SELEPAS mengikuti lapaz sumpah oleh pembacuh kopi Anwar Ibrahim, Saiful Bukhari Azlan menerusi berita di tv jam 8:00 tadi jiwa terus meronta untuk turun ke Permatang Pauh. Mahu melihat apakah suasana di Permatang Pauh setelah berita itu keluar! Apakah kawasan pilihan raya itu menjadi senyap sunyi dengan tindakan Saiful Bukhari itu?
Melihat kepada sumpah itu dibuat menampakkan sangat ianya ada agenda untuk menyerang calon rakyat, Anwar Ibrahim habis-habisan. Sumpah itu sengaja dilakukan dan seperti mana saya ramal tiga hari lepas sumpah dan pengakuan Saiful itu akan menjadi bahan kempen utama oleh BN di Permatang Pauh.
Walaupun Saiful ketika sidang akhbarnya menafikan tindakan itu tidak ada kena mengena dengan pilihan raya kecil Permatang Pauh, namun hakikinya lapaz sumpah dan sidang akhbar itu mengarah kepada ke arah itu. Budak kecil yang belum dapat berjalan pun faham apa yang dilakukan oleh Saiful itu. Ada pengarah dan penerbit ghaib di belakangnya?
Mungkin para konspirator yang berselindung di sebalik batang tubuh bekas pembacuh kopi Anwar itu mengharapkan sesuatu akan berlaku. Kalau boleh mereka mahu PKR akan menukar calonnya dari Anwar kepada orang lain di saat-saat akhir. Mereka mengira Anwar akan gementar dan menarik diri. Namun saya kira Anwar tidak menjadi senaif itu. Bukankah Anwar seorang pemberani?
Sememangnya sumpah dilapazkan oleh Saiful itu amat berat dalam konteks Islam. Ia mungkin sudah difikirkan semasak-masaknya oleh pelakunya. Kalau ianya diupah setakat RM1.3 juta atau lebih tidak berbolai. Sumpah dengan menggunakan nama Allah sesuatu yang besar risiko dan kesannya. Apa yang dibimbangkan laknat yang bakal diturunkan Allah gara-gara sumpah itu bukan saja terkena ke atas orang yang melakukannya tetapi akan terbabit pada orang lain juga!
Apapun itu adalah hak Saiful dan beliau akan bertanggungjawab di dunia dan akhirat dengan apa yang lakukan itu. Bila berhadapan dengan Rabul Jalil di Mahsyar besok segala anggotanya akan menjawab sementara mulutnya akan terkunci. Di sana tidak ada sesiapa boleh membantu hatta raja konspirator sekalipun. Di sananlah pengadilan yang sebenar-benarnya akan diperolehi.
Dalam konteks hari ini, cara Saiful itu jelas strategi untuk mengkhianati Anwar dan menganggui mood rakyat daripada menyokong Pakatan Rakyat. Masalah peribadi mereka berdua tidak seharusnya diheret ke tengah masyarakat. Siapakah yang mengheret masalah itu ke tengah masyarakat dan mempolitiknya? Jawabnya bukan Anwar, tetapi Saiful.
Kalau BN menggunakan Saiful sebagai modal kempennnya mungkin ia tidak memberi banyak keuntungan. Silap-silap dengan pengakuan dan sumpah Saiful itu ia akan menambahkan majoriti untuk Anwar?
Tidak pedulikan letih.
Kerana terlalu kesal dengan lapaz Saiful itu menyebabkan saya tidak mempedulikan letih dan penat kerana baru lepas dari perasmian muktamar Pas, di Ipoh Perak. Saya berhajat untuk ke Permatang Pauh malam ini juga.
Sebelum ke Permatang Pauh saya singgah dulu di restoran nasi kandar di Pulau. Sejak bertolak dari Ipoh lagi selera meminta nasi kandar. Sepanjang perjalanan ke Penang petang tadi saya sengaja mengosongkan perut untuk diisi dengan nasi kandar.
Seperti dijangka dan kebetulan di restoran itu terserempak dengan beberapa orang jerung Umno yang turun untuk mengarakkan calon mereka di Permatang Pauh besok. Antara yang terserempak ialah Ahmad Shabery Chik, (Menteri Penerangan), Khalid Nordin (Menteri Pengajian Tinggi), Onn Ismail (Pengerusi Tetap Umno), masing-masing bersama 'pendayung' dan pengasuh masing-masing.
Di hotel pula terserempak dengan bekas menteri JKR, S Samy Vellu, Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaludin, Rais Yatim juga menginap di hotel yang sama. Semua mereka datang untuk berarak calon BN. Khairy siap dengan songkok tinggi.
