Adun Chempaka yang baru Ahmad Fathan (kanan). |
Semua orang yang sihat politik akan dapat menyangka awal-awal lagi calon Pas, Abdul Fathan akan menang dengan mudah. Chempaka adalah salah satu DUN menjadi kubu Pas di Pengkalan Chepa. Ia diwakili oleh Allahyarham Nik Aziz sejak beberapa penggal lalu. Sesiapa pun diletakkan bertanding atas tikit Pas di situ kelmarin, boleh menang, hatta kalaupun Inchek Ibrahim Ali atau pun sebutir batu nisan Tokguru.
Bila bercakap fasal pilihan raya itu ada dua tiga perkara yang tidak dijangka berlaku dan ia boleh dijadikan kayu ukur kepada perkembangan yang berlaku di Kelantan sejak beberapa hari ini terutamanya seputar pilihan raya kecil itu diadakan.
Salah satunya ialah mengenai rendahnya bilangan (peratus) yang keluar mengundi. Peratusnya hanya 45% berbanding dengan peratus keluar mengundi pada pilihan raya umum 2013 yang lalu sebanyak 85.9%. Ini bermakna kekurangan sebanyak 55%. Jarang berlaku peratusan pengundian kecil atau rendah dalam sesuatu pilihan raya kecil, apa lagi di Kelantan. Biasanya orang Kelantan sangat menggilai pilihan raya.
Ada para penganalisa membuat kupasan kerendahan peratus itu disebabkan Umno tidak meletakkan calon. Jadi keghairahan pilihan raya itu tidak ada, walaupun calon Pas, diserang oleh empat calon bebas yang semuanya hilang wang pertaruhan. Mereka berpendapat kalau Umno letak calon, pasti pilihan raya itu meriah dan majoriti yang diperolehi oleh calon Pas itu tidaklah sampai 10,092 undi. Begitu juga undi yang dirautnya juga berkurangan berbanding yang diperolehi Tokguru dulu. Ada benar juga pendapat itu.
Dengan mengambil kira undi Umno pada pilihan raya umum lalu di DUN itu sebanyak 5,810 undi, sekiranya Umno meletakkan calonnya, mungkin majoriti calon Pas itu sekitar 5,000 atau 6,000 sahaja, sama banyak dengan majoriti yang diraih Allahyarham Tokguru. Maknanya pilihan raya itu tiada apa-apa perubahan dan masih mengekalkan status quo.
Selain itu, pengulas politik juga meletakkan kesalahan kerendahan peratus keluar mengundi itu kepada pengundi luar yang tidak pulang. Terdapat lebih 1,500 pengundi luar. Sebenarnya kedinginan pilihan raya itu sudah dapat dibayangkan apabila peratus pengundian awal sekitar 35% peratus sahaja. Keghairahan di kalangan pengundi awal yang kebanyakan pegawai dan kakitangan kerajaan yang mempunyai kemudahan, juga sangat lemah.
Apapun kerendahan peratus itu tidak memberi kesan negatif kepada Pas. Malahan Pas suka kerana mereka boleh mengandaikan kesemua yang keluar mengundi yang menyokong Ahamd Fathan itu adalah daripada orang-orang Pas. Calon Pas mengutip sebanyak 10,899 berbanding dengan undi diraih Tokguru sebanyak 12,013 dimana ia berkurangan sebanyak 1,411 undi. Mungkin kekurangan 1,411 undi adalah undi Pas yang berada diluar?
Persoalannya kenapa mereka tidak pulang? Apakah kerana mereka yakin Pas menang dengan mudah atau ada hambatan-hambatan lain seperti mereka kurang senang dengan masalah yang "berjibuh" di Kelantan kini, mengenai hukum hudud yang hangat dipertikaikan? Walaupun peratus itu kecil tetapi "protes" itu tidak harus dipandang remeh oleh Pas. Dan jika mereka tidak pulang semangat untuk berlawan dengan Umno yang semasa dalam pilihan raya kecil DUN Pengkalan Kubur lalu meningkat begitu banyak sudah tidak ada lagi.
Justeru Pas tidak boleh menganggap kemenangan dengan peningkatan majoriti sebanyak 3,500 itu sebagai sokongan kepada Pas yang membentangkan Enakmen Hudud sehari sebelum hari pengundian di PRK Chempaka itu. Sebab kehilangan sebanyak 6,322 yang tidak keluar mengundi itu mungkin ada kena mengena dengan Enakmen Hudud ataupun kelemahan kerajaan dalam sesuatu hal. Ini kena dikaji dan dipastikan.
Dari sudut lain, kemerosotan peratus keluar mengundi itu, kalau pun disebabkan orang Umno, ia memberi gambaran bahawa idea Pengerusi Umno Kelantan Mustapa Mohamed untuk memberi laluan mudah kepada Pas memenangi kerusi itu tidak menjadi. Sehari sebelum mengundi Mustapa menyeru orang Umno agar keluar mengundi walaupun tidak memyuruh agar undi Pas. Pokoknya Mustapa dan Umno menggesa orang mereka turut mengambil bahagian. Apakah undi diperolehi calon-calon bebas sebanyak 974 itu adalah daripada orang Umno?
Bila orang Umno tidak keluar, maka ia memberi kesan kepada Pas. Pas boleh menang tetapi sepatutnya apabila ada laluan mudah, Pas harus mendapat undi daripada Umno. Kemenangan besar Pas akan memberi signifikan kepada perubahan politik yang dipandu Mustapa Mohamaed dan Ahmad Yaakub waktu ini.
Dengan mengambil kesemua undi Umno dalam pilihan raya lalu sebanyak 5,810 sepatutnya majoriti diperolehi Pas, bukan 10,000 tetapi sekurang-kurang 14,000. Sekiranya majoriti Pas melebihi 14,000 bererti idea Mustapa untuk membawa politik baru sesuai dengan stail politik Ahmad Yaakub akan berjaya, dan kejayaan itu bakal membentuk momentum baru politik di Kelantan seperti mana diharapkan.
Apakah idea atau politik baru Mustapa itu tidak diterima oleh orang-orang Umno? Ini satu perkara yang perlu difikir semula oleh Mustapa Mohamed dan Umno agar idea untuk tidak menyerang Pas menerusi pendekatan politik understanding ini tidak merugikan parti berkenaan. Dan sekiranya andaian ini benar ia tidak merugikan Pas kerana pengundinya tidak berubah, masih setia dengan Pas.
Tawaran-tawaran untuk membantu Kelantan misalnya dalam masalah banjir, pembinaan lebuh raya atau bentuk kerjasama yang dijanjikan seperti mana dijual oleh Ahmad Yaakob dan Mohd Amar nampaknya tidak disambut baik oleh orang Umno. Orang Umno juga tetap statik seperti orang Pas. Kalau ini berkekalan Pas akan berhadapan dengan masalah dalam pilihan raya akan datan apa lagi kalau ekoran isu yang tidak sekata yang melanda parti itu muasir ini membentuk beberbagai-bagai fraksi dan puak dalam Pas.
Sekiranya Pas dipisahkan oleh dua fraksi, cukup 20 persen saja pengundi Pas pada pilihan raya 2013 itu berubah angin, ia sudah memadai untuk memberi kemenangan kepada Umno terutama dikawasan-kawasan yang dimenangi dengan majoriti bawah 1,000 undi.
Tegasnya keputusan pilihan raya Chempaka tidak memberi gambaran baik dan memuaskan kepada Pas dalam membayangkan senario politik masa depan. Umno khasnya Mustapa gagal mengajak orang Umno berbaik dan menerima Pas, manakala Pas pula akan berhadapan dengan kekurangan sokongan dari dalamannya sendiri. Apapun pilihan raya kecil itu bukan suatu testimoni dan indikator yang tepat. [wm.kl.1:34 pm 23/03/15]
No comments:
Post a Comment