Monday, April 9, 2018

Panji PH diangkat di Pasir Gudang demi membina semula kubu Bentayan di Muar


Sallahuddin sedang berucapan dihadapan ribuan pendengar
dalam himpunan di Muar.
.
HIMPUNAN Pakatan Harapan (PH) di Parit Raja, Muar dua malam lepas adalah kesenimbungan himpunan besar di Pasir Gudang sebelumnya. Pasir Gudang adalah kawasan MB Johor Khalid Norden.

Majlis itu diadakan sebaik Najib Razak mengumumkan parlimen dibubarkan 7 April. Seperti mana diduga majlis-majlis politik dari mana-mana fraksi akan meningkat sambutannya secara mendadak sebaik mengetahui parlimen dibubarkan kerana orang ramai makin "mania" dengan pilihan raya.
Himpunan PH di Pasir Gudang itu memberi indikator yang baik kepada PH bila mana sambutannya meriah di luar jangkaan, dikhabarkan lebih 10,000 yang hadir. Biasanya kawasan diwakili MB sukar untuk menerima sambutan hangat oleh pembangkang. Kehadiran begitu ramai menunjukkan kapastiti MB tidak berjaya menyekat arus.

Semua menjulang bendera Keadilan sebagai simbol
kesatuan.
Lagi pun kita sedia maklum Johor negeri kuat Umno bukan senang untuk ditembusui. Apabila kehadiranya sebegitu ramai di Pasir Gudang, ini menunjukkan kubu terkuat Umno di Johor sudah mulai retak bakal menuju kerobohan total.

Kejayaan di kedua-dua himpunan itu mengesahkan cerita-ceriti dari kejauhan sebelum ini mengatakan berlaku kejutan besar di Johor. Mungkin ramai yang sangsi terhadap apa yang akan berlaku di Johor itu mengenangkan sejarah ke-Umno-annya selama ini.

Bukan itu saja malam di Pasir Gudang juga, PH melakar satu lagi sejarah membuktikan iltizam dan kepaduan mereka, apabila Dr Mahathir Mohamad mengistyharkan komponen itu sepakat menggunakan satu logo, yakni Mata untuk digunakan dalam pilihan raya. Simbol parti Keadilan telah dipilih dan bertuah menjadi logo tunggal kalangan pembangkang untuk melawan dengan Dacing dalam pilihan raya ke-14. Pengistyharan itu disambut penuh bersemangat dan genangan air mata. Saat itu berkibarlah lambang Mata dalam sukma ahli dan pendokong PH.

Apa yang berlaku, pemilihan logo Mata itu secara sepakat boleh diertikan, pertembungan dua lambang besar dalam pilihan raya nanti. Persetujuan memilih Keadilan sebagai parti tunggal untuk boleh dianggap ia penghormatan kepada Anwar Ibrahim yang tidak pun dituntut oleh Anwar sendiri. Pemilihan itu tempat dan penuh signifikan.

Peranan Bulan jadi penerang.

Simbol Mata dipakai itu adalah sebagai mewakili Anwar, manakala Dacing itu pula sebagai wakili Najib Razak. Walaupun ada sama lambang Pas, Bulan mewakili Hadi Awang ia hanya tidak lebih sebagai alat menerang gelanggang untuk membolehkan rakyat menyaksikan pertarungan sebenar di antara Anwar - Najib, Mata dengan Dacing dengan lebih terang dan jelas lagi.

Dr Mahathir kini mewakili Anwar sementara Anwar keluar daripada penjara. Roh perjuangan Pakatan Harapan itu bolehlah dikatakan bergerak atas denyut nadi jantung dan sukma Anwar Ibrahim.

Lautan manusia di Muar Johor.
Apabila PH berjaya mengumumkan Mata sebagai logo untuk diguna dalam pilihan raya akan datang, ia menggambarkan semua komponen bersetuju. Tidak ada bantahan oleh mana-mana parti; baik Amanah atau PBBM atau DAP. Dalam hal ini harga yang cukup mahal dilakukan DAP untuk mengorbankan Roketnya. Tahap kefahaman politik DAP sama dengan tahap kefahaman Amanah semasa pembahagian kerusi.

