Tuesday, April 24, 2018

Taklimat calon PH meriah tetapi kurang mantap?

LAPORAN

Sebahagian calon-calon PH berikrar.
SAYA baru balik dari majlis taklimat kepada calon-calon Pakatan Harapan yang diadakan di Dewan Sivik MMPJ Petaling Jaya. Majlis itu diadakan dua sessi, penerangan kepada para calon PH dan kedua majlis ucapan umum diikuti dengan sidang akhbar.

Saya mengikut majlis umum, di mana ketua-ketua parti, (Majlis Presiden), Dr Mahathir Mohamad, Dr Wan Azizah Wan Ismail, Muhyiddin Yassin, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng memberi ucapan menitik semangat dan amanat kepada para calon.


Ucapan mereka berapi-rapi dan penuh bersemangat. Sesekali disambut dengan tepukan bergemuruh. Semua pemimpin berucap memberi kata-kata semangat dan menzahirkan keyakinan PH akan merampas kerajaan daripada UBN 9 Mei kelak.

Nama Dr Mahathir dan Dr Wan Azizah berkali-kali disebut sebagai bakal perdana menteri dan timbalan perdana menteri. Dr Mahathir juga semasa berucap sekiranya PH berkuasa mengumumkan cuti selama lima hari akan diberikan untuk membolehkan rakyat berehat selepas penat berkempen. 

Bagi saya pegulangan perkara itu, Dr Mahathir dan Dr Wan Azizah sebagai bakal PM dan TPM tidak diberikan keutamakan kerana kurang manis dan tidak perlu kerana ia menampakkan PH atau khasnya juruacara seperti terlebih garam. Apa yang penting memberi fokus memperkemaskan perpaduan untuk mencapai kemenangan.

Rasanya seluruh masyarakat sudah pun mengetahui akan janji itu.

Sebagai pemerhati sedikit dukacita kerana majlis itu kurang mantap dan seolah-olah ia dibuat tanpa perancangan rapi. Ini kerana tidak semua calon-calon terbabit dipanggil untuk hadir mendengar taklimat penting itu. Dalam perhatian saya tidak sampai separuh daripada calon-calon yang hadir.

Dengan merujuk kepada PH Kelantan hanya beberapa orang calon sahaja hadir, itu pun dari kalangan calon parlimen sahaja, tidak ramai calon DUN. Mungkin kerana PH Kelantan masih belum mengumumkan calon-calon mereka secara rasmi.
Salahuddin Ayub

Paling mengejutkan tidak ada calon parlimen daripada parti PPBM? Puas saya mengendap mencari wajah-wajah yang dikenali namun tidak kelihatan. Seorang ahli PPBM Kelantan secara tidak langsung memaklumkan kononnya PPBM tidak diberi tahu? Kalau benar begitu dimana silapnya?

Hal-hal sebegitu seharusnya tidak berlaku dalam saat-saat untuk menghadapi pilihan raya. Sepatutnya semua hadir menyatakan kepaduan dan menzahirkan semangat. Apakah masalah calon di Kelantan masih belum selesai?

Dan sekiranya kerana teknikal, perkara itu perlu diatasi di masa-masa mendatang terutamanya menjelang penamaan calon sehingga hari mengundi.

Sehingga hari ini PH Kelantan sahaja yang masih belum mengumumkan calonnya. PH di negeri-negeri lain sudah pun melengsaikan mengumum nama calon masing-masing.

Hendaknya Husam Musa sebagai pengerusi dapat memperkemaskan lagi pasukannya PH di negeri Cik Siti Wan Kembang dan semua pihak memberi sokongan padu kepadanya. Dan apakah kelambatan itu sebagai satu strategi?

Khabarnya malam lusa 26 April akan diadakan pengumuman calon bersamaan dengan pembentangan manifesto PH Kelantan. Apa yang berlaku di Kelantan kini menjadi pemerhatian umum, apa lagi BN telah pun mengumumkan calonnya dan juga manifesto. Pas pula sudah pun membentengkan manifestonya dan akan mengumumkan nama-nama calonnya malam esok.

Apapun pembentangan manifesto PH esok diharap dapat mengambus kecacatan kecil itu dan PH akan dlihat komponen yang mantap dan kemas. Tidak guna ia dilambatkan kalau PH gagal menampilkan sesuatu yang lebih ideal.

Satu perkara lain yang terkesan oleh saya di majlis itu tadi ialah semua pemimpin yang berucap alpa kepada tagline yang diperkenalkan oleh Ketua Sekretariat Saifuddin Abdullah yang berbunyi, “Pakatan... Rakyat, Keadilan .. Menang.”

Saifuddin sudah memperkenalkan tagline rasmi PH itu, apabila disebut “Pakatan”, ramai-ramai akan menjerit “Harapan”. dan bila disebut “Keadilan”... ramai-ramai akan menyebut “Menang”. Tetapi nampaknya tagline itu tidak menjadi amalan. Baik oleh Dr Mahathir, Dr Wan Azizah, Mohamad Sabu, Muhyiddin ataupun Guan Eng, mereka tidak melaungkan tagline itu dihujung ucapan masing-masing.

Di kesempatan itu saya sempat menemui beberapa orang calon PH dan berselfie dengan mereka selepas majlis penerangan itu selesai. Mereka ditemui kelihatan ceria dan penuh keyakinan dengan perkembangan dan sambutan PH waktu ini terutamanya di Johor.

Salahudin Ayub yang juga merupakan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), kini diharapkan menjadi Jeneral perang PH di Johor bersama  Muhyiddin Yassin menyatakan rasa optimis akan berlaku kejutan di Johor.

Katanya sambut majlis cermah di Johor walaupun tanpa kehadiran Dr Mahathir sambutan juga menggalakan. Sebagai contoh katanya, di Kulai Johor, dua malam malam lalu ribuan yang hadir. Perkembangan itu jelasnya menunjukkan berlaku tsunami Melayu di Johor.

"Apa yang berlaku di Johor kini sangat menyeronokkan saya, ia bukan sahaja berlaku tsunami Cina, tetapi yang lebih mengejutkan tsunami di kalangan orang Melayu dan peneroka," katanya. [wm.kl.8:18 pm 24/04/18]

Post a Comment