Wednesday, February 15, 2012

Citra Perjalanan 1

Peneroka Paloh Dahagakan Geran

Malam tadi letih sangat. Balik dari Klang terus tumbangkan badan dan tidur hingga rapat ke Subuh. Selepas menyubuhi Tuhan bangun sekejap kemudian sambung (qodha) tidur sampai jam 10:00 pagi. Ini pun tubuh masih mumai. Bila tersedar rasa bersalah dengan penjengok sebab semalam janji hendak posting catatan perjalanan seharian kelmarin.

InsyaAllah saya akan cuba memenuhi janji semalam yang saya rasa tidak berdosa kalau pun saya tidak tunaikan! Kenapa tidak.. saya berjanji sendiri dengan blog saya sendiri yang hanya dikongsi baca oleh penjengok budiman. Saya faham penjengok tidak akan menuntut lebih dari apa yang sepatut mereka dapat lakukan kerana semuanya percuma.

Di mana saya hendak mulakan catatan ini? Biar saya ambil dari peristiwa bertemu mesra dengan peneroka Kedar Paloh 1, - Paloh ialah termasuk dalam kawasan Kesedar - Pembangunan Kemajuan Kelantan Selatan. Sebagai kawasan Kesedar ia merupakan kawasan peliharaan kerajaan. Kesedar samalah dengan Felda yang mahu menjadikan penerokanya sebagai lembu gemuk atau ayam daging. Adapun pengerusi Kesedar waktu ini ialah bekas wakil rakyat Dabong (BN) Ramzi Abdul Rahman.

Kebanyakan mereka yang dibawa masuk ke tanah rancangan ini pemuda yang datang dari berbagai daerah dan jajahan. Mereka diberikan tanah seluas kira-kira 10 ekar seorang. Kerajaan hanya menyediakan kemudahan asas dan infrastruktur lain untuk membantu mereka. Itu sajalah asasnya, yang lain disedia dan diusahakan sendiri oleh peneroka yang kebanyakan masih berliawan.

Apa masalahnya di sini? Masalahnya sama seperti di kawasan Felda lain mengenai hak milik tanah yang mereka usahakan. Saya sendiri tidak tahu kalau mereka rata-rata masih belum mendapat hak milik tetap walaupun sudah menjadi peneroka selama 30 tahun. Terdapat lebih 1,200 peneroka di Kesedar Paloh belum menerima geran hak milik masing-masing.

Dari jumlah itu hanya 70 orang sahaja yang menerima geran hak milik sementara mereka yang lain tidak menerima. Pemberian ini berlaku ketika Tengku Razaleigh Hamzah memimpin parti Semangat 46. Selepas itu tidak ada upacara pemberian geran tanah kepada peneroka secara besar-besaran melainkan kelompok-kelompok kecil di zaman Nik Aziz ini.

Inilah masalah mereka, soal untuk mendapatkan status hak milik.

Petang itu bertempat di rumah seorang peneroka di Paloh 1, berhimpunlah kira-kira 50 orang peneroka yang datang dari berbagai kawasan atau blok. Mereka datang kerana ingin mencari jalan penyelesaian untuk menyelesaikan masalah mereka. Dalam perkiraan saya mereka kebanyakannya merupakan kepala atau wakil-wakil peneroka yang diharap mengatasi masalah mereka.

Kebetulan dua orang wakil rakyat berada di Gua Musang yang dalam rangka mengadakan ekspedisi ke kawasan Orang Asli, mengetahui akan ada 'himpinan' kecil itu jadi mereka dijemput ikut sama datang untuk mendengar permasalahannya. Adun itu ialah Drs Zainuddin Awang Hamat (Limbongan) dan Omar Mohamad (Perupok). Zainuddin dikenali sebagai wakil rakyat 'penjalan malam' yang menjelajahi segenap pelusuk daerah untuk menngenali masalah orang miskin.

Kehadiran Zainuddin dan Omar sesuatu yang bertuah kepada mereka. Kedatangan secara tiba-tiba dan diluar jangkaan itulah yang mereka selaku rakyat inginkan. Tidak payah diadakan majlis ataupun sembelih lembu, acara tari menari, seweng dan sebagainya tiba-tiba datang itulah dikatakan wakil rakyat prihatin dan mengambil berat masalah rakyat.

Wakil Rakyat yang cakna bukan akan bertindak selepas rakyat mengadu tetapi akan bertindak sebaik saja tahu mengenai sesuatu perkara. Sikap dan fiil beginilah yang perlu dipelajar dan ditekuni oleh wakil rakyat khasnya wakil Gual Periok, Ahmad Awang.

Segala masalah mereka diluah semahunya petang itu. Kedua orang wakil rakyat itu mendengar dengan penuh prihatin dan simpati. Kebetulan Omar pernah menjadi Exco dan menduduki jawatankuasa tanah negeri. Jadi faham sangatlah permasalahan dihadapi oleh peneroka itu.

Antara keluhan para peneroka Paloh itu ialah kenapa sukar sangat untuk berikan geran hak milik kepada mereka. Sudah 30 tahun mereka menjadi peneroka di mana kelewatan melampau itu tidak sepatutnya berlaku. Apa yang malang sekali ada antara peneroka yang disingkir oleh pihak berkuasa Kesedar kerana melakukan kesalahan-kesalahan kecil seperti tidak menyatakan kesetiaan kepada Umno. Tindakan penyingkiran ini juga satu kezalaiman yang sedang dipertahankan oleh peneroka Kesedar. Khabarnya sudah ada satu kes akan dibawa ke mahkamah kerana penyingkiran.

