Friday, March 6, 2015

Formula mantapkan Pas jadi kapal yang kuat

KHUTBAH                                                                                                           

Hendaklah saya bercakap secubit saja di hari Jumaat nan mulia ini fasal parti agama Pas yang keadaanya kini agak panas sedikit kini. Wap yang bergelora dalam parti itu bukan sahaja kerana parti itu akan mengadakan pemilihan dalam muktamar pada Jun nanti, tetapi ekoran perkembangan sekitarnya menghangatkan keadaan, dan ada persoalan yang menyimpulkan tebal dalam kepala.

Abdul Hadi menanti sendukan nasi daripada Husam.
Pertembungan penyokong dua pihak dalam parti itu masih berterusan. Ibarat kumpulan kertuk dan rebana, para pemain kedua-dua kumpulan sedang giat memperkemaskan rebana dan kertuk masing-masing. Belira atau lidah kertuk perlu dirisik halus dan licin untuk menghasilkan suara yang mersik dan nyaring memanah kalahkan suara kertuk lawan.

Begitu juga ikatan dan tali taut rebana perlu diterikkan agar belulang tegang dan bila dipalu ia mengeluarkan bunyi gemuruh bergema jauh mengambusi bunyi rebana lawan.

Masing-masing puak sedang berlatih, mengiramakan rebana atau kertuk masing-masing biar ia unik dan pelik untuk menarik hati orang ramai dan pengadil. Acara lobi atau pun perang sarang juga diadakan oleh penyokong kedua-dua puak itu.  Dalam permainan tradisional itu aksi atau pun aktiviti inilah menyegarkan budaya itu yang ada kalanya juga membawa kepada perbalahan sampai bengkak bengkik dan menitiskan darah ke bumi pertiwi.

Demikian suasana dan kegiatan ini tampaknya terbawa-bawa di sekitar Pas, hangat dan satu segi meriah menandakan Pas parti yang besar dan matang.

Ia ditambah hangat dengan beberapa insiden yang berlaku membabitkan ahli dan pemimpin parti agama itu. Kejadian cubaan hendak membakar kereta Pengarah Pilihan Raya Pas, Dr Mohd Hatta Ramli dan juga serangan dan tumbukan ke atas Ahli Jawatankuasa Pas Dr Dzulkifli Ahmad, adalah dua kejadian yang memanaskan keadaan dan dikesali.

Walaupun kejadian itu dinafikan melibatkan ahli Pas, tetapi penafian itu tidak boleh ditolak begitu saja. Dakwaan awal itu hanya sebagai kenyataan politik untuk menjaga maruah parti saja. Siasatan secara terperinci termasuk juga sembahyang hajat mungkin perlu dilakukan untuk mencari pelaku sebenarnya.

Jika diukur kepada sikap agresif ahli-ahli Pas mutakhir ini, kejadian yang menimpa dua ahli Pas itu ia tidak mustahil kalau melibatkan ahli Pas. Kalau ada ahli parti yang sanggup ke Syria untuk menyertai IS, kemudian bangga dengan mati syahid, apa lagi dengan ahli Pas di tanah air dengan aksi-aksi seperti apa yang berlaku itu, ia hanya perkara kecil dan simple sahaja di mana boleh berlaku bila-bila masa saja dan ke atas sesiapa saja.

Namun kita berdoa dan berharap dua insiden menimpa ahli Pas itu bukan angkara ahli Pas. Bagaimana pun dua kejadian lain yang kurang enak didengar dan menyerlahkan sikap tidak bermoral dan profesional jelas membabitkan ahli Pas.

Dua kejadian itu ialah pertengkaran dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas bulan lalu sehingga menyebabkan Hanifa Maidin keluar daripada dewan mesyuarat kerana tidak tahan dengan "serangan" ke atasnya yang cuba hendak memperkatakan sesuatu mengikut haknya sebagai ahli jawatankuasa, tetapi dimarahi. Hanifa dilaporkan ditumbuk belakangnya oleh ahli mesyuarat yang lain.

Satu kejadian lagi ialah penyebaran rakaman suara dikatakan suara Mohamad Sabu yang merancang hendak menjatuhkan presiden parti. Pendedahan tidak bermoral itu telah meletakkan Pas berada dalam satu peperangan media baru yang cukup hebat. Apakah Pas akan berhadapan dengan suasana skandal seperti mana skandal "Water Gate" di Amerika Syarikat dimana puncanya kerana tersebarnya rakaman strategi kempen dilakukan salah seorang calon presiden yang mendedahkan menggunakan wang negara untuk belanja kempennya.

Kedua kejadian itu tidak boleh dinafikan ia melibatkan ahli Pas. Sebab mustahil orang yang menumbuk belakang Hanifa Maidin dalam mesyuarat Jawatankuasa kerja itu mereka adalah ahli IS yang menyusuk masuk ke dalam Pas. Tidak mungkin? Begitu juga yang mengedarkan rakaman dikatakan suara Mohamad Sabu itu, mereka juga ahli Pas, kerana majlis atau ucapan dikatakan suara Mohamad Sabu itu bersama dengan ahli-ahli Pas. Ertinya yang bertindak mengakses dan menyebar dan menumbuk itu adalah ahli Pas.

