Saturday, April 7, 2018

Pastikan pilihan raya ke 14 bersih dan telus

SUSUPAN PETANG

HARI dan saat yang ditunggu-tunggu telah sampai, semalam Najib Razak telah mengumumkan yang hari ini 7 April parlimen penggal ke 13 telah dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya umum ke 14 dijalankan.

Segala spekulasi mengenai bila tarikh pilihan raya sudah tidak berlaku lagi. Andaian sebelum ini kononnya Najib terlalu takut untuk mengadakan pilihan raya sudah termansuh. Najib masih menghormati sistem demokrasi negara ini.

SPR akan mengadakan mesyuarat seberapa segera untuk menentukan hari penamaan calon dan hari mengundi. Dijangka Rabu atau Khamis ini hari paling segera SPR memanggil mesyuarat.

Mesyuarat hanya untuk endrose tarikh-tarikh penamaan calon dan hari mengundi yang sudah pun ditetapkan setelah difirasatkan kesekian lama. Najib tidak akan membubar parlimen sekiranya beliau tidak yakin pilihan raya akan berpihak kepadanya? Logiknya masakan Najib sedia menggali kubur atau membuka pintu penjara buatnya?

Untuk urusan itu pewartaan parlimen dibuarkan akan dibuat bersama dengan perwartaan tarikh-tarikh penamaan calon dan hari ini mengundi. Menurut perlembagaan SPR mempunyai masa 60 hari untuk mengadakan pilihan raya ke 14. Tarikh pilihan raya tidak boleh ditetapkan melebihi tempoh itu kerana ia melanggar perlembagaan.

Kalau mengikut amalan biasa, penetapan hari-hari penamaan calon dan hari mengundi akan diadakan selepas perwartaan. Biasanya dua minggu paling awal seminggu. Berbeza dizaman Tunku Abdul Rahman dahulu tarikh berpilihan raya panjang dan lama.

Sekiranya tempoh itu diambil kira kita boleh mengadaikan tarikh penamaan calon paling cepat pada, 29 April Mei, dimana hari mengundi pada 9 Mei Mei. Itu adalah perkiraan paling cepat dan juga berdasarkan rekod lalu.

Misalnya pilihan raya ke 13 diadakan pada 5 Mei selepas 30 hari pembubaran parlimen pada 3 April. Sekiranya tempoh itu diikuti maka hari-hari mengundi untuk pilihan raya ke 14 tidak akan terkeluar daripada 5 hingga 9 Mei.

Sementara menunggu SPR mengumumkan tarikh penamaan calon dan hari mengundi kini ada berbagai-bagai telahan mengenai hal itu. Ada meramalkan hari penamaan calon diadakan pada 14 April sementara hari mengundi 26 April. Ini bermakna tempoh kempen hanya 10 hari sahaja. Saya tidak begitu menyakini kalau tarikh ini dipilih Najib sebab ia kurang fengsui?

Ada juga yang meramalkan, hari mengundi 1 Mei sempena hari Buruh kononya tarikh itu dipilih untuk memberi peluang luas kepada pengundi kerana hari itu cuti umum. Kalau tempoh kempen hanya 10 atau 11 hari ini bermakna hari penamaan calon pada 25 atau 26 April. Apakah Najib berasakan selesa buatnya kalau hari mengundi diadakan pada hari cuti umum walaupun itu yang sepatutnya.

Persoalan sekarang apakah kesemua parti politik sudah siap sedia? Apakah nama-nama calon sudah dikenal pasti? Dan bagi parti yang berada dalam kelompok komponen, apakah persefahaman sudah dicapai boleh dijamin tidak timbul sebarang masalah perebutan calon?

Ini penting untuk memastikan komponen itu dapat melalui pilihan raya dengan baik. Selalu berlaku apabila masalah calon dan pembahagian kerusi tidak dapat berjalan dengan baik akan berlaku sabotaj mensabotaj di antara satu sama lain. Akan berlaku peletakan calon untuk tujuan mengalah sesama sendiri.

