Monday, March 16, 2015

Abdul Hadi elak jadi Quran buruk yang carik

ULASAN KE DALAM                                                           

Muktamar Pas ke-61 ini memberi cabaran teruk kepada Abdul Hadi Awang apabila ada tuntutan agar beliau tidak lagi dicalonkan sebagai presiden. Gambaran dalam beberapa mesyuarat Pas kawasan yang diadakan setakat ini menunjukkan kondisi presiden Pas itu tidak semampan dahulu lagi. Apabila beliau tidak dicalonkan untuk mengekalkan jawatannya atau pun pencalonannya terpaksa dilakukan dengan undian, jelas stabilitasnya mulai goyah.

Abdul Hadi berdoa terus...
Waktu ini Pas kawasan diseluruh negara sedang mengadakan
mesyuarat kawasan masing-masing. Daripada lima kawasan yang telah mengadakan mesyuarat ia memberi petunjuk Hadi dicabar. Lima kawasan yang telah mengadakan mesyuarat, Hadi hanya "menang" di Shah Alam selepas terpaksa "bertarung" dengan Ahmad Awang. Kemenangan itu pun sangat tipis apabila dengan kelebihan enam undi sahaja.



Empat lagi kawasan tidak mencalonkan Hadi, Kota Bharu, Kota Tinggi, Parit Sulong dan Batu Sapi di Sabah. Bagaimana Abdul Hadi tidak perlu bimbang kerana masih ada 140 kawasan lagi yang masih belum mengadakan mesyuarat. 

Melihat kepada gambaran awal ini ada munasabahlah kalau puak yang menganggapkan mereka fakih agama (ustaz dan ulama) begitu bimbang dengan kedudukan Abdul Hadi itu. Mereka beriya membuat berbagai teori dan juga mengeluarkan "fatwa" serta arahan-arahan yang bukan-bukan agar Hadi dikekal sebagai presiden. Adakalanya tindakan itu "ambiguous" sekali. Ini termasuklah Mursyidul Am yang baru Dr Haron Din, yang perlantikannya boleh dipertikaikan, sebaik menerima pelantikan terus membuat kenyataan agar Hadi dikekalkan.

Apakah kapasiti Haron Din dalam soal ini? Apakah dicatat dalam perlembagaan atau ada konsensus tugas Mursyidul Am ialah mempertahankan batang tubuh presiden? Gara-gara itu setengah orang beranggapan tindakan Haron itu tidak tepat dan membawa keruntuhan kepada wibawa Abdul Hadi sendiri.  

Semacam sepakat pula, selepas Dr Haron Din membuat gesaan begitu ia diikuti oleh timbalannya, Ahmad Yaakub yang baru juga dinaikkan pangkat menjadi Timbalan Mursyudl Am, membuat penegasan yang sama. Sudah tentulah apabila Mursyidul Am pimpinan tertinggi Pas dan dianggap sebagai pemimpin spritual berbuat begitu ia semacam memberi pedoman atau hukum agar mengikuti kehendaknya.

Apabila ada kawasan yang engkar tidak patuh kepada arahan itu, ini memberi implikasi lain kepada kedua orang itu, (Haron Din dan Ahmad Yaakub) bahawa suara mereka tidak didengari dan dipatuhi. Mereka merosakkan reputasi kehebatan dan kemuliaan jawatan yang mereka pangkukan itu. 

Fatwa lain juga dibuat bagi mempertahankan Hadi, jangan cabar Hadi kononnya mahu kekalkan tradisi tiada pertandingan untuk jawatan presiden Pas. Fatwa itu sendiri boleh dipertikaikan kerana dalam sejarah Pas, memang ada pertandingan merebut jawatan presiden. Mungkin apabila wujud era kepimpinan ulama (1982), jawatan itu tidak pernah berlaku pertandingan. Itu pun boleh diragui kerana kalau tidak silap, Allahyarham Yusuf Rawa menjadi presiden beliau pernah dicabar oleh Allahyarham Abu Bakar Hamzah.

