BILA sebut Patani teringatlah kepada masjid Krisek. Bagi pelancong yang menjenguk bumi bekas empayar Islam Patani Daerusalam itu tidak akan sah kalau tidak menziarahi masjid Krisek yang terletak di kampung Tanjung, mukim Laloh. Masjid berusia lebih 450 tahun ini adalah antara masjid tertua di Patani. Selepas masjid Teluk Manok, masjid Dato’ masjid Kriseklah yang menjadi sebutan dan tumpuan para pelancong.
Kelebihan ataupun keterkenalan masjid ini ialah kerana seni binanya yang unit. Bangunannya seperti bangunan lama dan klasik. Batu bata diikat tanpa disimenkan. Ini menyebabkan ia kelihatan seperti seni bina Yunani kuno yang belum siap sempurna. Lantaran keadaan itu maka timbul berbagai misteri dan tahyul di sebalik keadaannya yang ‘tidak siap’ itu.
Paling disebut ialah kononya ianya disumpah oleh Lim Tau Kian iaini adik kepada Lim Toh Kian, iaitu pedagang Cina yang membina masjid berkenaan. Kononnya Tau Kian menyumpah masjid yang dibina oleh abangnya itu tidak akan siap selamanya.
Ketika saya mengunjungi Patani baru-baru dan singgah di masjid itu, seorang bekas guru Che Husin Che Mat, 81 sedang menceritakan kisah itu kepada rombongan pelawat dari Satun, Thailand.
Apa yang sempat didengari, katanya, Tau Kian bertindak menyumpah begitu kerana kecewa dengan sikap abangnya yang enggan pulang semula ke Cina. Adiknya itu datang untuk membawa abangnya pulang kerana emak mereka sedang sakit tenat. Tetapi Lim Toh Kian tidak mahu pulang dan terus mahu tinggal di Krisek itu bersama isterinya yang dikatakan seorang anak raja – Raja Biru.
Gara-gara kecewa dengan sikap abangnya itu, tutur Che Husin, Tau Kian bertindak menggantungkan diri di sebatang pokok ketereh berdekatan dengan masjid berkenaan. Tempat Tau Kian menggantungkan diri itu dibina kuil Buddha dikenali dengan nama kuil Tok Pekong Mek. Kuil ini juga menjadi kunjungan penganut agama Buddha.
Sejauh manakah kebenaran cerita berkenaan? Bagi Che Husin sendiri dia hanya menceritakan apa yang didengarinya namun tidak sama sekali mempercayai akan hakikatnya. “Kenapa hendak percaya, takkanlah begitu. Tau Kian bukan malaikat atau nabi. Dia seorang manusia biasa saja. Kalau dia sumpah pun tidak akan menjadi,” jelas Che Husin menolak tahyul dan kepercayaan cerita yang ditutur sejak berzaman itu.
Dalam hal ini saya mempunyai andaian sendiri kenapa masjid itu dibiarkan dalam keadaan yang ‘belum siap’ itu. Sebenarnya ianya sudah pun siap, cuma bentuk senibina itu menggambarkan demikian. Atau pun ianya disengajakan bagi mengekalkan keaslian masjid berkenaan untuk menarik perhatian pelancong.
Selain dari cerita tahyul itu kenapa masjid Krisek yang juga dikenali dengan masjid Pintu Gerbang, kerana bahagian depannya persis pintu gerbang, ialah kerana tragedi berdarah yang pernah berlaku di dalam masjid berkenaan. Pada 28 April 2004 satu tragedi berdarah terjadi di mana sekumpulan jemaah yang sedang mendirikan solat dan berzikir di dalam masjid itu di tembak hidup-hidup oleh tentera Thai.
Akibat itu menyebabkan 32 orang terbunuh dan syahid dalam masjid itu manakala puluhan yang lain cedera. Ada juga yang ditangkap dan dikurung hingga ke hari ini.
Peristiwa itu sungguh menyayatkan hati umat Islam. Peristiwa itu juga mengejutkan umat Islam bukan saja di Thailand tetapi di seluruh dunia. Ia dianggap sebagai satu ikon kezaliman tentera Thai terhadap orang Islam! Lantaran tragedi yang dianggap sadis dan kejam itu juga dalam sekelip mata saja masjid itu dikenali di seluruh dunia.
Menurut kata Che Husin yang sentiasa berada di masjid berkenaan setiap hari hari masjid itu dikunjungi oleh penziarah. Katanya ada-ada saja pengunjung yang masuk bersembahyang atau melihat-lihatnya. Beliau yang juga merupakan ahli jawatankuasa masjid berkenaan bertanggungjawab menjaga kelestariannya bersedia bila-bila masa untuk mengisahkan masjid berkenaan kepada setiap pengunjung yang mampir di masjid penuh bersejarah dan menjadi ikon kehebatan Islam di Patani itu.
Selain daripada misteri dan keunitkan itu menurut Che Husin masjid itu pernah disinggahi oleh Hang Tuah iaini pahlawan terbilang Melaka. [wm.kl 4:45 pm 03/09/09]
1 comment:
salam hormat !
Jika masjid disini pun ada masallah antara siap dengan tidak, antara masjid kerajaan dengan masjid rakyat,selagi ada konflik campur tangan politik dalam menentukan diskriminasi,maka apatah lagi kesannya disana (krisek)yang berada disebuah kerajan siam bukan islam.
walau bagaimana pun mungkin umat islam disini memerlukan seorang duta untuk mencetuskan perhubungan dua hala bagi mendapatkan kata sepakat atau penyelesaian di G to G...fikir fikir kan !
Post a Comment