Perpaudan, maufakat dan kerjasama dijalan selama ini terburai di jalanan apabila isu atau masalah-masalah itu tidak dapat disepakati sehingga ke hari penamaan calon. Justeru semua parti perlu mengambil peluang dalam tempoh beberapa hari ini bagi merapatkan saf dan membina persefahaman tinggi sesama sendiri.

Rakyat  yang menerima sistem demokrasi sangat mengharp pilihan raya kali ini berjalan dengan penuh keadilan, lebih-lebih lagi pilihan raya kali ini yang disifatkan sebagai isu dan bapa kepada segala pilihan raya.

Untuk mengharap kebersihan seratus peratus ia tidak mungkin. Tetapi kalau boleh meminimumkan kesalahan dalam pilihan raya. Apa diharap ialah kepada SPR selaku badan pengendali pilihan raya.

Kita sudah melalui 14 kali pilihan raya. Tidak sepatutnya kejanggalan dan kesumbangan ketara masih berlaku. Apa lagi kalau pilihan raya kita ditertawakan oleh orang asing. SPR patut menjaga wibawa mereka sebagai badan pengendali pilihan raya dan sedia menerima pemantau dari negara luar.

Mengenangi pilihan raya kali ini timbul juga kebimbangan di kepala saya terhadap kesan pilihan raya ini. Ini kerana sebelum ini ada berbagai provakasi mengenai pilihan raya ini. Di pihak pembangkang mereka meramalkan pilihan raya kali ini tersangat kotor bila mana dituduh BN dan Najib terdesak untuk menang.

Kononnya Najib akan melakukan apa sahaja sama ada secara baik atau jahat untuk memastikan kemenanga. Lantaran itu ia menyebabkan pilihan raya jadi tidak bersih. Situasi dihadapi Najib itu akan ditafsirkan pilihan raya ini sebagai sebuah perang menentukan hidup atau mati kepadanya bukan ruang untuk rakyat menegur dan memperbetulkan kepinangannya.

Sekiranya pilihan raya tidak bersih dan memberi kemenangan kepada BN, menyebabkan rakyat akan marah. Desas desus atau ajakan agar turun ke jalan raya memperoteskan kemenangan secara tidak bersih itu sungguh menakutkan.

Manakala di pihak BN pula dilihat bersedia melakukan prokasi atau menganggu proses pilihan raya kali ini. Sekiranya pembangkang menang, dibimbangi kemenangan itu akan diganggu. Kononnya sudah ada persiapan atau mekanisme untuk membuat kacau sehingga pilihan raya berpihak kepada pembangkang itu akan dinafikan.

Misalnya, kenyataan oleh pihak berkuasa kononnya sudah mengenal pasti 1,100 orang individu dan samseng hendak membuat kacau dalam pilihan nanti memberi gmbaran yang pilihan raya ini akan menjadi kacau bilau. Orang ramai mula membuat tafsiran liar, apa lagi sehingga kini pihak polis belum membuat apa-apa tangkapan walaupun pihaknya sudah mengenal parti pesalah.

Mengenai itu semua kita sangat mengharap pihak SPR memastikan pilihan raya kali ini berjalan dengan lancar, tertib dan bersih. Memang kebersihan dan keadilan tidak dapat dipastikan seratus peratus, tetapi setidak-tidaknya perlu mengurangkan kekotoran itu sehingga menjadi jelas.

Begitu juga pihak keselamatan, PDRM dan segala macam agensi pengawalan perlu bertindak dengan penuh profesional. Apa yang penting pilihan raya ini adalah sistem demorkasi yang menjadi amalan negara ini sejak lama dahulu. Kita tidak mahu tiba-tiba sistem ini dimusnahkan begitu sahaja kerana ada mereka yang merogol atau memperkosakannya kerana kepentingan diri mereka.

Akhirnya diucapkan selamat mengudi kepada semua dan gunakan undi anda untuk mengubah masa depan anda bukannya menyelamat masa depan orang lain. [sitiwan.prk 12:21 t/hari 07/04/18]
Post a Comment