Sunday, June 12, 2011

Susupan Malam

Kabinet Hadi Laksana:
Kereta Baru Driver Lama


PETANG Abdul Hadi Awang telah melengkapkan barisan kabinetnya untuk dua tahun lagi. Sudah pasti pembentukan barisan kabinet itu mengambil kira kepada keperluan untuk menghadapi pilihan raya akan datang dan juga sebagai bingkas kepada kehendak muktamar yang baru lalu.

Sebelum barisan kabinet itu diumum ramai yang membuat telahan tetapi tidak berani untuk menulisnya. Saya sendiri telah menulis barisan kabinet menurut pandangan saya, yang saya rasa lebih relevan dengan barisan kabinet sudah diumumkan itu. Kebinet yang saya bayangkan adalah kombinasi kepada dua golongan dalam Pas dan untuk tidak membuka ruang kepada musuh menterjemahkan bahawa Pas memang berpuak.

Juga sebagai seorang pemerhati dan melihat dengan adil, (seboleh-bolehnya) kabinet yang saya bayangkan itu tidak bias - berat sebelah sebaliknya ia lebih kepada penyatuan atau pun kabinet pengukuhan Pas yang kini diterjemahkan dengan berbagai versi baik oleh Umno atau kalangan Pas sendiri. Itu yang saya cuba ketengahkan tetapi sayang tidak ternampak oleh Presiden, timbalan dan naib-naib presiden.

Memerhati kepada pembentukkan kabinet hari ini menjelaskan Abdul Hadi Awang tidak menggunakan kedudukan kuasa prerogatif sebagai presiden sepenuhnya sebaliknya masih menggunakan khidmat konsultan dalam membentuk kabinetnya. Pada saya pembentukan itu masih berbau rakan dan mundir politiknya, Mustapa Ali.

Ada dua faktor yang saya nampak kenapa ia berbau Mustapa Ali. Pertama, Abdul Hadi masih mengekalkan Mustapa sebagai setiausaha agung. Kedua mengekalkan Abdul Halim Abdul Rahman dalam Dewan Harian Pas dengan melantiknya sebagai Bendahari untuk kali kedua.

Pertukaran Pengerusi JPP kepada Dr Mohd Hatta Ramli dikira cocok, walaupun tokoh yang sesuai untuk menggerakan armada perang Pas ini ialah seorang strategis seperti Husam Musa. Tetapi tidak mengapa kerana umum tahu hubungan Husam dengan Dr Hatta, jawatan itu masih boleh digerakan. Kedua mereka boleh duduk sekali berfikir dan menjana JPP untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang. Sebelum ini pun mereka bekerja secara teamwork.

Sudah tentu bila Hatta duduk di situ beliau akan melantik orang yang dikenal pasti dapat mengatur dan menyusun strategi bagaimana untuk memperkuatkan JPP. Tidak kurang juga orang yang boleh menjana kewangan untuk parti kerana pilihan raya memerlukan wang yang bukan sedikit. Mungkin Dr Zulkefli Ahmad bekas Pengarah Stategi Pas akan digunapakai oleh Dr Hatta. Dan kalau Dr Hatta tidak terikut emosi mungkin dia juga boleh melantik Dr Hasan Ali, yang digugurkan sebagai Pesuruhjaya Selangor setidak-tidaknya untuk dijadikan pakar motivator dalam JPP. Kena ingat Hassan seorang pakar pengurusan dan banyak pengalaman dalam aspek itu.

Bersabit pengguran Hasan ini saya lihat Abdul Hadi cuba meredakan pertemburan di antara Hasan dengan Khalid Samad. Niat itu memang tepat, tetapi apakah Hadi sudah menimbang dan mengira mana yang lebih banyak untungnya dengan Hasan dikekal dengan Hasan dilucutkan dari jawatan itu? Saya berdoa Abdul Hadi telah mengambil kira ini semua. Tetapi adalah malang kalau pertukran Pesuruhjaya Selangor itu dibuat atas nasihat Mustapa Ali yang dikatakan bermasalah dengan Hasan Ali. Mereka ini bin saja sama, tetapi tidak sekata dalam polisi politik.

Tetapi apabila Abdul Halim diletakkan sebagai menggantikan Dr Hatta sebagai Bendahari, saya tidak faham untuk apa dan apa logiknya. Kalau dia dipecat dari jawatan itu kerana tidak perform kenapa pula dia diambil untuk menjana kewangan Pas? Di sinilah saya merasakan Abdul Hadi tidak membuat istikharah atau pun membuka kitab tajul mulut terlebih dahulu.

Justeru pada saya perlantikan Abdul Halim itu tidak ada sebab dan alasan lain melainkan kerana untuk dijadikan regu veteran didalam Pas saja. Atau pun untuk menggunakan pakai idea dan pengalamannya. Pemilihan Abdul Halim itu tentu bukan atas pandangan Abdul Hadi sendiri melainkan ia adalah atas nasihat Mustapa Ali. Timbul juga persoalan di sini apakah pengekekalan Abdul Halim itu kerana disebabkan ada agenda di antara mereka berdua? Ada desas desus kedengaran sebelum ini ada usaha membawa Abdul Halim balik bertanding di kerusi state semula pada pilihan raya akan datang bagi mengganti Tok Guru Nik Aziz sebagai MB?