Dalam pada itu berbagai janji telah diberikan kepada mereka. Setiap kali menjelang pilihan raya, janji-janji sama ditaburkan kepada mereka. "Kami sudah 'lugal' dengan janji-janji begini," begitu celah seorang peneroka yang duduk tersudut dari belakang penuh sinikal. Mulanya dia mendiamkan diri saja tetapi akhirnya bersuara juga kerana sudah tidak tahan menanggung permasalahan itu.

"Mari seorang insyaAllah... mari dua insyaAllah... itulah janjinya...tetapi semuanya tidak menjadi, hanya insyaAllah insyaAllah saja. Yang mari bukan saja yang pakai songkok, pakai topi, tei, yang pakai kopiah juga datang berjanji...," curah salah seorang peneroka yang dianggap gedebe secara berterus terang. Dia juga mengakui penyokong kuat Tengku Razaleigh Hamzah.

Mendengar segala rintihan itu menimbulkan simpati di dalam hati. Kesian... apa lagi melihat kepada wajah-wajah mereka yang menggambarkan betapa peritnya mereka menjadi peneroka untu mendapatkan sejuring tanah. Peneroka yang dibawa masuk ke Kesedar awal tahun 79-an dan 80-an dulu bukan seistimewa peneroka dalam Felda yang disediakan segala macam kemudahan asas dan juga wang elaun. Mereka di Kesedar hanya dibekalkan parang, cangkul dan golok sahaja di samping berbekalkan seumpit beras, ikan kering dan garam.

Mereka ditanda kawasan dan membangun sendiri dengan kudrat dan iradatnya. Pemberian tanah oleh kerajaan Pas di zaman Mohd Asri Muda (Allahyarham) semua sudah selesai apabila mereka mendapat geran hak milik. Malangnya peneroka di dalam kawasan Kesedar yang dikuasai oleh pentadbiran UBN sampai kini tidak diselesaikan.

Saya masih ingat Rais Yatim sewaktu menjadi Menteri Tanah satu masa dulu memuji dengan sikap peneroka Kesedar. Dia kagum dan meminta peneroka lain mencontohi semangat peneroka Kesedar yang berdikari tanpa mengharap bantuan kerajaan membangunkan tanah masing-masing.

Malang sekali pujian dan kebangaan itu tidak ke mana bila mana hak mereka untuk mendapat gerak hak milik masih belum tertunai sampai kini. Seolah-olah kegigihan peneroka Kesedar itu tidak mendapat apa-apa pengikhtiaraf pun.

Pertemuan petang itu mungkin memberi sedikit kelegaan kepada mereka. Kedua wakil rakyat, Zainddin dan Omar meminta mereka menyediakan segala dokumen mengenai tuntutan mereka dan surat menyurat berkaitan. Peneroka harus sepakat membuat tuntutan menerusi saluran-saluran yang munasabah. Kerajaan negeri kata mereka tidak ada masalah kerana menjadi dasar pemerintah Pas Kelantan di bawah Tok Guru Nik Aziz akan memberi hak milik kepada mereka yang berhak.

"Saya rasa ini tidak ada masalah, tuan-tuan boleh menyediakan segala dokumen dan bawa ke peringkatan atasan. Saya jamin kalau tidak ada masalah-masalah lain dan tanah yang tuan-tuan usahakan kini hak tuan-tuan tidak ada sebab kerajaan tidak boleh berikan geran," ujar Omar lagi sambil menambah dengan mengatakan sokongan ke atas tindakan peneroka itu.

Dalam pada itu apa yang menjadi masalah dan penyerahan geran itu tertangguh sebelum ini mungkin kerana ada pihak tertentu yang sengaja tidak mahu menyegerakan penyerahan geran hak milik itu kerana motif-motif politik tertentu. Kalau tidak ada halangan ini mungkin semua para peneroka yang sudah kesekian lama menerokai itu sudah mendapat geran hak milik.

Menurut Omar ada juga pendapat pihak tertentu yang tidak mahu menyerahkan geran hak milik atau melewat-lewatkan kerana untuk dijadikan umpan politik. Tindakan seperti itu katanya bukan menjadi dasar kerajaan Pas Kelantan. Ujarnya Tok Guru selalu mengatakan dan mengharap setiap masalah rakyat sekecil mana pun perlu diselesaikan.

Secara peribadi saya sangat berharap semoga masalah dihadapi peneroka Kesedar di Paloh itu dapat diselesaikan. Hak milik mereka tidak perlu dilengahkan. Berikan hak mereka dengan sewajarnya. Paling menyedihkan juga katanya sebelum ini peneroka telah diberi geran hak milik palsu kerana semata-mata mengharapkan sokongan politik. Usahlah permainkan sebegitu sekali kerana mereka ada rakyat marhain yang suci dan jujur.

Bagi peneroka geran hak milik adalah sebagai pengikhitaraf buat mereka selama bertungkus lumus membuka tanah hutan untuk membangunkan sosial budaya mereka. Kandati pun mereka kini sudah menduduki tanah masing-masing dan sampai yang sudah ada cucu namun mata mereka tidak akan terpejam rapat kalau mati sebelum geran hak milik tidak diserahkan kepada mereka. Janganlah pula kerajaan Pas yang kini sudah memerintah selama 21 tahun juga terlepas untuk memberesi tanggungjawab ini. [wm.kl.11:35 am 15/02/12]
Post a Comment