Keadaan dan situasi itulah menyebabkan Pas menjadi sedikit panas waktu ini. Bagi sesetengah pemerhati menyifatkan Pas sudah dirasuki "gengsterisme". Apa yang berlaku diluar kebiasaan ini dan amalan tradisi parti itu menyebabkan orang terheran dan bertanya-tanya apa yang akan terjadi kepada Pas.

Tetapi sebenarnya ia tidak menghairankan kerana keadaan membentuk mereka jadi demikian. Pendirian, pegangan dan sikap pemimpin Pas juga seperti menghalalkan hal-hal sebegitu berlaku dalam parti mereka. Pas sangat berlembut dengan mereka yang ketara ingin merusakkan parti berkenaan atas nama mempertahankan sesuatu gagasan dan sosok bersifat peribadi. Keadaan ini jelas apabila tidak ada tindakan tegas daripada Pas kepada pelakunya.

Saya percaya keadaan-keadaan sedemikian berlaku kerana timbul rasa kesal dan bimbang daripada setengah ahli Pas yang sayangkan kepada Abdul Hadi Awang sebagai presiden Pas. Mereka takut Abdul Hadi hilang dari kedudukannya sekarang ini. Rasa sayang dan hormat yang tinggi kepada Abdul Hadi menjadikan setengah mereka kurang siuman. Bagi mereka Abdul Hadi adalah naungan mereka dalam Pas, bukannya perjuangan dan perlembagaan parti.

Cakap-cakap dan gesaan oleh sesetengah pihak dan individu agar Abdul Hadi berundur menimbulkan kemarahan dan menghangatkan keadaan . Mereka tidak boleh menerima hakikat bahawa Abdul Hadi bukan presiden Pas seumur hidup.

Jadi untuk mempertahankan Abdul Hadi maka mereka sanggup melakukan apa sahaja, termasuk aksi tidak syarie dan melakukan aksi-aksi "babarian" diluar kebiasaan Pas. Semua itu adalah terjemahan yang mereka begitu menyayangi kepada Abdul Hadi. Abdul Hadi tentu merasa bangga dan simpati dengan pendokongnya dimana sekiranya beliau ada keinginan untuk berundur, tetapi dibatalkan kerana asakan dan sokongan itu.

Keadaan yang berlaku dalam Pas tidak baik kepada parti berkenaan. Ia merosakan reputasi Pas sebagai sebuah parti agama yang mempunyai potensi untuk menjadi pengganti kepada Umno. Dengan apa yang berlaku muasir ini orang sudah mempertikaikan akan integriti Pas sebagai parti yang mulia. Jika dibuat sukatan kepercayaan dan harapan daripada kalangan bukan Islam kepada Pas mungkin sokongannya menyusut berbanding sebelum ini, khususnya menjelang pilihan raya 1999 dan 2013.

Justeru Pas harus melakukan sesuatu. Geraktindak segera perlu dilakukan. Kesilapan yang berlaku harus diperbetulkan. Semua pihak perlu berkompromi atas maslahat menjaga integriti dan masa depan parti. Dalam hal ini saya ada formula kecil untuk ini, dan saya jamin kalau formula ini berlaku keadaan Pas akan kembali aman dan ia boleh mengembalikan Pas ke tapak sebagai parti yang dihormati oleh semua pihak.

Dalam penelitian dan kajian saya dari segi sosiopolitik Pas berkaitan orang nombor satunya, Abdul Hadi saya tidak kira beliau respons kepada keadaan dan suasana di luar atau dalam Pas kini yang sudah kurang senang dengannya. Lantaran itu beliau sama sekali tidak akan akur, apa lagi ikhlas untuk mengambil sikap gentlemen berundur dari memimpin parti. Abdul Hadi tidak redha dengan keadaan dan berundur baginya sebagai mengakui kalah.

Sekiranya ada mana-mana pihak sedang mengatur rancangan menekan Abdul Hadi dengan harapan dia merasa tertekan kemudian berundur secara suka rela, rancangan itu adalah sia-sia saja. Spekulasi atau analisis mengatakan Abdul Hadi akan berundur bila ada tekanan, salah. Dengan mengenali sifat yang dimilikinya, tekanan menjadikan beliau lebih ghairah untuk melawan. Abdul Hadi adalah besi.

Makanya, jalan lain yang lebih harmonis dan apolegetik perlu diambil. Pihak lain yang tidak senang dengan keberadaan Abdul Hadi disitu harus berkorban dengan tidak meneruskan niat mereka. Tidak ada guna kalau Abdul Hadi diserang, sedangkan dengan serangan itu ia merosakkan parti. Biarlah mereka mengambil jalan "profesional" mengaku kalah daripada menentang Abdul Hadi. Abdul Hadi perlu dikekalkan sebagai presiden Pas. Diulang beliau perlu dikekal sebagai presiden Pas sekiranya semua pihak dalam Pas ingin berkompromi.

