terkandung dalam manifesto berkenaan. Janji dan tawaran itu dibuat berteraskan kepada Kelantan "Daulah Mardatillah".

Ertinya janji itu berasaskan keredahaan Allah yang didambakkan rakyat selama ini.

Dari pelbagai tawaran yang dibuat itu 10 tawaran berikut antara yang menarik dan dijangka mendapat perhatian rakyat Kelantan.

1. Menubuhkan universiti al-Quran di Pasir Puteh.
2. Mewujudkan lebih banyak sekolah-sekolah tahfiz model Ulul-Albab.
3. Memperkasakan Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan mempertingkatkan kebajikan guru-guru YIK.
4. Mewujudkan 50,000 peluang pekerjaan dan keusahawanan khususnya untuk golongan belia.
5. Menghapuskan cukai tanah pertanian bagi pemilik tanah dua ekar ke bawah.
6. Mengkaji semula perjanjian Ladang Rakyat bagi membolehkan sebahagian tanah kembali kepada rakyat.
7. Membina 20,000 unit rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) dan rumah baharu bagi generasi kedua FELDA dan KESEDAR di seluruh negeri.
8. Memberi geran tahunan kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dan persatuan-persatuan bola sepak daerah.
9. Membina stadium dan kompleks sukan negeri di Machang.
10. Membina sebuah hospital khusus bagi wanita dan kanak-kanak untuk meningkatkan taraf kesihatan dan kebajikan mereka.

Sementara 8 janji teras yang akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari setelah BN menguasai Kelantan:

1. Menurunkan kadar premium dan cukai tanah.
2. Menyediakan perkhidmatan kerajaan yang lebih cekap dan berkesan.
3. Mewujudkan jawatankuasa Hisbah untuk memantau tadbir urus dan mengenal pasti penambahbaikan untuk dilaksanakan.
4. Memberi diskaun bagi tunggakan cukai pintu, menghapuskan tunggakan bayaran sewa tapak dan mengkaji semula cukai PBT lain.
5. Menghapuskan kutipan cukai kepala bakul.
6. Memudahkan prosedur permohonan lesen bagi penjaja dan peniaga kecil.
7. Mengkaji semula kadar bayaran parking bermeter.
8. Mewujudkan taskforce bagi memerangi gejala dadah dengan lebih berkesan.


Sebahagian puluhan ribuan hadir
dipeluncuran manifesto UBN.
Secara umumnya manifesto itu mengulangi apa yang pernah dikandungkan dalam manifesto UBN dalam pilihan raya lalu. Bagai mana pun ada beberapa tawaran dan akui janji yang signifikan dalam pilihan raya kali ini menampakkan kesungguhan UBN dibawah pimpinan Mustapa untuk rakyat Kelantan.

Antara ialah mewujudkan universiti Al Quran disamping memperbaiki lagi sistem pengajian Islam terutamanya di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK) yang pada masa ini mengalami beberapa kelemahan khasnya dari segi prasarananya dan kebajikan kepada kakitangannya.

Penubuhan universiti al Quran adalah suatu institusi yang sudah lama didambakan oleh rakyat tetapi ia gagal dilaksanakan oleh kerajaan Kelantan pimpinan Pas disebabkan kekurangan kewangan dan kelemahan pengurusan, tidak secara profesional. Dengan adanya universiti itu nanti ia akan menjadikan Kelantan sebagai pintu atau lembah pengajian Islam di rantau ini bersesuaian dengan julukan Kelantan sebagai negeri serambi Makkah atau negeri di bawah tadahan wayhu.

Beberapa tawaran dibuat UBN pula seolah-olah mengambil tanggungjawab kerajaan Pas yang tidak dilaksanakan walaupun ia dijanjikan kepada rakyat. Tawaran itu dilihat sebagai menempelak kerajaan peninggalan Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Misalnya perwujudan jawatankuasa Hisbah ia telah dijanjikan Pas dalam manifestonya pada pilihan raya 1990 lagi namun sampai sekarang tidak dilaksanakan oleh Pas. Kegagalan mewujudkan jawatankuasa itulah menyebabkan banyak berlaku penyelewengan dan salah guna kuasa oleh kalangan politik di Kelantan seperti mana dibangkit dan didedahkan Husam Musa.

Penubuhan jawatankuasa itu oleh UBN nanti tentu dialu-alukan kerana ia bakal mewujudkan sebuah kerajaan baru yang berintegriti dan membenteraskan perbuatan rasuah dan penyelewengan. Dengan ada jawatankuasa seperti itu tanpa mengira komponen mana memerintah ia dapat membendung masalah yang berlaku kini. Pengabaian Pas terhadap cadangan yang baik itu satu kesilapan besar.

