Rushdan Mustafa Dan Anak Muda
Untuk berbakti kepada masyarakat setempat dan mengawal anak-anak muda supaya tidak membuang masa tanpa tentu hala seseorang itu tidak memerlukan jawatan dan kedudukan, tetapi cukup kalau seseorang itu mempunyai daya keprihatinan serta iltizam untuk membantu dan berkhidmat kepada masyarakat.
Jawatan dan kedudukan seperti penghulu, imam dan wakil rakyat hanya nilai tambah sahaja kepada nawaitu untuk melakukan sesuatu yang baik itu. Kandati mereka mempunyai kedudukan dan kuasa itu kalau tidak ada semangat dan jiwa prihatin yang tinggi ia tidak sedikitpun memberi apa-apa faedah. Sebab itu kebanyakan wakil rakyat tidak berperanan seoptimunnya kepada rakyat dan asyik ‘membesarkan tubuh’ saja atau sambung selasar rumah.
Yang penting ialah seseorang itu perlu memiliki daya kreatif serta semangat untuk membantu masyarakat setempat. Misalnya apa yang dilakukan oleh kawan saya sdr Rushdan Mustafa, 49 seorang aktivis masyarakat setempat, membuktikan jawatan dan pangkat bukan segala-galanya. Ternyata tanpa jawatan itu beliau berjaya melaksanakan tanggungjawab dan tugasnya sebagai seorang hamba Allah dan Umar Abdul Aziz kecil.
Lama saya memerhati insan yang bertubuh kecil molek ini dalam membantu dan mempedulikan masyarakat setempatnya. Walaupun tanpa memiliki jawatan dan kedudukan dalam parti politik yang selalu dilihat ruang terbaik untuk berbakti kepada masyarakat setempat, namun beliau tetap dapat menabur budinya tanpa menghadapi kesulitan.
Tanpa riuh randah dia bergerak sendiri secara kecil-kecilan membantu masyarakat di sekitar kampung dan kawasannya yang mencakupi tiga Dun, Bukit Tuku, Gual Periok dan Meranti. Pantang ada masyarakat susah, sakit akan diziarahinya.
Di musim banjir dia akan menghulurkan bantuan kepada mangsa tanpa mengira siapa. Di bulan puasa dia akan membahagi-bahagikan juadah dan keperluan raya kepada si miskin. Dibulan as-asyura pula dibuat bubur asyura dan dibahagi-bahagikan kepada orang ramai.
Anak-anak sekolah yang keciciran akan dibantu. Yang gagal untuk mendapat tempat di IPTA akan ditolong dan diusahakan sehingga berjaya memasuki ke pusat pengajian itu. Pendeknya tugas dan khidmat beliau mengatasi kemampuan dan daya seorang wakil rakyat.
Anak kelahiran Lubuk Jong yang berkelulusan Pengajian Polis Sosial Asia Tenggara dari Universiti Malaya ini juga saya tenguk seorang yang kreatif dan mempunyai wisdom tersendiri. Ada-ada sahaja idea bagaimana untuk memanfaatkan tenaga manusia untuk kebaikan atau pun mengawal kehidupan remaja agar tidak meliar.
Baru-baru ini dia telah menganjurkan pertandingan futsal di kalangan remaja di Rantau Panjang. Majlis itu dianjurkan bersama group Fb yang dikendalinya Suara Anak Muda Rantau Panjang (SAMRP) di mana dia sebagai salah seorang pengendalinya. Lucu saya melihat hadiah yang diberikan kepada pemenang, kambing dan ayam untuk tempat pertama dan kedua.
Biarpun hanya itu nilai dan bentuk hadiahnya, kaum remaja yang terlibat tidak kisah. Mereka seronok dan gembira dengan hadiah yang disediakan. Bagi mereka bukan hadiah tetapi yang penting festa itu menjadi wadah untuk bersatu dan mengeratkan hubungan sesama mereka. Yang penting buat anak-anak muda mereka dipedulikan dan dihiraukan dan kegiatan itu mengalpakan mereka kepada kegiatan tidak bermoral lain.
Khabarnya sebanyak lima pasukan turut berentap dalam festa futsal yang berlangsung di gelanggang futsal di Lubuk Jong. Saya yakin selepas ini, usaha kecil yang penuh bermakna itu akan ditiru dan diceduk oleh kumpulan-kumpulan atau pemimpin lain termasuk parti politik. Tidak menjadi masalah sesuatu yang baik perlu ditiru dan dikembangkan. Yang penting idea dan framenya sudah ada.
Melihat kerajinan Rushdan ini saya rasanya pihak-pihak tertentu termasuk agensi kerajaan perlu membantu beliau memberi apa-apa bantuan dan kemudahan. Atau pun kalau tidak sokongan moral dan suntikan semangat hendaklah berterusan. Group SAM RP boleh dijadikan gelanggang menjalinkan silaaturahim dan mengeratkan kerjasama setempat.
Masyarakat khasnya yang masih bergelumang dengan suasana kampung dan pekan memerlukan orang seperti beliau yang mampu menetaskan idea yang dinamik untuk melakukan perubahan kepada masyarakat setempat. Uniknya juga Rusdhan ini beliau boleh mendekati dan mesra dengan semua orang tanpa mengira simbol parti.
Syabas dari saya untuk Rushdan dan seluruh anak-anak muda yang bergabung dalam SAM Rantau Panjang. Usaha dilakukan oleh bekas Timbalan Ketua Umno yang kini menjadi ahli Pas dan pernah menjadi Ketua Penerangan Pas Rantau Panjang ini sesuatu tugas dan aktiviti yang mulia dan wajar disokong. [wm.kl.7:37 pm 28/02/12]
No comments:
Post a Comment