Wan Ismail Perlu Berundur Demi Maruah Parti
Baru-baru ini saya ada mengupas sedikit mengenai peluang Pas di Dun Gual Periok, Rantau Panjang dalam pilihan raya umum akan datang. Dalam makrifat saya kerusi itu akan terlepas kepada BN sekiranya Pas masih mengekalkan wakil rakyatnya hari ini Ahmad Awang dan kalau tidak menggantikan dengan calon yang lebih berwibawa. Untuk mempertahankan kerusi Gual Periok tidak cukup dengan title al-ustaz.
Sebab-sebab kenapa saya mengatakan begitu sudah dijelaskan, tidak perlu ditambah kerana kalau ditambah menurunkan kelemahan Ahmad menyebabkan orang boleh pengsan.
Prestasi Ahmad Awang selaku wakil rakyat mengecewakan. Saya mengutip banyak pertuturan orang di Gual Periok termasuk di kampung saya sendiri rata-rata mengatakan kehampaan dengan khdimat anak 'tok bageh' ini.
Catatan dan kupasan itu tidak menyenangkan sesetengah pihak khasnya yang hidup dengan mengutip sesen dua dari Ahmad atau yang rasa enak dengan belanja ikan singang kurang masin. Ahmad juga khabarnya kurang senang dengan kritikan saya itu dan menanti kepulangan saya. Menurut seorang wakil rakyat, (jika benar) secara berseloroh Ahmad Awang memberi tahunya; kalau jumpa dengannya... ana akan tumbuk - tumbuk MSO. Aduh!
Di sini saya hendak nukilkan seorang lagi wakil rakyat yang Pas perlu gugurkan kalau hendak kekalkan jumlah kerusi yang Pas miliki kini sebanyak 38 kerusi. Kalau Pas terus kekalkan wakil rakyat ini dan malu untuk mengambil tindakan kerana gara-gara dia Yang Dipertua Pas Kawasan, Pas bersiaplah untuk kalah dan kehilangan satu lagi kerusi berharga. Pada saya malu alah berkenaan tidak berapa kena tempat.
Wakil rakyat yang saya maksud itu ialah Wan Ismail Wan Jusoh, Adun Melor. Wan Ismail hari ini dalam keadaan uzur dan sudah tidak larat hendak angkat betis lagi. Berjalan pun 'poling poting' macam ayam kena langgar basikal. Tidak berapa tasa. Banyak program parti terpaksa dilupakan walaupun semangatnya masih ada. Sekejap ok sekejap tidak ok. Hospital sudah menjadi rumah pertamanya sejak lebih dua tahun lalu.
Tubuh Wan Ismail sudah serah sangat tidak seperti dulu. Matanya juga ada kalanya putih adakala berwarna kuning. Dia dipercayai mengalami penyakit 'dalaman' seakan-akan dibuat orang. Pernah muntah darah semasa menunaikan Haji di Makkah. Kejadian di Makkah itulah yang membawa berkeadaan tidak berapa sihat sehingga hari ini.
Kerana menyedari keadaan dirinya yang uzur dan tidak berapa tasa itu, dia pernah menyuarakan kepada saya yang dia sudah tidak mahu aktif lagi. Katanya dia sudah menyelesaikan tanggungjawab dengan rakyat di Melor dan bersedia untuk berundur.
"Ana sudah selesaikan dengan rakyat ana di Melor, dan pengganti juga sudah ada," begitulah tuturnya ketika saya menziarahi beliau di hospital HUSM Kota Bharu suatu malam. Sungguh lega saya mendengar luahan itu yang saya rasakan sangat wajar dan keputusan tepat itu dari seorang wakil rakyat yang insaf.
Bukan kerana keadaan dirinya yang tidak begitu kondusif untuk menghadapi pilihan raya, beberapa kes peribadi yang menimpa Wan Ismail juga akan menjadi liabiliti kepadanya. Isu tuntutan talak oleh bekas isterinya (perempuan Kemboja) sudah pasti akan diheret ke dalam pilihan raya kalau dia jadi calon. Keratan akhbar mengenai pertelingkahan itu pasti akan disebar seluasnya dalam masa berkempen kelak.
Tuduhan katanya dia kaya raya memiliki hartanah bernilai jutaan ringgit juga akan diesksploitasi secukupnya kalau dia jadi calon.
Walaupun itu tuduhan tetapi itulah yang sedang 'digumba' oleh musuh-musuh politiknya di Melor. Tuduhan itu bukan mudah untuk diperlepas kerana ia sudah menjadi pengetahuan umum. Masa ini orang tidak akan berbicara tetapi sebaik beliau dicalonkan semula semua akan keluar termasuk cerita-cerita dalam kain pelikat.
Selain itu Tok Guru Nik Aziz juga menyedari akan ketidakupayaan Wan Ismail itu dan perlunya Wan Ismail dirihatkan. Satu masa sudah seakan pasti Wan Ismail tidak mungkin akan dicalonkan lagi. Terdengar cerita Tok Guru juga pernah memberi mesej agar Wan Ismail sedia untuk diundurkan.
Bagaimana pun perkembangan ke belakangan ini nampaknya lain pula bunyinya. Wan Ismail tiba-tiba jadi bersemangat dan sanggup 'menginsut' untuk hadir ke tempat-tempat ceramah. Di mana saja ada majlis politik beliau akan hadir menampak diri dan mempamirkan yang beliau sudah sihat. Pantang ada majlis anak-anak Kelantan di Kuala Lumpur beliau akan berusaha menghadirkan diri. Baguslah kalau bekas timbalan speaker ini sihat kerana itu doa seluruh ahli Pas.
Tetapi saya tetap merasakan kesihatan itu tidak akan banyak membantu untuk beliau menang pada pilihan raya Dun Melor dalam PRU ke 13 nanti. Masalah peribadi yang diecerkan mengenainya akan mengatasi soal kesihatan itu.
Justeru bagi saya elok kalau Wan Ismail kembali semula kepada keputusan asal untuk berundur dan menyerahkan kerusi Melor kepada orang baru yang lebih berwibawa, bersemangat dan bersih dan suci dari segala dosa-dosa politik. Tidak usahlah 'bertemooh' sangat dan serah tanggungjawab kepada ummah. Tidak ada guna menjadi pemimpin kalau kita tidak dapat memberi sumbangan dan membantu rakyat kerana keadaan tubuh badan kita tidak sihat.
Jika Sultan Sultan Ismail pun rela 'turun takhta' kerana kesihatan apa lagi dengan Wan Ismail atau mana-mana wakil rakyat sewaktu dengannya. Alasan dengan menggunakan kerusi roda pun boleh pergi ke tempat pernamaan calon rasanya tidak relevan.
Paling baik dan afdal bagi Wan Ismail untuk beliau melepaskan angin dalam pilihan raya nanti, boleh dilantik beliau menjadi wakil calon atau pun penyokong dalam kertas pencalonan. Cara itulah paling bijak dan Wan Ismail akan terus disanjung rakyat.
Pencapaian politik Wan Ismail, beliau pernah kalah tipis dalam pilihan raya 2004 di Melor. Beliau memenangi kerusi itu pada tahun 1999 dan 2008. Beliau juga pernah dilantik menjadi timbalan speaker Dun Kelantan dan pernah memegang jawatan Setiausaha Badan Perhubungan Pas.
Semasa beliau memegang jawatan inilah menyerlahkan nafsu besarnya untuk menguasai politik Kelantan. Beliau didakwa orang bertanggungjawab mencatur calon-calon Pas pada tahun 2004 yang mana hasilnya Pas tewas hampir-hampir kehilangan kerajaan negeri. Pun begitu saya rasa tidak adil kalau kekalahan itu hanya diletakkan atas bahu Wan Ismail. Bahagian kedua siapakah layak ganti tempat Wan Ismail. [wm.kl.11:40 am 22/02/12]
No comments:
Post a Comment