Sekiranya kepercayaan masih ada untuk Abdul Hadi terus memimpin Pas, maka Pas perlu menguatkan struktur Pas di peringkat bawahan. Maksudnya Pas kena perkuatkan atau menyediakan seorang timbalan presiden yang boleh dipercayai dan disukai oleh Abdul Hadi dan diterima orang-orangnya yang sebenarnya juga adalah ahli Pas yang bersaudara. Dengan memiliki seorang timbalan boleh bekerja dengannya ia akan menenangkan Abdul Hadi kemudian memperkasakan Pas sebagai sebuah parti tunggak dalam Pakatan Rakyat sementara Anwar Ibrahim berihat dalam penjara.

Cadangan ini bukan bermakna timbalan sekarang, (Mohamad Sabu) tidak boleh bekerja dengan Abdul Hadi, atau Mohamad Sabu tidak mencapai piawaian yang sepatutnya, tetapi persepsi yang dilontar dan "ditepek" ke atas timbalan presiden itu sudah merosakan reputasi beliau sebagai timbalan presiden.  Perubahan penjawat itu juga bagi meletakkan semula Pas atas landasan dan parti yang utuh. Antara sosok yang dilihat dapat mengganti tempat Mohamad sebagai gandingan Abdul Hadi ialah Husam Musa.

Sekiranya Pas hendak dibahagikan dua kumpulan, konsevertif dan liberal-profesional (prolib) atau apa sahaja nama pun, dengan meletakkan orang seperti Husam Musa di tempat orang nombor dua dilihat ada kepaduan golongan dalam Pas. Abdul Hadi boleh terus menjadi tunggak golongan konsevertif ulama, manakala Husam mewakili golongan pro-lib.

Mungkin saya tersalah membuat jangkaan ini. Sebenarnya Abdul Hadi bukan seorang presiden yang babil dan tolol sangat. Beliau masih waras. Tetapi disebabkan beliau melepaskan persekitaran dirinya kepada golongan yang menguasainya dengan matlamat tertentu menjadikan beliau tepu kepada pandangan-pandangan ikhlas selain daripada golongan itu. Abdul Hadi masih diterima sebagai seorang pemimpin berilmu dan fakeh dalam agama. Tunggu lagi bagi melengkapkan dirinya sebagai pemimpin sebuah gerakan sosial seperti Pas beliau memerlukan "asoib" (pembantu alias penasihat) yang profesional.

Hakikat ini semacam difahami oleh Abdul Hadi dan beliau sendiri ingin mengekalkan paksi Pas seperti mana yang telah dibangunkan Allahyarham Fadzil Mohd Noor dan diterima pakai oleh Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat. Dua kali beliau telah mewakili kepada Husam Musa untuk menggantinya dalam kuliah, satu di Kedah dan satu di Perak. Apakah langkah Abdul Hadi itu sebagai satu latihan buat Husam atau pun satu suaikenal agar Husam dipilih sebagai timbalannya dalam muktamar Jun depan? Bagi hemat saya ada sesuatu yang hendak dihantarkan Abdul Hadi dengan memberi laluan kepada Husam itu.

Ada logiknya kalau beliau membuat keputusan itu. Terima atau tidak, dan telah menjadi catatan sejarah hanya Husam sahaja yang meletakkan kepercayaan dan keyakinan Abdul Hadi boleh menjadi perdana menteri daripada Pas. Penegasan Husam pada penggulungan di muktamar di Shah Alam empat atau lima tahun lepas yang beliau mahu melihat Abdul Hadi akan menjadi PM walaupun sehari bukan satu omongan kosong ataupun ejekkan tetapi ia satu cita-cita yang rasional.

Mengapa tidak, seandainya dalam pilihan raya umum akan datang Pakatan Rakyat ditakdir mendapat kuasa untuk memerintah, sementara Anwar masih dalam penjara, maka Abdul Hadi lah pemimpin paling senior dalam Pakatan Rakyat. Bukankah ketika itu Abdul Hadi boleh ditunjuki oleh Pakatan Rakyat untuk menjadi PM. Dan kalau formula ini boleh membawa Pas ke situ kenapa ahli Pas harus meragui dan menolaknya?

Atas landasan itu saya rasa molek kalau Abdul Hadi mengajak seluruh ahli Pas bertaut kembali, memperkukuh ikatan sauh kapal bagi meneruskan pelayaran yang kini sudah hampir separuh perjalanan. Dengan adanya orang berkebolehan seperti Husam yang menjadi simbol penyatuan dua golongan dalam Pas, tidak mustahil kapal Pas akan sampai ke destinasi yang ditujuinya kandati pun pernah tertebuk di tengah pelayaran. [wm.kl.5:20 pm 06/03/15]

No comments: