PERNYATAAN
Besok genaplah usia blog Merah Tinta MSO lapan tahun. Sekejap sahaja masa berlalu, pejam celik pejam celik sudah hampir satu dekad kewujudan blog ini. Dalam tempoh itu saya sudah membuat pengeposan pelbagai bahan sebanyak 3,561 dan ribuan keping gambar. Ternyata bahan paling banyak ialah mengenai politik, disamping bahan-bahan berupa catatan mengenai aktiviti sosial, kisah hidup, budaya, pelancongan ataupun catatan personal perjalanan saya ke luar negara.
Sesuatu yang menggembirakan, blog saya masih sudi dijengok dan diintai oleh oleh rakan-rakan penggemarnya dari serata tempat. Ia bukan sahaja untuk dijadikan sumber maklumat peribadi tetapi ada kalanya ia dipetik oleh blog lain. Ada juga bahan diblog ini dijadikan bahan rujukan atau maklumat tambahan bagi sesetengah media massa.
Sehingga kini blog Merah Tinta telah dilawati (page view) sebanyak 17.5 juta (17.549810) kali, manakala mereka yang menjadi pengikut setia atau ahlinya seramai 1,850 orang. Purata blog ini dibuka atau dilawat dalam sehari sekitar 5,000 hingga 20,000. Ketinggian jumlah lawatan ini bergantung kepada isu yang dikupas.
Adakalanya ia mencecah kepada 30,000 kali. Lawatan atau bacaan catatan dalam blog ini tidak dikira yang diselek atau dibaca dari blog atau media baru lain yang mengambil bahan dari blog ini.
Saya juga gembira dan berbangga kerana masih ada pengikut setia yang rajin turut berpartisipasi secara baik dengan memberi teguran dan kritikan konstruktif. Kepercayaan anda kepada blog ini adalah pendorong utama saya untuk berblog secara percuma.
Mungkin kepada mereka yang biasa bebas membaca komen-komen di blog-blog lain yang tidak menapis komenternya merasa kurang seronok dengan blog ini kerana komen di blog ini tidak begitu meriah. Terus terang saya nyatakan saya terpaksa kawal daripada melepaskan komen kerana sesetengah komenter agak keras dan tidak tidak bersopan. Ada juga komen yang boleh melemahkan dimana kalau tidak dikuatkan semangat mahu sahaja saya berhenti dari berblog.
Inysa-Allah blog ini akan terus memainkan peranananya sendiri, penyampai maklumat atau pun menjelaskan apa-apa isu dari sudut pandangan mata saya yang mungkin berbeza kerana tidak terikut dengan kehendak mana-mana pihak atau kumpulan kerana saya tidak suka berpihak secara membuta tuli.
Bagi saya benar tetap benar dan salah tetap salah tanpa mengira siapa mereka atau kumpulan mana.
Saya akan terus kekal dengan stail dan konsep tersendiri, mengkritik untuk mencari kebenaran bukan mengkritik kerana bertolak dari kebencian atau dendam. Sama ada anda bersetuju atau tidak dengan saya, itu terserah kepada penilaian masing-masing.
Mengenai kelemahan saya yang tidak mudah untuk diatasi, salah eja dan pengunaan tatabahasa tidak betul, anggaplah ia sebagai kesalahan umpama "tegal bisa kerana biasa". Hehe...
Dan sehari dua ini kekurangan saya membuat pengeposan ketara, kerana waktu ini saya kesibukan menyiapkan dua buah buku. Buku pertama mengenai memori saya dengan Allahyarham Tokguru Nik Abdul Aziz, yang kini sudah memasuki proses penyuntingan, dan sebuah lagi buku mengenai pemenjaraan Anwar Ibrahim.
Insya-Allah walaupun dalam kesibukan itu, blog ini tetap akan muncul bila-bila saya ada kelapangan waktu. Atas sokongan, terutamanya kepada beberapa orang penjengok yang selalu memberi kupasan dan sokongan diucapkan berbanyak terima kasih.
Terima kasih khusus juga kepada penjengok yang tidak pernah jemu atau senantiasa bermurah hati untuk bersama saya menerusi blog ini membuat kebajikan untuk membantu sesama insan yang berhadapan dengan masalah, termasuk menghulurkan derma dan sedekah bagi majlis korban, sambutan raya bersama anak-anak yatim atau pun membantu mangsa bencana alam yang dianjurkan menerusi blog ini.
Partisipasi anda adalah pendorong semangat untuk saya terus berblog. Terima kasih, Allah jua membalasnya atas kebaikan anda itu. Wassalam Mso. [wm.kl.9:56 am 31/03/15]
Catatan: Kepada sesiapa yang sudi membantu saya menyiapkan mashead baru blog saya dialu-alukan. Tq.
No comments:
Post a Comment