Pasti di Permatang Pauh esok akan penuh sesak dan keadaan bagaikan sebuah pesta besar. Semua menteri-menteri dijangka akan turun untuk memberi sokongan kepada calon BN, Ariff Shah Omar Shah. Mohd Najib Razak dijangka akan mengepalai perakan besok.
Selepas makan saya bertolak ke Permatang Pauh yang jaraknya lebih kurang 45 minit dari Pulau.
Sebaik memasuki kawasan pilihan raya suasana sudah mula nampak. Bendera Keadilan sudah mula kehilangan dicacak di kiri kanan jalan. Di bulatan atau simpang-simpang jalan banting Keadilan sudah mula membelit ting lampu atau pokok. Gerombolan anak muda bermotorsikal membawa bendera (PKR) juga bersimpang siur di jalan-jalan.
Dari segi prasarana PKR nampaknya mendahului BN. Beberapa buah pos PKR sudah mula kelihatan di tepi-pi jalan. Suasana pilihan raya sudah mula terasa.
Di persimpangan jalan masuk ke Cherok Tok Kun, kampung Anwar terdapat poster gambar gergasi Penasihat Umum PKR itu yang digantung antara dua pokok. Kedudukan gambar itu seakan memberi amaran apa juga pengkhinatan, serangan dan halangan tidak akan dipedulikan.
Dari gambaran di Permatang Pauh itu jelas sekali berita mengenai lapaz sumpah dan sidang akhabr oleh si pembacuh kopi Anwar sekejap tadi tidak memberi bekas. Bahkan semangat orang ramai semakin membuak dan rasa marah kepada BN semakin meninggi. Rata-rata mereka yang sempat ditinjau pendapat tidak mempedulikan apa yang diucapkan Saiful itu.
"Tidak jadi masalah. Kita tidak kira siapa yang akan bertanding atas nama Pakatan Rakyat, yang penting kita nak jatuhkan BN," begitulah ulas seorang anak muda yang sedang memasang kain pemidang kempen PKR apabila diceritakan mengenai tuduhan ke atas Anwar.
"Kerajaan boleh tuduh dan dakwa dengan apa juga kesalahan pada Datuk Seri (Anwar), tetapi rakyat semua sudah tidak percaya. Rakyat sudah meluap, tunggulah 26 Ogos nanti," begitu pula kata seorang lelaki separuh umur dalam sebuah warung di simpang jalan ke Kubang Seman.
Jawaban dari dua penduduk itu memberi kesimpulan ringkas bahawa sumpah Saiful, pendakwaan ke atas Anwar tidak menjejaskan semangat mereka. Malahan lapaz sumpah itu akan menjadikan pengundi makin bersimpati kepada Anwar. Persiapan untuk berlawan dengan BN bagi mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh jadi semakin panas dan bersemangat.
Nampaknya para pendokong PKR sudah nekad tidak akan memperdulikan apa juga fitnah, adu dombak untuk mematahkan semangat mereka.
Slogan keramat yang dilaungkan Anwar, "Lawan Tetap Lawan" nampaknya benar-benar menjiwai dan membangkitkan semangat pengundi Permatang Pauh. Berdasar kepada tinjauan itu kemenangan sudah terbayang jelas untuk Anwar! [penang 12:10 t/malam 15/08/08]
2 comments:
mungkin saiful sendiri kehabisan idea untuk membela diri setelah dituduh dengan pelbagai tuduhan termasuk mendapat imbuhan jutaan ringgit oleh najib selain mendapat habuan caci dan maki hamun penyokong pakatan rakyat..
saya setuju hal ini hal peribadi mereka sekiranya ia benar berlaku(kejadian liwat)..dan tak perlu dibawa beban tersebut pada masyarakat...apa2 pun rakyat seharusnya perlu pandai menilai yang mana harus diangkat sebagai pemimpin..saya sokong hadi awang diangkat jadi PM..ini cuma pandangan peribadi saya
sebelum ini saya sangsi kepada kedua-dua belah pihak, pembacuh kopi dan DSAI.
tapi selepas sumpah dibuat, saya sungguh sangsi terhadap sumpah yg dilafazkan. Jika saya pengundi di permatang pauh, saya akan terus mengundi untuk anwar ibrahim.
kepelikan yang paling utamanya ialah apabila saiful bukhari jelaskan dia inginkan sumpah itu di antara dia dan juga Tuhan. Saya pelik sungguh, kerana ia bertindak sebaliknya. Jika itu antaranya dan Tuhan, maka apa perlu dia tunggu? apa perlu dia broadcast?
Mengapakah biarkan Tuhan ternanti-nanti tunggu sumpah darinya? dan yang paling menghairankan, apakah Tuhan Saiful itu hanya akan terima sumpah yang dibuat dalam tayangan dan dirakamkan?
Post a Comment