Saya akan ulas semula berhubung kewujudan Tiga Abdul yang dikatakan cuba untuk menguak kembali di Kelantan. Perlu diingat hubungan Mustapa Ali dengan Abdul Halim bukan baru, jadi mereka saling perlu memerlu di antara satu sama lain untuk dijadikan pembela bila berdepan dengan masalah khasnya dalam Dewan Harian. Dalam hal ini apa yang saya nampak Mustapa memerlukan sokongan Back Bancher dalam Dewan Harian. Jelas kalau perlantikan ini dibuat ia diambil bukan atas kepentingan parti tetapi kepentingan peribadi. Perlantikan berdasarkan kehendak individu sesuatu yang salah.

Nasib baik saya tidak jadi Mustapa dan Abdul Halim. Kalau saya jadi mereka, saya sudah tinggalkan parti kepada anak-anak muda yang jauh lebih berketrampilan dan lebih 'casligas' daripada orang lama seperti mereka berdua. Apa yang baik dilakukan mereka berdua hanya sebagai penasihat saja.

Era politik masa kini sudah tidak relevan dengan corak dan stail politik mereka. Musim dan era mereka sudah pun berlalu sejak 10 tahun lalu. Pada saya kenapa Terengganu tewas antara faktor ialah kerana orang-orang maca Mustapa Ali masih kekal dan berperanan di Terengganu. Perasaan syok sendiri inilah kadang-kadang menyebabkan kita akan jatuh tergolek macam Mat Jenin.

Apabila Mustapa Ali dikekalkan sebagai setiausaha dan Abdul Halim sebagai Bendahari (sudah dua kali pegang), maka nampak sangat kabinet Abdul Hadi tidak memenuhi kehendak golongan muda sepenuhnya. Perlantikan mereka dua ini menyebabkan Pas masih lagi berada di takah lama. Anjakan paradigama yang diharapkan tidak akan berlaku secara meluas dan besar. Saya mengira ia tidak mememuaskan kehendak naluri anak muda seperti mana yang dibayangkan dalam muktamar yang lepas.

Perlantikan bergilir-gilir itu juga seolah Pas kehabisan dan ketandusan calon muda yang lebih berwibawa. Kalau tidak salah saya sebelum ini jawatan Bendahari pernah dipegang oleh Mustapa Ali. Putaran atau pengiliran ini menampakkan Pas miskin dengan tokoh dan sekaligus ia juga menyebabkan mereka yang terasa layak memegang jawatan itu tidak dipedulikan.

Walhasil pada saya dengan kabinet yang baru ini tidak membawa Pas jauh ke depan seperti mana diharapkan. Apakah perlantikan mereka itu untuk menjadi pemangkin kepada Melayu dalam Pas? Mungkin begitu alasan yang diberikan. Dan kalau sebelum ini muktamar berkeras menolak kerjasama Pas dengan Umno dengan menjadikan Nasharudin Mat Isa atau Dr Hassan Ali sebagai kambing hitam, maka kambing hitam itu sebenarnya masih ada lagi. Orangnya ialah Mustapa Ali dan Abdul Halim.

Terus terang saya sebutkan mereka adalah antara jururunding yang atau orang yang masih berkepercayaan bahawa Pas perlu mendekati Umno! (Catatan bila saya tulis ini bukan bermakna saya menentang pandangan mereka).

Jadi kerana mata sudah mengantuk saya nak simpulkan kabinet dibentuk Abdul Hadi ini begini; kabinet Abdul Hadi tidak ubah seperti sebuah kereta baru tetapi pemandunya orang lama. Jadi kerana pemandunya orang lama segala macam peralatan canggih yang ada pada kereta itu tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Ini termasuklah untuk menggunapakai GPS.

Tenguklah driver veteran bawa kereta, bila mereka nak masuk ke kanan, mereka akan buka cermin dan melewa-lewakan tangannya, walhal signal sudah pun bernyala lip..lip...lip. [wm.kl.9:30 pm 12/06/11]

4 comments:

faizalzainol said...

saya setuju dgn pandangan ini, sewajarnya Dato Pa dan Ustaz Abdul Halim direhatkan.

SU Agung dan Bendahari Agung diharapkan dilantik dikalangan anak muda,

saya harap Dato Pa dan Ustaz Abdul Halim "BERANI" menolak jawatan tersebut sepertimana yang dilakukan oleh Chegu Bard yang menolak jawatan Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN yang diamanahkan kepadanya.

ibnmustaffa said...

Hamba orang muda baru 35 tahun. tetapi hamba setuju dgn kabinet baru ini. Atas kapasiti apa mengatakan org muda hendakkan org muda pegang jawatan?

Atau Tuan MSO hanya tembak sembrono menggunakan org muda utk menguatkan hujah tuan....?

mohd sayuti omar said...

Seorang diri kita tidak boleh mewakili seribu yang lain. Saya membuat pandangan itu berpandukan kepada semangat yang ditunjukkan dalam muktamar lepas. Ada kalanya kita taksub kepada seseorang, atau kebetulan waris kita pegang jawatan maka kita sokong walaupun ia sudah tidak relevan.
Bagaimana pun kita bebas memberi pandangan mengikut ilmu dan pengalaman kita. Tidak semestinya padangan saya diterima apabila saya menyuarakan sesuatu. yang berhak menerima dan memilih ialah orang Pas sendiri. Walahualam.

KASIHCIKGU said...

ana antara anak muda yg kecewa bila melihat nama Cikgu Pa masih tersenarai di posisi yg amat penting...jawatan SU mesti org yg ganteng...SU kadang-kadang lebih besar atau lebih penting peranannya daripada Presiden...SU mestilah orang yang mudah ditegur atau diarah oleh Presiden...bukan kawan yang selalu duduk minum kopi semeja pagi dan petang...