Sebaliknya semasa Allahyarham Fadzil Noor memegang jawatan memang tidak ada cabaran kepadanya. Tiada sesiapa yang "gila" atau pun gatal nafsu untuk mencabar Fadzil Noor. Kenapa? Sebabnya mudah, kerana Allahyarham berjaya menjadi presiden yang baik, prihatin dan mengambil berat kepada parti. Selalu hadir mesyuarat dan dapat menyelesaikan apa saja masalah yang berlaku dalam parti.

Performancenya yang baik menyebabkan tiada ahli ralat dengan kedudukannya sebagai presiden. Jadi beliau diterima sebagai presiden Pas sampai akhir hayat dan tidak ada sesiapa mempertikaikannya. 

Apabila kedudukan Hadi hari ini dicabar dan dipersoalkan jelas beliau tidak berjaya membawa kepimpinan stail Fadil Noor. Kekosongan ditinggal oleh Fadzil Noor itu gagal dipenuhi oleh beliau. Kehebatan Abdul Hadi menjadi presiden Pas sebenarnya ditimbali oleh pengaruh dan syaksiah Allahyarham Tokguru Nik Abdul Aziz. Ini adalah hakikat. 

Sebenarnya aura Nik Abdul Azizlah yang membantu mewangi Abdul Hadi sebagai presiden Pas dan juga membantu menaikkan imej Pas sebagai parti nasional yang diterima oleh semua kaum tanpa mengira anutan agama. Bolehlah dikatakan Abdul Hadi menumpang tuah Nik Aziz bahkan umum beranggapan pemimpin Pas yang hakiki ialah Nik Abdul Aziz.

Sepatutnya dan sekiranya Abdul Hadilah menjadi pengisi kekosongan ditinggalkan oleh Nik Abdul Aziz itu, tetapi sayang ia tidak terjadi demikian. Bahkan reputasinya sendiri dalam kalangan bukan Islam rosak dan dalam sudut tertentu Abdul Hadi dilihat pemusanah kepada legasi ditinggalkan oleh Nik Aziz. 

Bukan sengaja untuk merendah-rendahkan keilmuan yang ada kepada presiden Pas itu, tetapi kelemahan dalam menjadi pemimpin utama kepada sebuah gerakan sosial dan politik jelas tidak menyengat dan mantap. Di sinilah berlaku salah tanggap kepada mereka yang taksub kepadanya, (terutamanya generasi hingusan), mengambil kira, ketinggian ilmu dimiliki Abdul Hadi dikira membantu beliau sebagai presiden sebuah organisasi parti, tetapi sebenarnya tanggapan itu tidak tepat.

Dan mengenai seruan agar Pas mengekalkan tradisi agar tiada pertandingan untuk jawatan presiden, sesuatu yang molek, tetapi bukan untuk jawatan yang kini disandang oleh Abdul Hadi. Tradisi yang dilihat hilang demokrasi dalam parti itu boleh sahaja diteruskan sekiranya Abdul Hadi berjaya menjadikan dirinya sebagai seorang presiden dikasihi semula ahli. Soalnya beliau tidak berkedudukan seperti diharapkan itu.

Adakalanya tindakannya lambat dan tidak menyerlahkan dia sebagai seorang presiden. Apa yang berlaku ke atas dua pimpinan tertinggi Pas, seorang keretanya cuba dibakar dan seorang lagi ditumbuk dimana keduanya ada implikasi dengan pemimlihan Pas kini, dimanakah suara presiden. Kenapa presiden "berpuasa enam" dengan kejadian itu. Sepatutnya sebagai presiden beliau membatalkan "puasa sunat" itu dan memberi kompen melegakan ahli. Beliau tidak patut membiarkan sebaliknya mendamaikan.

