Thursday, March 5, 2015

Maza, Kazim perlu sedar peranan media massa

NOTA MALAM                                                                                                       

Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Kazim Elias tidak patut bergeseran pendapat dan mendedahkan kepada umum tentang ketidaksetujuan mereka mengenai sesuatu mauduk. Sebagai orang yang berada dalam kelas tersendiri mereka seharusnya menjadi model kepada orang ramai.

Kazim Elias
Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Dr Maza orang tahu dan kenal siapa dirinya. Seorang ulama yang berfikir terbuka, progresif, telus dan tegas dengan ilmu dan amalannya.

Begitu juga dengan Kazim Elias dia merupakan seorang penceramah agama yang hebat dan diminati ramai terutamanya kaum Hawa. Kaum Hawa dan jantan tua tidak kering gusi mendengar ceramahnya.

Beliau juga pernah dijemput oleh Umno untuk berada dalam parti itu menjadi inti sebagai menarik perhatian dan mendendengkan Umno sebagai parti agama.

Jemputan Kazim itu menunjukkan Umno menghormati dan meletakkan Kazim sebagai seorang yang boleh membawa perubahan (agama) dalam Umno. Umno mengira Kazim akan menjadi tokoh pembaharuan agama. Bagaimana Kazim tidak teruja dengan jemputan itu dan lebih senang menjadi penceramah bebas. Beliau menjadi ahli MT beberapa jam sahaja kemudian menolak.

Maza sendiri dihormati oleh semua pemuka parti politik. Dia dilihat "semakan" maksudnya sefahaman dalam ilmu agama (tahkid siasah Islam) dengan Allahyarham Tokguru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Tokguru sangat menghormati Maza. Beliau juga beliau diterima baik oleh bekas PM Dr Mahathir Mohammad. Pandangan disuarakan berhubung Islam didengari oleh Mahathir.

Dari segi pengaruh, pendeknya kedua "insanul kamil" ini sama hebat dan berada pada martabat  tersendiri.

Dengan martabat dan penghormatan yang diperolehi itu, apabila mereka "berseleheng" dalam sesuatu perkara dan ia pula dipertontonkan kepada umum, ia adalah sesuatu yang kurang manis. Tidak molek kalau orang dianggap ulama, dan memang pun ada pamor itu, bergaduh dalam media massa yang akan dibaca oleh semua jenis dan kelas manusia.

Bukan bermakna ulama tidak boleh bergaduh, boleh. Para ulama yang memahami mengenai proses pengembangan ilmu sangat tahu amalan ini. Perbezaan pendapat akan memantapkan sesuatu pegangan. Tetapi harus difahami mereka bergaduh dalam kelambu. Bergaduh bukan hendak menunjukkan kehebatan ilmu, tetapi mencari natijah hakiki. Itulah amalan dan tradisi budaya para ilmu terdahulu.

Mereka juga senantiasa sedar dan insaf dengan tanggungjawab mereka dan juga kemuliaan status mereka sebagai al ulama. Tetapi kalau pergaduhan mereka itu sampai dirakam dan dipamerkan kepada khalayak ia sesuatu yang tidak patut dan wajar sekali. Lebih tidak patut lagi kalau aksi pergaduhan itu dijadikan bukti oleh pihak tertentu untuk menunjukkan bahawa sesama ulama "mujtahid" pun tidak sehaluan.

Para ilmuan biasanya bergaduh dalam kamar dengan membawa berbagai kitab rujukan dan mereka membahas dengan penuh disiplin. Bukan berjam-jam tetapi ada kalanya berbulan-bulan. Paling-paling mereka membuka perbahasan itu, itupun untuk menebarkan ilmu kepada anak murid masing-masing sebagai saksi. Mereka bukan bergaduh menerusi media, berbalas kata dan tembak dalam media seperti apa yang berlaku kini.

Dr Maza dan Kazim harus sedar dan tahu apa yang media massa mahukan daripada mereka. Media tidak ikhlas untuk memperbetulkan (kekeliruan) mereka walaupun ia menampakkan sebagai peranan untuk mendamaikan. Sebenarnya tidak. Media massa ada agendanya tersendiri. Sesuatu organisasi media itu tidak boleh dinafikan ada agendanya. Dan media yang selamanya membenci Islam suka kalau ada ulama sebangsa bertikam lidah dan saling menempelak antara satu sama lain seperti apa yang berlaku antara Kazim dan Maza itu.

Perbezaan kepala ulama lebih memudahkan perpecahan dalam kalangan pengikut, apa lagi kalau kedua ulama mempunyai pengikut fanatik dan otordoks ia lebih bahaya. Apa yang berlaku di sesetengah negara di Timur Tengah, sampai berbunuh sesama sendiri mereka bukan merebut kekayaan tetapi kerana berseleheng dalam pandangan dan pendapat dalam aspek agama. 

Saya sangat menyakin baik Maza atau Kazim tahu akan hakikat ini dan mereka juga bukanlah orang yang suka kepada publisiti berlebihan. Hendaknya perselisihan mereka berhubung sesuatu yang salah faham itu dihentikan segera. Mereka harus meletakkan soal maruah agama dan bangsa itu di hadapan mereka, dan tolak ke tepilah ego untuk tidak mengalah.

Ulama yang tinggi ilmunya persis padi, makin menguning makan tunduk, bukan lalang begitu berbunga terus menegakkan diri sedangkan hasilnya tidak ada guna.

Selepas ini kalau boleh jangan ada lagi kenyataan balas antara mereka berdua. Kazim hendaklah akur kepada larangan Maza agar tidak berceramah di Perlis, dan Maza sebelum hendak menuduh Kazim suka membuat riwayat atau (hadith palsu) harus gantung kata-katanya dulu. Perlu melihat dan fikir apakah implikasi tutur bicaranya itu dan cuba memahami mantik Kazim.

Demikian juga dengan Kazim sebelum membuat perumpamaan atau pun mantik bagi memahamkan orang mengenai Islam atau akhlak Rasulullah, harus berhati-hati jangan sampai tersalah membuat mantik. Jangan kerana kita ustaz moden, ustaz IT kita bebas untuk membuat perumpamaan baru yang kontras dengan kisah sebenar.

Lantaran "kertebolahan" itu, akhirnya terjadi seperti bidalan kata, "rosak santan kerana pulut, rosak badan kerana mulut". Kepada kedua orang bertaraf ulama dan ustaz ini pohon maaf atas nota malam ini. [wm.kl.9:48 pm 05/03/15]
Post a Comment