Penerima ini menunjukkan persepakatan dalam PH membulat seperti bulan purnama. Penerima tanpa bahas ini benar-benar membawa inspirasi jiwa rakyat yang sudah "cemuhi" terhadap UBN.
'
Selepas himpunan di Pasir Gudang, setelah PH memilih panji mutlak untuk dijulang, PH bergerak mengadakan himpunan di Parit Raja, Muar pula. Sambutan di Parit Raja, Muar juga mengejutkan, menambahkan resah risau tidur Khaled Nordin dan pemimpin Umno Johor. Tidur mereka jadi "terkaba-kaba" -- tidak nyenyak dan terkejut.

Pengumuman Manifesto BN oleh Najib Razak yang berlangsung serentak di Bukit Jalil, yang penuh dengan gilang gemilang dan retorik tidak sedikit pun menggangu majlis PH di Muar itu dan jadi penghalang rakyat Muar untuk bangkit menjulang tangan menyokong PH sambil menjerit-jerit Hidup Tun Hidup PH.

Berbilang kaum sokong PH di Johor

Jika di Pasir Gudang PH mula menjulang panji bersimbolkan Mata bersama, di Muar bolehlah disifatkan PH sudah mula bergerak untuk meruntuhkan keseluruhan kubu Umno di Johor. Lebih 15,000 datang berhimpun mendengar amanat Dr Mahathir Mohamad, Salahuddin Ayub dan lain-lain pemimpin PH. Apa mengejut, dan menyebakkan hati Dr Mahathir kehadiran itu bukan sahaja dari golongan Melayu seperti beliau dalam Umno dahulu, tetapi yang hadir dari berbilang kaum, Cina, India dan lain-lain.

Hampir 40% yang hadir malam itu bukan Melayu.

Sebenarnya tidak hairan, kalau masyarakat Muar bangkit bersama PH. Jika dilihat kepada latar belakang sejarah di Muar, ia tidak memelekkan. Muar banyak menempa sejarah dan meninggal moment keberanian orang Melayu.

Satu mercu tanda kehebatan orang masih terpacak di Muar yang masih disaksi hingga kini. Mungkin kita tidak tahu atau arif mengenai kubu Bentayan yang terletak di Muar. Kalau kita menelaah dan menggali sejarah kita akan tahu, betapa semangat perjuangan yang ada kepada orang-orang Melayu di Muar khasnya dan Johor amnya. Apabila mengetahui itu kehadiran begitu ramai yang hadir menyatakan sokongan kepada PH ia tidak menghairankan.

Dr Mahathir sendiri mengulangi bahawa semangat perjuangan untuk menentang penjajah menyemarak di Johor dan ia terbawa ke negeri lain. Jadi katanya tidak pelik kalau sekali lagi rakyat Johor menjadi juara untuk menentang Umno yang kini laksana penjajah di zaman moden. Ujar beliau Johor adalah negara yang membara perjuangan untuk menentang penjajah. Justeri tidak hairan kalau Johor juga menjadi juara menentang penjajah baru yang dibentuk oleh Umno di bawah pimpinan Najib.

Kubu Bentayan terletak di tengah-tengah bandar Muar. Di tapak sejarah ini berlakunya pertempuran besar di antara pahlawan Melayu kerajaan Melaka dengan penjajah Portugis dalam mempertahankan kerajaan Melaka. Boleh dikatakan kubu Bentayan ini adalah kubu pertahanan terakhir, kekuasaan kerajaan Melaka apabila ia diserang Portugis tahun 1511.

Sultan Mahmud Shah yang memerintah Melaka, berundur dari Melaka ke Muar untuk membina kubu pertahanan bagi melawan balik Portugis di pinggir sungai Muar. Kawasan yang dibangunkan kubu itu dikenali dengan Bentayan, kononnya di sini dahulu banyak biawak pasir dan buaya, demikian ujar ahli sejarah.