Satu lagi tawaran yang menempelakkan kerajaan Pas ialah untuk mewujudkan sebuah kompleks sukan (stadium) di Machang.  Kerajaan Pas jelas sekali tidak mampu untuk mengadakan kemudahan ini walaupun tapak sebuah stadium baru sudah dikenal pasti di Bukit Merbau, Pasir Puteh. Mengenai hal ini sekali lagi Pas Kelantan silap kerana memecat Husam Musa orang yang memberi ilham untuk pembangunan ini.

Mungkin kalau kerajaan Pas memberi kepercayaan kepada Husam terus mengendalikan projek ini ia sudah bermula kalaupun tidak siap.

Satu lagi janji yang dibuat UBN yang menunjukkan keazaman bagi membentuk kehidupan yang harmoni, mewujudkan taskforce untuk membenteraskan gejala dadah. Masalah dadah, penagihan dan pengedaran dadah di Kelantan yang mengakibatkan berlaku jenayah, rompakan, kecurian hatta bunuh membunuh adalah disebabkan berleluasanya gejela dadah.

Adalah tepat kalau UBN mewujudkan pasukan khas itu untuk mengatasi masalah ini. Janji ini memperlihatkan UBN dibawah Mustapa sangat peduli kepada masalah ini.

Janji-janji lain yang tidak kurang menarik dan memberi kesan kepada rakyat seperti menurunkan kadar bayaran parking, premium tanah dan sebagainya. Bagaimana pun tawaran untuk menghapuskan cukai tanah pertanian yang seluas dua ekar ke bawah adalah satu tawaran langsung untuk meringankan beban rakyat.

Secara umumnya semua tawaran dan janji dikemukakan UBN sempurna dan lengkap, cuma satu sahaja tertinggal, tiada tawaran retorik untuk melaksanakan Hudud di Kelantan seperti mana dibuat oleh Pas yang sampai sekarang tidak dilaksanakan. Mungkin UBN menyedari kengkangan untuk melaksanakan Hudud dari kerangka Pas itu tidak masuk akal, maka ia tidak membuat tawaran itu.

UBN telah pun mengemukakan tawaran dan janji mereka untuk dinilai oleh rakyat Kelantan. Kini kita menunggu apakah pula tawaran yang akan dibuat oleh PH dan Pas. Khabarnya PH akan mengemukakan manifesto sulungnya, (kerana pertama kali bertanding) pada 26 April, manakala Pas pula sehari sebelum itu.

Selepas ini kita bandingkan pula di antara manifesto kedua-dua komponen itu mana yang lebih realistik dan mana yang mengulang janji-janji lama yang tidak terbuat.

Manifesto hanya janji dan sinopsis perancangan oleh parti-parti politik sekiranya mereka menjadi kerajaan. Dari manifesto ini dapat dinilai sejauh manakah wawasan mereka dan juga kepedulian mereka bagi memenuhui aspirasi rakyat. Dari manifesto itu nanti akan direnungi kemudian akan dibuat pilihan. [wm.kl.7:12 am 22/04/18]  

4 comments:

WAN MARZUKI said...

Kalau kelantan milik BN, manakala pusat pula jatuh ke tgn PH, agak2 tertunai tak janji dlm manifesto

lat said...

Semua manifestu BN hanya dapat dilaksana jika Putrajaya masih lagi dikuasai BN..bayangkan senario Kelantan diperintah UMNO sedangkan Putrajaya didilam kuasa Pakatan Harapan...rakyat kelantan akan melepas lagi untuk kesekian kalinya...

Unknown said...

SAYA SANGAT SOKONG 3 PERKARA INI DILAKSANAKAN.

Perkhidmatan anggota kerajaan Kelantan sangat lemah. Tiada siapa ambil peduli. MB, TMB, EXCO atau wakil rakyat.

Pengurusan daerah cacar marba....

Rakyat menjadi mangsa.

1. Menurunkan kadar premium dan cukai tanah.
2. Menyediakan perkhidmatan kerajaan yang lebih cekap dan berkesan.
3. Mewujudkan jawatankuasa Hisbah untuk memantau tadbir urus dan mengenal pasti penambahbaikan untuk dilaksanakan.

awang kualaberang said...


kalau PH berjaya menguasai kerajaan pusat, InsyaAllah majoriti wakil rakyat umno/bn akan lompat masuk PH. Maka kerajaan negeri umno/bn akan tumbang dan beralih kpd PH demi kesejahteraan dan kebajikan rakyat....