Tetapi tidak ada, sedih, semacam beliau membiarkan ahli-ahli jenis "beras tabur" dan ustaz juzu amma, terus membuat tafsiran liar ke atas kejadian itu yang boleh menyakitkan hati pihak-pihak lain. Nasib baiklah mereka yang menjadi mangsa cemuhan dan makian itu bersikap profesional yang melihata segala kutukan dan serangan itu dari golongan kurang "pok".

Apakah mesyuarat kawasan yang akan berjalan sehingga bulan April nanti akan mempamerkan senario sama dengan apa yang berlaku dalam mesyuarat empat kawasan Pas yang sudah selesai melaksanakan tanggungjawab mereka? Empat kawasan itu telah memberi mesej jelas yang mereka tidak mahukan Abdul Hadi lagi sebagai presiden. Kalau ia benar begitu, bagi saya elok kalau Abdul Hadi tanpa melakukan "istikharah" terus mengambil keputusan berundur dengan cara baik.

Pun begitu dalam tilikan saya menerusi mangkok hikmat, kandati beliau tidak mendapat pencalonan solid 100%, namun beliau boleh menang jawatan itu, saya jamin ini. Tetapi beliau tidak boleh bergumbira dengan kemenangan itu kerana sudah semakin lantang suara memprotes dan mengejek kepadanya. Mengambil kata-katanya sendiri, walaupun PasMa itu hanya seekor nyamuk tetapi ia cukup untuk menganggui tidur seorang tua. Cabaran dan protes itu sebenarnya lebih parah daripada seekor nyamuk.

Abdul Hadi kini sudah hampir menjadi Quran tua buruk. Sebaik-baiknya beliau simpanlah Quran itu elok-elok daripada menjadi carik lebih parah lagi. Sebagai kertas yang tercatat kalimah Allah kita sayang untuk membakar dan menghanyutkan debunya ke laut. Eoklah kalau Abdul Hadi menjaganya seelok mungkin. Begitu juga dengan Dr Haron Din.

Diingatkan Pas adalah sebuah gerakan sosial politik dan bukannya sebuah jemaah atau khariyah masjid yang boleh ditadbirkan secara teologi, kecuali baik Hadi atau Haron Din berkempen dan berusaha agar Pas menjadi sebuah gerakan dakwah total bukan politik lagi. Bila Pas telah terbentuk demikian, bolehlah mereka berangan-angan untuk menjadi pemimpin dikasihi sampai ke mati berdarjah sebagai "Mulla". [wm.kl.8:01 03/05/15]

4 comments:

Asrul Sani said...

Salam MSO,

Mulai sekarang saya nasihatkan supaya pak MSO sentiasa memakai topi keledar setiap kali keluar rumah. Al maklumlah kebelakangan ini puak-puak lebai tu sudah memelihara sekumpulan samseng untuk membuat kacau bilau setiap kali pemimpin mereka dikritik atau dicabar. Bermula dengan memakai vest mereka menge"BOO" pemimpin lain termasuk Naib Presiden, kemudia mereka berdemonstrasi, lalu akhirnya bertindak membakar kereta pemimpin dan yang terkini memukul AJK Pusat pula...mereka sudah hilang akal dan berperangai syaitan.....

Oleh kerana Pak MSO sudah mengkritik pemimpin mereka eloklah berjaga-jaga dengan memakai topi keledar dan bagus juga mrmbawa sebilah parang bila keluar rumah.....

Bang Aji said...

Salam Tuan MSO...

Rasanya ramai yang akan cuba menyangkal cadangan tuan terutama Geng Ostad juzuk Amma....

Namun begitu akan tetap ada yang bersetuju dengan cadangan tuan. Dengan mengambil kira prestasi semasa TGHH sudah sampai masanya TGHH memberi peluang pimpinan lain yang boleh menggalas harapan semua ahli/pimpinan PAS termasuk penyokong Pakatan Rakyat. Jika TGHH bijak berpolitik sebagaimana ilmu yang dimilikinya hingga melangsungkan ulama' sedunia mengangkat beliau menjadi Timbalan kepada Sheikh Yusuf Qardhawi, kami yakin TGHH akan turun dari jawatan Presiden secara hormat. Dan jika penyokongnya bijak berpolitik..mereka akan menjulang TGHH untuk memegang tampuk tertinggi dalam PAS iaitu Mursyidul Am bersesuaian & setara dengan kedudukannya dimata ulama' sedunia...