Pengunduran itu disedari oleh Portugis menyebabkan Portugis telah mengesan dan menyerang kubu Bentayan. Serangan Portugis itu menyebabkan berlaku pertempuran hebat banyak prajurit di sebelah Sultan Mahmud Shah terkorban. Pertahanan itu gagal, akhirnya Portugis berjaya meleburkan kubu berkenaan sehingga meranapkan kerajaan Melayu Melaka.

Apabila kita mengimbau latar sejarah Muar itu, jadi tidak hairanlah kalau sambutan ceramah di Muar itu mendapat sambutan hangat. Semangat kepahlawanan masyarakat Muar khasnya dan Johor amnya masih meruap dalam jiwa mereka. Kehadiran rakyat menyatakan sokongan kepada PH itu menunjukkan mereka berani dan sedia berhadapan dengan kekuatan dimiliki Umno persis Portugis itu sendiri.

Apa yang berlaku di Johor itu, di Pasir Gudang dan Muar serta di tempat-tempat lain pula selepas ini, Umno kini tidak boleh mendabik dada lagi mengatakan Johor masih kubu kuat Umno. Ironisnya kalau kubu Bentayan berjaya dilenyapkan oleh Portugis, kubu Umno di Johor dalam kesediaan untuk dirobohkan oleh PH, dengan semangat kepahlawanan Melayu Johor.

Senario yang tergambar di Johor kini membenarkan ramalan dan kajian oleh penganalisa politik yang menjangkakan akan berlaku kebangkitan (protes) Melayu kepada Umno di Johor. Sekiranya fenomena yang sedang berkembang kini menjadi kenyataan, apa dialami oleh Umno Johor samalah dengan lumrah yang diterima oleh setiap makhluk yang bernyawa di dunia ini.

Umno tidak boleh terus berasa gah kerana ia dilahirkan di Istana Sultan Abu Bakar di Johor Baharu. Maqam kelahiran itu tidak menjamin Umno akan selamat dan mulia selama-lamanya. Sebagai makhluk baharu Umno juga akan menerima hukum karma, asal dari tanah kembali kepada tanah jua. 

Umno perlu ingat dan sedar PH menjulang panji Mata di Pasir Gudang untuk membina semula kubu Bentayan yang roboh dihancurkan Portugis di Muar.

Wap kekalahan atau masalah besar Umno yang bakal dihukum oleh rakyat Johor dalam pilihan raya kelak tampaknya turut sama dirasai oleh segala macam makhluk. Mereka yang berasakan hutan Umno akan terbakar mulai gelisah dan ketakutan. Mereka mula bangun perlahan-lahan untuk mempertahankan bahtera Umno yang bocor dan sengitnya sangat ketara itu.

Kebimbangan itu dirasai termasuk oleh makhluk yang berada di luar orbit politik. Sang Merak burung yang megah dengan keindahannya juga turut sama merasa bimbang tempat mereka bersemayam akan turut sama terbakar. Mungkin sebab itu Merak yang sebelum ini berkokok dengan lagu dan iramanya tersendiri turut sama berkokok membawa lagu penuh sumbang dan bias.

Kepada sang Merak usahlah risau dan gundah. Betapa api marak membakar hutan rimba ia tidak akan menjejaskan kediaman tuan hamba. Yang PH hendak bakar adalah ladang Umno dan Pas yang kini bukan sahaja gagal menghasil hasil mahsyul bermutu tetapi ia berpotenasi memerebakkan penyakit yang membahayakan kepada orang ramai. [wm.kl.12:14 t/hari 09/04/18]

1 comment:

giorgio said...

Satu satu rencana yang patut dipuji dari nilai penulisan yang cukup seimbang dan cukup memberi penghormatan yang tinggi kepada Istana Johor... Syabas Pak... Terimakasih...