Demi Selamatkan Kerusi Gual Periok
Ahmad Awang Perlu Ditukar
Setiap kali saya balik kampung bila berjumpa rakan dan orang kampung mereka tidak habis-habis menceritakan fasal wakil rakyat Gual Periok, Ahmad Awang. Semua cerita yang saya dengar semuanya negatif dan memedihkan anak telinga.
Seorang anak muda yang ada hubungan kekeluarga dengan YB itu menyebut kepada saya katanya; kalau boleh abang Ti tukarlah tok wakil hak ada la ni. Kalau tak tukar berat Pas nak menang". Saya bertanya kepada anak muda itu wakil rakyat hak mana state ke parlimen? Jawabnya state - Ustaz Mat. Saya sikit terkejut dan tanya kenapa?
Saya mengira mungkin suara itu hanya suara terpencil yang tidak berpuas hati dengan Ustaz Mat. Tetapi rupanya tidak, bila masuk ke kedai kopi, pasar besar Rantau Panjang atau pun di tempat kenduri kendara, pasti ada yang bertanya atau merintih, minta supaya Pas tukar wakil rakyat. Bila saya tanya kenapa? Mereka akan jawab ustaz Mat lemah. Lemah lagu mana? Lemah tenaga batin ke, gurau saya.
Semua kata dia tidak peduli kepada rakyat. Segala aduan didengar umpama masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri. Dia juga tidak ada wawasan untuk memaju atau merupakan kawasan yang diwakilinya. Peranannya sebagai wakil rakyat jauh lebih rendah daripada Tok Penghulu! Tidak ada umpph.
Yang bertanya dan meminta agar Ahmad ditukar bukan orang Umno atau orang atas pagar tetapi semuanya penyokong dan ahli Pas dan termasuk sanak saudara sendiri. Yang saya tengok semasa pilihan raya, mereka inilah 'bercawat kotel' panjat pokok untuk tampal gambar bulan dan gambar calon Ahmad.
Tidak tahu macam mana pula pandangan orang Umno. Atau Umno suka kalau Ahmad terus menjadi calon kerana ia tidak memberi tekanan berat kepadanya. Mungkin juga boleh jadi sebagai musuh Umno tidak akan membuat ralat kalau ada apa-apa kesalahan dan membiarkan kesalahan itu kerana ia memberi kelabaan kepadanya.
Sebenarnya saya malas untuk bercerita mengenai wakil rakyat ini. Saya mengenalinya bukan sejak setahun dua ini, tetapi sejak tahun 60-an lagi. Kenal betul. Bukan saja adik beradiknya tetapi tok nying dia pun saya kenal. Begitu juga dengan fiil dan perangainya, bukan setakat dia... tetapi fiil tok nying dia juga saya tahu kerana menjadi buah mulut orang kampung, kalangan sanak saudara mara sendiri. (Bukan sifat huduh tetapi sifat peribadi).
Banyak kalau hendak bilang kelemahan dan kecatatan Ahmad Awang. Paling besar ialah dia menyerahkan tugasnya kepada satu orang sahaja. Dia percaya sangat percaya kepada orang yang memikul tanggungjawab menjadi pembantu peribadinya. Ada kesilapan kalau diberi tahu kepadanya untuk diperbaiki tidak dihiraukan. Dia bersikap membela pembantunya. Terlalu mempercayai pembantunya kandati apa yang dilakukan memberi imej buruk kepadanya.
Sebahagian besar pengundi yang merungut mengenai masalah Ahmad, ialah kerana tidak berlaga angin dengan pembantu peribadinya.
Kesilapan lain ialah beliau tidak berada dalam kawasan. Rumahnya nun jauh di Bukit Gading, Tanah Merah. Kedudukan itu menyebabkan dia tidak dapat memberi respons segera kepada apa-apa masalah rakyat. Misalnya kalau rakyat menghadapi masalah dalam apa-apa perkara beliau tidak dapat datang dalam waktu terdekat kerana duduk jauh. Paling cepat pun dia dapat datang besok atau lusa.
Dalam budaya politik orang kampung mereka mengharap sentuhan segera dan cepat oleh wakil rakyat. Kerana bagi mereka tempat mengadu, meminta dan merintih hanya kepada wakil rakyat. Bagi orang kampung wakil rakyat adalah orang berkuasa dan orang yang dianggap boleh membantu apa saja. Hatta untuk baiki jambtan rosak pun mereka akan panggil wakil rakyat kalau perlu.
Ahmad tidak memahami dan menghayati naluri politik sebegitu inilah menyebabkan dia menjadi bahan rungutan. Sudahlah tidak mesra rakyat, tidak pandai pula untuk berbasi basi dengan rakyat menyebabkan orang tampat merasa kering dengannya. Dalam satu peristiwa katanya dia melarikan diri dari rakyatnya yang berada dalam kedai kopi mungkin bimbang kena belanja. Cerita Ustaz Mat lari ke rakyat sudah tersebar.
Soal idea atau pun gagasan untuk memajukan Gual Periok tidak payah ceritalah. Banyak masalah yang bertimbun tetapi tidak pernah dicuba selesaikan olehnya. Misalnya kemasukan rakyat asing mendiri rumah di tanah-tanah kerajaan dan tanah Keretapi Tanah Melayu (KTM) adalah kelemahan beliau sebagai wakil rakyat. Tidak ada suara atau cadangan bantahan bagi menangani masalah ini. Tanah KTM di Gual Periok sudah habis dikebas orang dengan membangunkan rumah kekal.
Isu-isu lebih besar soal penyeludupan, penangihan dadah di kalangan anak-anak muda, masalah sosial lain seperti ada dangdut di dalam semak ataupun peraduah suara burung candik, laga ayam dan sebagainya... usah ceritalah. Ahmad tidak akan sentuh dan cuba untuk menanganinya walaupun kegiatan itu tidak membawa kebaikan.
Adakalanya kalau memerhati kepada masalah di kawasna Gual Periok yang terbiar semacam ianya tidak diwakili sesiapa. Kalau pun yang boleh disebut di sini program yang dibuat oleh Ahmad hanya Tahlil Perdana di kuburan pada setiap kali hari raya pertama Aidifitri. Beliau akan menjejajah ke beberapa buah kubur dan mengajak orang bertahlil meminta roh si mati selamat. Itu saja.
Dalam era hari ini apa yang Ahmad lakukan sudah tidak laku dan tidak relevan lagi. Dunia hari ini mencabar. Ia memerlukan seorang wakil rakyat yang bukan saja rajin berjalan, menemui rakyat tetapi yang ada idea untuk membawa kemajuan dan kesejahteraan untuk rakyat. Yang penting senantiasa bersedia untuk mendengar rintihan rakyat.
Mungkin Pas Kelantan tidak mendapat maklumat akan kelemahan wakil rakyat ini. Pas Kelantan terutamanya Tok Guru Nik Aziz syok kepada latar belakang Ahmad yang berkelulusan pengajian Islam dari Universiti Al Azhar Mesir. Sebenarnya kelulusan akademi dan setakat menjadi pengurus pondok di Tanah Merah tidak mencukupi untuk melayakkan Ahmad Awang menjadi wakil rakyat di abad ini.
Saya teringat kepada seorang pemimpin Pas Rantau Panjang yang juga bertanggungjawab membawa Ahmad ke gelanggang politik dan menjadi calon. Katanya, Ustaz Mat hanya mampu menjadi wakil rakyat sepenggal saja. Saya memahami kata-kata itu apabila melihat performance yang ditunjuki Ahmad sesudah lebih tiga tahun jadi wakil rakyat sangat mengecewakan.
Misalnya beliau seorang ustaz yang boleh mengajar agama. Sepatutnya beliau turun sekali seminggu atau sebulan sekali di madrasah Gual Periok untuk memberi syarahan agama. Jadikan program itu program tetap beliau untuk berintraksi dengan rakyat. Tetapi nampaknya program yang mudah dan tidak memerlukan wang pun tidak terbuat.
Merumuskan apa yang saya dengar, lihat dan selidik sendiri Pas bakal kehilangan kerusi Gual Periok kalau Ahmad Awang diberikan bertanding sekali lagi. Perlu ingat dalam pilihan raya lalu beliau menang dengan kelebihan 733 undi saja. Beliau mendapat 6,915 manakala calon UBN Shaari Hussein mendapat 6,182.
Angka itu menunjukkan kemenangan Ahmad tipis dan sekiranya Umno meletakkan calon yang tidak bermasalah, mesra rakyat mungkin kerusi Gual Periok akan bertukar tangan pada PRU 13 nanti. Perlu juga diingat kerusi Gual Periok adalah kerusi yang silih berganti dan calon Pas tidak pernah memenangi lebih dari sekali kecuali dizaman Ahmad Yatim dulu.
Akhir kalam sebelum terlambat Pas khsusnya Pas Rantau Panjang harus berbuat sesuatu. Kalau Pas Rantau Panjang tidak ada idea biarlah Pas Kelantan cuba-cuba tilik siapakah yang sesuai dan layak menggantikan Ahmad Awang demi menyelamatkan kerusi Gual Periok. Lainlah kalau Pas confident mereka akan menang lebih 35 kerusi maka halalkan kerusi Gual Periok untuk Umno tanpa menggantikan Ustaz Mat dengan sesiapa. [wm.kl.9:41 pm 06/02/12]
1 comment:
Hal masalah rumah tangga PAS tak payahlah cerita kat sini. Dah banyak dosa yang dibuat kerana memburukkan pemimpin UMNO dan BN. Takkan nak tambah lagi dosa dengan menceritakan keburukan puak sendiri. Setiap orang ada kelemahannya. Kenapa tak tengok ustaz mat dari sisi positif? Banyak sumbangan beliau terutama dalam bidang pendidikan di Rantau Panjang. Kenapalah nak layan komen penyokong PAS yang berminda cetek yang selalu dahagakan bantuan orang. Puak-puak tu yang patut dibasuh supaya tidak lagi sentiasa mengharapkan bantuan orang. Kalau mereka masih dengan sifat demikian memang kerusi DUN Rantau Panjang akan sentiasa bersilih ganti antara PAS dan UMNO. Bila Umno bagi banyak mereka akan sokong UMNO. Bila dah kenyang mereka sokong PAS balik. Bila lapar semula mereka akan sokong UMNO balik. Macam tulah yang akan berulang. Jadinya, yang kena diubah ialah sikap menyokong PAS yang tidak tetap pendirian bukannya menukar wakil rakyat.
Post a Comment