Cadangan lain agar Dr. Haron Din/Datuk Ahmad meletak jawatan sebagai Mursyidul Am/Timbalan Mursyidul Am dan memberi laluan kepada TGHH menerajui Majlis Syura Ulama' (MSU) PAS bukan sekadar ahli MSU sahaja...Dato' Dr. Haron Din/Datuk Ahmad boleh memainkan peranan sebagai Timbalan/Penolong Timbalan Mursyidul Am.

Langkah langkah cadangan diatas akan memberi impak yang berkesan serta membolehkan TGHH/Dr Haron Din/Datuk Ahmad memberi tunjuk ajar kepada semua ahli/pimpinan PAS mencontohi tindakan mereka bersesuaian atau se'standard' mereka yang bergelar Ulama'...

Unknown said...

Sepatutnya TGHH terima shj cadangan seorang ahli PAS dahulu supaya dilantik sebagai MA...

Unknown said...

Sdr MSO,

Saya petik komen Datuk A Kadir Jasin dari blognya bertajuk 1MDB : Ketua Juruaudit Negara Wajib Cepat, Saturday, March 14, 2015.

A.KADIR JASIN said....

1) Pembahas Kluangman, antara lain, menulis: 'Jika Anwar selepas melepaskan jawatan TPM, terus berehat ke luar negara beberapa tahun, sudah tentulah ia mampu "comeback" dan nasibnya tidaklah seburuk sekarang.

2) Tepat sekali kesimpulan saudara. Saya yakin saudara rapat dengan peristiwa 1997/98 itu.

3) Itulah nasihat sahabat-sahabat Anwar yang juga penyokong Dr Mahathir beberapa hari sebelum beliau dipecat.

4) Mereka menasihatkan beliau agar membawa keluarga beliau keluar negara atas alasan untu berehat dan belajar.

5) Kawan-kawan itu yakin mereka cukup berpengaruh untuk memujuk Dr Mahathir agar tidak mengambil tindakan ke atas Anwar.

6) Mereka menunjukkan contoh Ayatullah Khomeini yang mencari suaka di Paris dalam usahanya menjatuhkan Shah Iran. Kalau beliau kekal di Iran, boleh jadi dia dipenjarakan atau dibunuh.

7) Rakan-rakan mencadangkan Paris kerana Anwar jatuh cinta dengan Paris ketika menjadi Presiden ke 25 perhimpunan agung UNESCO 1989-91.

8) Beliau menolak dan berkata beliau akan kekal di Malaysia dan lawan Dr Mahathir.

9) Kawan-kawan memberitahu beliau, kalau beliau melawan Dr Mahathir mereka tidak akan membantu beliau. Malah majoriti berkata mereka akan memihak kepada Dr Mahathir.

10) Yang lain adalah sejarah.

Wallahuaklam.
Terima kasih.
11.27am.

Sdr Mso,

Pencerahan DAKJ ini dapat dirumuskan bahawa segala fitnah dan tuduhan kepada DSAI selama ini memang konspirasi politik. Saya mohon MSO yang lebih arif berhujah supaya pengakuan ini dipaparkan kepada generasi muda yang tidak tahu peristiwa 1997/98.

Juga ulang tayang Sodomi 2 yang mengambil pendekatan yang sama. (Sodomi 1 berjaya). Ini boleh di kaitkan lagi dengan hujjah Pak Subky Latif dalam tulisan terbaru yang terus menyokong Anwar biarpun hanya dia seorang penyokongnya.

Moga Allah berkati MSO.
Wassalam.